“Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dan langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya karena air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya[683], dan pemilik-permliknya mengira bahwa mereka pasti menguasasinya[684], tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir.” [Yunus:24]
Epilog
Bercerita berdasarkan pengalaman.
Saya mungkin tidak sehebat Nusaibah Bint Kaab yang mampu turun dalam medan peperangan dan menjadi jururawat mereka. Apatah lagi mendekati peribadi Siti Khadijah yang kaya-raya dan bijak dalam perniagaan. Jauh sekali untuk disamakan dengan Aishah r.a yang menjadi wanita paling banyak meriwayatkan hadith kerana kelebihan mendalami ilmu yang dikurniakan kepada beliau. Tapi saya mencuba untuk menjadi seperti mereka.
Kadang-kadang hati rasa tersentuh, melihat ramai antara remaja kita mengkhayalkan diri dengan cinta sesama manusia, menyalah ertikan cinta kepada Allah swt, dan akhirnya timbul cinta ‘ana enti’. Bukan sedikit email yang datang kepada saya dari mereka yang hanya dikenali menerusi ‘alam maya’ memohon pendapat dan bantuan agar hubungan cinta mereka dapat ‘dihalalkan’. Bukan saya tidak gembira kerana golongan ini masih ada rasa keinsafan dalam diri untuk membetulkan apa yang salah, tetapi saya agak terkilan kerana rasa cinta itu telah menutup kematangan diri dalam membuat keputusan.
Saya tidak mahu mengulas tentang isu couple kontemporari yang dilakukan remaja yang mungkin tidak pernah mendengar perkataan ‘dakwah dan tarbiyyah’. Saya terpanggil untuk menulis isu ini kerana melihat kepada remaja yang sekurang-kurangnya sudah familiar dengan perkataan ‘dakwah dan tarbiyyah’ meskipun tidak mengetahui hakikat sebenar perkataan tersebut yang sendiri seolah-olah ‘mencipta hukum’ untuk menghalalkan perkara yang syubahat.
Pembuka bicara
Apa indikator kematangan kita?
Adakah bila umur kita semakin meningkat, maka semakin matang diri? Adakah bila kita banyak pengalaman, maka matang itu juga hampir kepada kita? Adakah bila kita mampu bertindak di saat-saat kecemasan, orang akan menilai kita sebagai seorang yang matang?
Saya pernah bertanya soalan ini kepada Abu Thana’ tentang bagaimana kita nak melabel seseorang itu sebagai matang?
Jawapan Abu Thana’ sangat ringkas; apabila seseorang itu mampu membuat keputusan yang betul dalam hidupnya dengan yakin. Pada mulanya saya tidak berapa faham, tetapi setelah saya melontarkan soalan-soalan pelbagai kepada Abu Thana’ untuk menjelaskan kenyataan beliau, saya jadi faham akan intipati disebalik kata-kata tersebut. Pening saya hilang memikirkan soal kematangan. Buntu saya terhenti disitu dengan sedikit jawapan kepada persoalan.
Iman
Hakikatnya, dalam menilai kematangan seseorang sama jugalah seperti bila kita menilai turun-naikknya Iman kita. Perumpamaan bukan penyamaan. Iman bertambah dengan ilmu, matang juga bertambah dengan ilmu. Iman bertambah bila banyaknya amal, matang bertambah bila banyak melihat dan mentafsir. Iman bertambah bila keyakinan dengan Allah itu sebati dalam diri, matang juga bertambah bila hati itu dekat kepada Yang Maha Mencipta. Disinilah kita melihat perbezaan mereka yang berIman dengan tidak berIman. Disini jugalah kita melihat perbezaan antara mereka yang lemah Iman dengan mereka yang tinggi Iman. Orang yang tidak berIman selalu membuat keputusan salah dalam kehidupan seperti mudah bunuh diri jika ditimpa masalah, kerana tiada keyakinan kepada Allah swt. Orang yang kurang Iman juga akan selalu buat keputusan salah seperti menggadaikan tubuh badan kepada pasangan yang belum halal kerana tiada ilmu dan hati jauh dari Yang Maha Mencipta.
Iman kita menjadi penentu kepada tindak-tanduk kita. Iman yang luhur dan benar akan menzahirkan peribadi yang luhur dan benar. Kerana kita meyakini akan kata-kata Rasulullah saw:
Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim
Matang
Orang yang benar-benar berIman kepada Allah swt, Allah janjikan langkah mereka akan terjamin dan mereka ini yang kita katakan matang.
Usamah bin Zaid diberikan tugas menjadi panglima perang ke Syam ketika berumur 20 tahun kerana Rasulullah saw melihat kematangan yang ada dalam diri Usamah sedangkan ketika itu ramai sahabat-sahabat yang lebih tua yang mungkin lebih layak menjadi panglima.
Kita juga berpegang kepada hikmatul syuyukh(kebijaksanaan mereka yang berusia) dan hammasatul asy-syabab(semangat para pemuda) dalam konsep menilai kematangan ini. Ini bermakna kita tidak menolak pendapat mereka yang berusia dalam masa yang sama kita menerima semangat mereka yang jauh lebih muda.
Kerana apa? kerana Iman itu turun-naik sepanjang usia. Begitu juga kita dalam soal kematangan. Ada ketikanya kita membuat keputusan tidak matang dan ada ketikanya kita membuat keputusan yang matang. Sebab itu perlunya kepada Iman dan pendapat orang yang lebih tua yang juga berIman dalam membuat keputusan.
Orang yang matang dalam hatinya sentiasa ada Allah swt.
Penutup dan Nasihat
Saya harapkan penyampaian kali ini sampai kepada maksud sebenarnya. Orang yang sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah swt akan sentiasa matang dalam membuat keputusan. Orang yang hanya ingin mencari jalan menghalalkan apa yang haram mudah tersasar dalam mengambil keputusan dan dikira sebagai tidak matang. Inilah antara faktor kenapa kita akan selalu rasa orang sekeliling tidak pernah faham jiwa dan perasaan kita. Kerana kita sendiri membuat keputusan berdasarkan jiwa dan perasaan. Bukan berdasarkan Iman dan Taqwa.
Alam rumahtangga bukan penyelesaian kepada masalah-masalah hati yang kita hadapi. Kerana setiap masalah itu penyelesaiannya hanya datang dari Allah swt, dengan izin Allah swt. Jodoh akan datang dengan keberkatan jika kita meletakkan Allah swt di tangga teratas. Samada setuju atau tidak, jika kita sibuk bercinta dengan Allah swt, kita tak akan disibukkan dengan cinta berlainan jenis ini. Malah selepas bernikah sekalipun, cinta kita kepada Allah swt perlu kekal ditangga paling atas supaya rumahtangga yang dibina akhirnya membawa kita ke syurga Allah swt dan menjadikan kita matang dalam membuat keputusan.
Apa definisi cinta kepada Allah swt? Semakin kenal Allah swt, semakin dalam cinta. Semakin jauh dari Allah swt, semakin pudar rasa cinta itu, semakin dekat dengan cinta manusia.
Wallahualam