"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Tuesday, September 18, 2012

MARI BERBAIK SANGKA DALAM MASALAH KHILAF(poligami)


Berikut ini adalah mengenai soal jawab antara yang pro-poligami dengan yang kontra-poligami yang saya dapatkan di al-fikrah.net.

1. Kenapa Ali ra tidak boleh menambah isteri ketika sudah menikah dengan Fatimah?

Ali bin Abi Thalib ra pada zaman Rasulullah SAW hidup dalam keadaan ekonomi yang serba minimum. Sangat miskinnya, ketika Fatimah meninggal, Fatimah dikebumikan pada malam hari kerana tidak cukup kain kafan yang sempurna.

Di antara kewajiban seorang lelaki untuk menikah atau seorang suami untuk menikah lagi adalah memiliki kemampuan memberi nafkah kepada isteri ataupun isteri-isteri. Jika tidak mampu, maka cukup dengan hanya seorang isteri. Jika masih tidak mampu lagi, maka janganlah menikah.

Apabila Allah swt meluaskan sedikit rezeki bagi Ali ra, beliau berniat untuk menikah lagi. Sayangnya beliau salah memilih calon, kerana puteri Rasul Allah tidak boleh dimadukan dengan puteri musuh Allah.

Ali ra melamar puteri Abu Jahal ketika Fathul Makkah. Setelah Fathul Makkah, Rasulullah saw sakit dan wafat. Enam bulan setelah itu Fatimah juga wafat.

Tidak lama kemudian Ali as berpoligami. Jadi beliau tidaklah menunggu lama untuk melamar muslimat yang lain pula.
Respon:
Saidina Utsman, usahawan kaya-raya namun beliau tidak memadukan puteri Rasulullah.
Suami Zainab binti Muhammad juga usahawan yang kaya-raya namun beliau tidak memadukan puteri Rasulullah.
Dalam Fathul Bari, syarah terhadap hadis berkenaan Fatimah menolak suaminya berpoligami bukan satu sahaja bahkan ada 3 iaitu:
1)      1) Faktor calon.
2)     2)  Semua menantu Rasulullah telah berjanji sejak awal tidak akan memadukan puteri baginda. (Ini antara dalil para ulama sejak zaman sahabat mengesahkan bolehnya meletakkan syarat ta’liq dalam ikatan nikah kerana meraikan hak semua pihak).
3)    3)   Meraikan hak Fatimah. Takut agamanya terfitnah daripada rosak kerana cemburu (Syarah Imam Nawawi).
  
Rasulullah SAW menghormati orang yang memilih untuk berpoligami atas dasar keperluan tertentu.
Rssulullah SAW juga menghormati orang yang memilih tidak mahu berpoligami. 

Rasulullah SAW pernah menolak pinangan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar yang meminang puteri baginda. Bukankah mereka sangat soleh?Baginda menghormati pilihan puteri baginda tidak mahu bermadu.
Ummu Hani’ binti Abi Thalib pernah menolak pinangan Rasulullah kerana takut cemburu dan ramai anak.
Begitu juga seorang lagi wanita yang diceritakan dalam Fiqh Sunnah, Syed Sabiq.
Rasulullah SAW meraikan hak mereka untuk memilih.
Ummu Salamah juga pada awalnya beralasan takut cemburu dan mahu beri perhatian kepada anak, hampir saja menolak pinangan Nabi. Namun, dia berubah fikiran.
Inilah lumrah cinta, tidak sanggup hidup bermadu kecuali atas darurat yang memaksa.

2. Bererti Fatimah tidak pernah dimadu dengan siapapun sepanjang hidupnya bukan? Bererti benarkan hujah penentang poligami yang mengatakan bahawa Rasulullah saw tidak mengizinkan siapapun menyakiti anaknya?

Hujah ini menghina Abu Bakar as-Shiddiq dan Umar al-Khattab, kerana seolah-olah mereka berdua merelakan puteri masing-masing untuk disakiti oleh Rasulullah yang berpoligami. Juga menghina Rasulullah sebagai double standard. Anak orang lain baginda sakiti dengan dimadukan, anak sendiri tidak boleh dimadukan.

Yang benar, boleh sahaja jika Ali bin Abi Thalib ingin memadukan Fatimah. Hanya calon pilihan Ali saat itu yang tidak bersesuaian dengan kedudukan Fatimah. Puteri Rasul Allah vs puteri musuh Allah.
Respon:
Sirah ini sungguh cantik menerangkan betapa sempurnanya fiqh Islam.
Meraikan hak dan maslahah semua pihak.
Meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Poligami adalah satu sistem yang sangat berperikemanusiaan bagi sesiapa jua yang sanggup berlaku adil dan rela dirinya hidup bermadu.
Poligami cuma perkara harus yang tidak dipaksakan kepada sesiapa. Bagi orang yang tidak sanggup mempersulitkan hidupnya di dunia dan di akhirat dengan tuntutan berlaku adil, maka tiada kewajipan syariat atau galakan agama untuk dia berpoligami.
Bagi wanita yang takut agamanya terfitnah dengan cemburu dalam kehidupan berpoligami, Islam meraikan haknya untuk memilih hidup dengan lelaki yang sanggup berjanji tidak akan menduakannya atau dibebaskan sahaja.
Abu Bakr as-Shidiq dan Umar al-Khatab mengahwinkan puteri-puteri mereka secara terhormat. Di sinilah pentingnya ilmu tentang ‘kontekstual’ dalam ilmu fiqh dan usul al-fiqh. 
Fasa Madinah adalah fasa berlakunya banyak perang yang mengorbankan sekian banyak lelaki. Ramai janda dan anak-anak yatim mereka perlukan nafkah dan perlindungan. Belum maju saat ini badan sokongan sosial yang boleh membantu mereka mendapatkan pendapatan sendiri seperti berkerjaya dari rumah. 
Poligami adalah salah satu alternatif dan solusi dalam situasi ini. Lantaran itulah ada wanita yang meskipun rasa disakiti namun sanggup merelakan hidup bermadu. Itu haknya untuk merelakan. Kita hormati.
Perbuatan Rasulullah SAW ini bukan sikap ‘double standard’ tapi inilah sikap orang yang arif tentang fiqh keutamaan secara umum dan secara khusus. Inilah kebijakan fiqh dan usul al-fiqh yang dicontohkan baginda.
Rasulullah SAW sendiri pernah memberi jawapan yang berbeza terhadap soalan yang sama dalam banyak contoh-contoh peristiwa. Inilah kematangan fiqih baginda. Para ulama mu’tabar pewaris Nabi ketika berfatwa, mencontohi kematangan ini kerana luasnya ilmu mereka berbanding kita.
3. Kalau menurut saya, berpoligami yang sunnah itu adalah setelah kematian isteri pertama seperti dalam kasus Khadijah, dimana Rasulullah saw berpoligami setelah Khadijah meninggal. Lebih-lebih lagi, Rasulullah saw bermonogami selama 27 tahun, sebelum akhirnya berpoligami pada usia 52 tahun.

Yang dimaksud di atas itu bukanlah sunnah tasyri’ tetapi ghairi tasyri’. Ketika Rasulullah saw hidup bersama Khadijah, mereka berada di fasa Mekah. Sementara ayat poligami (anNisa 4:03) di turunkan di fasa Madinah.

Contoh: 
Bolehkah si fulan menghalalkan arak untuk dirinya dengan hujah para sahabat pernah minum arak di fasa Mekah?
Bolehkah si fulanah enggan berpuasa di bulan Ramadan dengan hujah tidak berpuasa di bulan Ramadhan adalah sunnah Rasulullah di fasa Mekah?
Bolehkah kita meniru budaya Yahudi dengan hujah Rasulullah juga meniru budaya Yahudi di fasa Mekah?
Jika sebelum itu dikira sebagai sunnah juga, maka menyendiri dalam gua adalah sunnah
Sebelum menikahi Khadijah, baginda juga hidup membujang. Adakah dengan itu hidup bujang adalah juga sunnah? Justeru tempoh Rasulullah monogami hampir sama dengan tempoh baginda poligami.
Sunnah yang diakui sebagai syari’at adalah sejak Muhammad saw diangkat menjadi Rasul, bukannya sebelum itu.
Respon:
Dari segi ta’rif ahli hadis, semua perbuatan Nabi adalah sunnah.
Dari segi ta’rif ahli fiqh (tentang hukum-hakam), sunnah itu ialah perkara yang apabila dibuat mendapat pahala, apabila ditinggalkan tidak berdosa.
Maka, tidak semua perbuatan Nabi itu hukumnya sunnah bagi kita mengikut ahli fiqh.
Nabi berkahwin sampai 9 dalam satu masa, hukumnya haram bagi kita.
Nabi berkahwin tanpa mahar, akad atau wali, hukumnya haram bagi kita.
Nabi mempunyai hamba, keadaan zaman ini telah mengharamkannya bagi kita.
Nabi menceraikan isteri, hukumnya bukan sunnah bagi kita.
Ulama fiqh dan usul al-Fiqh mengenal pasti terlebih dahulu ‘hukum asal’ sesuatu amalan dengan kaedah –kaedah tertentu.
Antaranya:
1)      Menjadikan nas sarih (jelas) al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan.
2)      Mengaitkan nas antara satu dengan yang lain.
3)      Menggabung antara fiqh dan hadis.
4)      Menghormati ijma’ yang diyakini.
5)      Memilih mazhab dan mempelajari buku-bukunya.
6)      Memperhatikan keadaan zaman dan lingkungan dalam berfatwa.
7)      Mempersempit yang haram dan yang wajib.
8)      Sikap pertengahan dan berimbang.
9)      Memperhatikan kepentingan umum.
10)   Mempermudah (terutamanya ketika terjadi bencana).
11)   Berbicara kepada orang lain dengan bahasa zamannya.
12)   Berpaling dari hal-hal yang tidak bermanfaat dan menyambut baik hal-hal baru yang positif.
13)   Memperhatikan tujuan syariat (Maqasid as-Syariah).
14)   Memperhatikan fakta (Fikih keseimbangan dan Fikih Prioriti).
Hukum asal ‘berkahwin’ ialah sunnah dan hukum asal poligami ialah harus mengikut jumhur ulama sedunia. Kenapa? Mereka menilai dan mengkaji dengan cabang-cabang ilmu yang sangat luas.

4. Poligami adalah budaya Arab yang telah diizinkan di dalam al-Qur’an. Ketika Islam sampai ke tanah Melayu, poligami bukanlah budaya Melayu.

Poligami budaya atau syari’at Islam? Memakai tudung juga bukan budaya wanita melayu sebelum kedatangan Islam. Mengkafankan mayat juga bukan budaya melayu sebelum kadatangan Islam. Jadi hujah di atas sungguh mengada-ngada.
Respon:
Memakai tudung hukum asalnya wajib.
Berpoligami hukum asalnya harus (jumhur ulama) bukan wajib seperti tudung.
Kedua-duanya tidak sesuai dikiaskan.
Berpoligami boleh dikiaskan dengan perhambaan.
Kedua-duanya datang dalam budaya sebelum Islam lagi.
Bukan Islam yang memperkenalkannya terlebih dahulu.
Bukan juga mewajibkan atau menggalakkannya.
Namun,
Perhambaan sudah tidak praktikal pada zaman ini.
Tapi poligami masih praktikal pada zaman ini sebagai alternatif (bukan satu-satunya penyelesaian) terhadap masalah-masalah seperti isteri mandul, sakit dan tidak bernafsu.
Kita akan membantah sebarang usaha untuk mengharamkan terus poligami kerana menghormati fatwa jumhur ulama sedunia tika ini.

5. Yang sahih adalah poligami cara Nabi saw, Ali ra, atapun Uthman ra, kerana mereka tidak berpoligami ketika isteri pertama masih hidup. Maksudnya mereka adalah monogamis sehingga kematian isteri pertama mereka. Ketika isteri pertama wafat, mereka langsung memenuhi quota hingga maksimum. Ini menunjukkan, kedudukan isteri pertama sangat bernilai di mata mereka.

Itu adalah pandangan yang batil. Mereka tidak berpoligami kerana sebab-sebab yang lainnya seperti masih dalam masa pensyar’iratan poligami, keadaan ekonomi yang tidak menyokong, prioritas dakwah, dll. Jadi tidak ada hubungannya dengan kematian isteri pertama.
Respon:
Secara ta’rif ahli hadis, inilah sunnah  yang mereka tunjukkan. Bernikah satu sebagai asal perkahwinan dalam Islam. Ia lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. Ia lebih senang mencapai tujuan mawaddah, rahmah dan sakinah buat suami dan juga isterinya. Apabila datangnya darurat seperti fasa perang di fasa Madinah, barulah Rasulullah SAW mengambil rukhsah berpoligami.


6. Hukum asal pernikahan adalah monogami. Dalil-dalilnya adalah sebagai berikut.

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui.” (al-Qur’an 36:36)

“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.” (al-Qur’an 51:26)

Allah menciptakan semua secara berpasangan sebenarnya tidak bertentangan dengan syari’at poligami. Sebab yang dimaksud dengan berpasangan disini adalah berlainan jenis kelamin seperti lembu jantan dan lembu betina, lelaki dan wanita, dsb.

Berpoligami juga berpasangan, iaitu suami yang menjadikan wanita-wanita sebagai isteri. Jika suami menjadikan lelaki sebagai isteri, barulah berlawanan dengan erti berpasangan yang Allah swt kehendaki.

Sebenarnya hukum asal pernikahan adalah poligami. Setelah itu barulah monogami bagi mereka yang khuatir tidak dapat berlaku adil.

“Maka menikahlah dengan siapa saja yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu khuatir tidak akan bersikap adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (menikahlah dengan) seorang saja atau (pakailah) budak-budak perempuan yang kamu miliki.” (an-Nisa’ 4:3)

“Maka menikahlah…” adalah kata suruhan/perintah yang bererti poligami pada zahirnya adalah suruhan/anjuran, bukannya mubah/harus saja. Inilah hukum asal pernikahan.

“Kemudian…” diberi rukhsah kepada yang khuatir tidak dapat berlaku adil untuk monogami saja.

Hadis-hadis Rasulullah menganjurkan pernikahan dan menerangkan keutamaan menikah. Hadis-hadis ini bersifat umum, tidak terbatas kepada pernikahan pertama saja.
Respon:
Hukum asal sesuatu dikaji dan diistinbath (dikeluarkan) oleh para ulama dengan kajian yang sangat mendalam seperti yang telah diterangkan di atas. Bukan dengan logik yang sedikit.

7. Bukankan ayat itu diturunkan untuk melindungi anak-anak yatim perempuan yang tertindas pada zaman itu?

Setelah mengumpulkan beberapa tafsiran, Ibn Jarir at-Tabari membuat rumusan bahawa penafsiran yang benar adalah ayat 3 surah an-Nisa’ merujuk kepada semua wanita, baik anak yatim atau bukan, dan merujuk kepada semua lelaki, baik wali anak yatim atau bukan.

Hujah lain yang mudah, bukankah Rasulullah SAW juga berpoligami padahal baginda tidak memelihara anak yatim dan isteri-isterinya pula bukan anak yatim?
Jadi walaupun ayat tersebut merujuk kepada wali anak yatim, hukum yang diambil ialah keumuman ayat dan bukan kekhususan sebab.
Respon:
Melindungi anak-anak yatim perempuan yang tertindas pada zaman itu adalah salah satu bentuk ‘darurat’ yang membenarkan mereka mengambil rukhsah berpoligami.

8. Lelaki berpoligami adalah lelaki yang tidak lagi menyintai isteri pertamanya. Kecintaan yang paling unggul adalah lelaki Monogami. Lelaki Poligami mmg tidak menyintai isteri pertamanya. Kemungkinan dia silap pilih atau isteri pertama sudah membosankan hidupnya.

Reverse engineering: Lelaki yang monogami adalah lelaki yang dijajah oleh isterinya. Kecintaan paling unggul adalah mencintai Allah, Rasul-Nya dan syari’at-Nya. Lelaki monogami terpaksa mencintai isterinya melebihi Allah, Rasul-Nya dan syari’at-Nya. Kemungkinan lelaki itu jahil atau dia takut kepada isternya.
Respon:
Ini bergantung pada perlaksanaan.
Ada suami berpoligami yang sangat menyintai isteri pertamanya. Dia terpaksa mengambil rukhsah berpoligami atas sebab-sebab tertentu. Ini perlaksanaan poligami secara terhormat yang insyallah akan dihormati oleh isteri pertamanya  dan masyarakat.
Hmm, isteri kedua pasti tanya, siapa yang lebih abang sayang? Inilah lumrah cinta. Inilah yang pernah ditanya oleh Saidatina Aisyah kepada suaminya.
Yang penting, suami meredhai isteri dan isteri juga redha kepada suaminya.
Semoga Allah meredhai mereka semua. (Firman Allah: Allah meredhai mereka dan mereka juga redha kepada Allah)

9. Monogamilah yang betul, sebab nabi Adam as telah Allah ciptakan dengan seorang isteri saja.

Kita umat Nabi Muhammad atau umat Nabi Adam? Setiap umat ada syari’atnya yang tersendiri, maka kita ikut syari’at kita. Syari’at Nabi Adam, anak sesama anak sendiri boleh nikah, cucu dan cucu menikah sesama sendiri sehinggalah seterusnya. Mahu ikutkah syariat nabi Adam yang seperti itu?
Respon:
Nabi Adam dan Hawa antara contoh pasangan yang saling mencintai kerana Allah. 

10. Poligami adalah rukhsah (kemudahan) bukannya azimah (hukum asal).

Dalam beberapa kitab fiqh tentang poligami, ada pengarang yang menyatakan bahawa monogami adalah azimah, sedangkan poligami adalah rukhsah. Pendapat seperti ini agak membingungkan, kerana dalam agama azimah bererti hukum asal, sedangkan rukhsah adalah keringanan yang diberikan. Ciri-ciri azimah adalah ia berat, manakala ciri rukhsah adalah ia dikurangkan atau diringankan dibandingkan azimah kerana sesuatu keuzuran.

Sebagai contoh:

Wudhu

Azimah: Menggunakan air.
Uzur: Tiada air.
Rukhsah: Tayamum.

Solat Zohor

Azimah: Empat rakaat.
Uzur: Musafir.
Rukhsah: Dua rakaat.
Puasa Ramadhan

Azimah: Berpuasa setiap hari di bulan Ramadhan.
Uzur: Sakit.
Rukhsah: Tidak perlu berpuasa, ganti apabila sudah sihat.

Justeru rukhsah adalah satu kemudahan dan keringanan dibandingkan azimah. Azimah adalah dari Allah. Rukhsah juga dari Allah. Kita tidak dapat membuat rukhsah sendiri-sendiri, seperti apabila bermusafir maka solat zuhur menjadi satu rakaat.

Apabila poligami disebut sebagai rukhsah, maka ia tidak sesuai dengan ciri rukhsah yang meringankan dan memudahkan. Ini kerana poligami merupakan penambahan amanah dan tanggungjawab ke atas suami.

Sebaliknya apabila dikatakan monogami adalah rukhsah, maka ia lebih sesuai dengan ciri kemudahan dan keringanan.

Pernikahan

Azimah: Poligami.
Uzur: Khuatir tidak dapat berlaku adil.
Rukhsah: Monogami.
Respon:
Memahami azimah (perkara asal di sisi syarak) dan rukhsah (perkara yang asalnya tidak boleh tapi dibolehkan atas sebab-sebab tertentu) perlu dengan kajian mendalam terhadap hukum asal di sisi syarak.
Prinsip asasnya, Islam itu mudah dan memudahkan umatnya. “Mudahkan jangan disusahkan.” Ini prinsip daripada al-Quran dan sunnah.

Apabila para ulama fiqh dan usul fiqh meletakkan berkahwin satu adalah azimah (perkara asal di sisi syarak), mereka jelas bahawa ketentuan hukum itu lebih dekat dengan prinsip memudahkan umat. Tidak mempersulitkan umat dengan kesusahan berlaku adil di dunia. Demikian juga tidak mempersulit ummat dengan risiko berjalan tempang di akhirat.
Rukhsah itu pula biasa disebut keringanan. Secara lebih dalamnya, ia suatu perkara yang pada asalnya bercanggah dengan asal syarak, tapi diberi kelonggaran atas sebab-sebab tertentu.
Rukhsah dalam fiqh ibadah, fiqh munakahat, fiqh siyar (peperangan) dan lain-lain berbeza-beza. Tidak dapat diukur dengan logik fiqh ibadah itu semata-mata.
Contoh:
Fiqh Ibadah
Azimah: Zuhur 4 rakaat. Saja-saja nak solat 2 rakaat bercanggah dengan asal syarak.
Rukhsah: solat 2 rakaaat ketika keadaan membenarkan iaitu ketika ada masyaqqah atau musafir.
Fiqh Jihad
Azimah: Hidup dalam keadaan aman.
Rukhsah: Membunuh (perang) apabila terancam untuk kembali hidup dalam keadaan aman.
Fiqh Munakahat
Azimah: Isteri wajib taatkan suami.
Rukhsah: Isteri meminta cerai kerana zalimnya suami.

11. Dalam an-Nisaa’ ayat 129 dikatakan bahawa lelaki itu pasti tidak akan mampu berlaku adil. Ayat ini dengan jelas tidak menganjurkan poligami, kerana poligami hanya akan membawa kehancuran pada keluarga pertama.

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an-Niisa’: 129)

Kesimpulan di atas serupa dengan apa yang disimpulkan oleh Muhamad Abduh dan ini sebenarnya adalah salah bentuk penyalahgunaan ayat.

Kalau diperhatikan baik-baik, ayat ini bukan kontra poligami tetapi pro-poligami dan memberi jalan penyelesaian.

Allah telah menerangkan mahu berbuat adil 100% itu memang susah. Jadi buatlah sekadar yang mampu saja, asalkan tidak berat sebelah sehingga ke ratio 95% – 5%. Jika suami terus mengadakan perbaikan, maka Allah akan mengampunkan kesalahannya tidak berbuat adil 100%.

Kalau seandainya poligami dilarang, tentu Allah akan berfirman seperti ini: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat bersikap adil di antara isteri-isteri(mu), oleh kerana itu cukupkanlah dirimu dengan seorang isteri.” Apa yang terjadi malah sebaliknya. Allah tetap menyuruh untuk meneruskan poligami dan tetap berusaha untuk yang terbaik.
Respon:
Jumhur ulama berpendapat poligami tidak dilarang tapi ia suatu perkara harus. Lebih spesifiknya, ia suatu rukhsah dengan syarat yang ketat.
Ada tiga golongan dalam soal ini:
1)      1) Mengharamkan poligami (Pendapat golongan Islam Liberal)
2)    2)  Mengatakan poligami cuma harus, tidak diwajibkan dan tidak digalakkan. (Pendapat pertengahan dan pendapat jumhur ulama sedunia).
3)      3) Menggalakkan poligami. Menganggapnya sunnah atau wajib. (Pendapat minoriti ulama).

12. Berapa banyakkah hadis fadhilat (kelebihan) poligami yang sohih?

Pada zaman al-Qur’an dan al-Sunnah masih hidup, tidak ada istilah monogami atau poligami.

POLIGAMI hanyalah sebuah terminologi yang didatangkan di kemudian hari. Ia diperkenalkan untuk memudahkan manusia membezakan antara lelaki yang ada seorang isteri dengan yang ada lebih.

Jadi kita tidak akan menemui hadis-hadis fadilat poligami mahu pun monogami. Yang ada adalah hadis-hadis anjuran bernikah dan ancaman bagi mereka yang sengaja enggan bernikah. Nikah yang dimaksud dalam hadis-hadis tersebut merangkumi monogami dan poligami. Boleh merujuk dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib.

Respon:
Tiada galakan al-Quran dan al-Sunnah terhadap poligami seperti payung emas dsb.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata dalam bukunya Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan, “Adalah ditegah lelaki yang mampu menghalang dirinya dari perkara mungkar dengan satu isteri, untuk berkahwin lagi kerana ia hanya mendedahkannya kepada perkara haram (tidak adil).”

Peraturan berkahwin satu adalah peraturan asas yang dipakai oleh kebanyakan Mahkamah Syariah seluruh dunia. (Rujuk lanjut buku Fiqh al-Islamiyy wa adillatuhu karya Prof. Syeikh Wahbah Zuhaili).
Berpoligami dibenarkan dengan kebenaran mahkamah setelah membahas lanjut sejauh mana lelaki itu diyakini mampu berlaku adil. 

Undang-undang Fiqh Usrah ini dibuat atas dasar ‘maslahah’ (mengundang kebaikan, menolak kemudaratan). Ia juga atas prinsip hadis "Tidak boleh memudaratkan". Lelaki yang tidak mampu berlaku adil boleh memudaratkan isteri sedia ada dan bakal isterinya.


KESIMPULAN:
1)      Kepada individu yang berpoligami, kita raikan dan hormati. Kita tidak tahu kondisi mereka. Elok kita berbaik sangka. Mereka tentu ada keperluan untuk mengambil rukhsah berpoligami. Jangan dikorek-korek rahsia mereka. Sekalipun tahu, tutuplah aib mereka kerana kitapun ada aib yang kita mahu Allah menutupnya di dunia dan di akhirat.
 P/S: Antara contoh individu yang berpoligami secara terhormat yang saya kenal ialah Kapten Hafiz Firdaus dan isteri keduanya Nurul Adni. Mereka sangat menghormati dan meraikan isteri pertama sebelum berpoligami apabila melibatkan isteri pertama dalam urusan memilih dan meminang. Bagi mereka yang berhasrat untuk berpoligami, sesuai merujuk kebaikan mereka.


2)      Kepada yang belum berpoligami, elok mengkaji kedudukan sebenar poligami dalam Islam menurut fikrah pertengahan jumhur ulama. Ia lebih meraikan maslahah semua pihak, menyatukan, berlapang dada, berhikmah dan berakhlak mulia. Buku yang dicadangkan untuk dirujuk ialah buku karangan Ketua Majlis Ulama Sedunia, Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi,  CIRI-CIRI UNGGUL MASYARAKAT ISLAM YANG KITA IDAMKAN.

3) dari segi fiqh keutamaan, poligami itu baik tapi monogami adalah lebih baik. Dari sudut dalaman pula, siapa yang lebih bertaqwa kepada Allah itulah lebih baik tak kira bermonogami atau berpoligami. "Kita berhukum dengan luaran, Allah lebih tahu rahsia dalaman). 

Mari bersatu! Jangan berpecah…

Allah SWT mengangkat kita 10 darjat ketinggian


http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/563937_463623360335556_839289127_n.jpg
Sesiapa berselawat kepada Rasulullah SAW dengan sepuluh selawat, Allah SWT akan menghapus 10  dosa kesalahan dan meninggikan kedudukan kita di sisi Allah dengan 10 darjat- Marilah kita berlumba mengumpul hiasan-hiasan kita didalam Syurga nanti dengan berlumba melakukan kebajikan serta menghiasi diri kita dengan Akhlak mulia agar bilik Syurga kita nanti berbau harum.