Keterangan 1:
Firman Allah Ta’ala : إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً
Maksudnya: 'Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.' - At-Talaq 65: 3 ]
Keterangan ke-2:
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
Maksudnya: 'Allah Ta'ala telah menulis taqdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan arasyNya berada di atas air'. - sahih Muslim
Keterangan ke-3:
Firman Allah Ta'ala:
وَإِذَآ أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِّن دُونِهِ مِن وَال
Maksudnya: '...apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya'. - Ar-Ra'd 13:11
Keterangan ke-4:
Tiada makhluk berkongi kuasa dalam apa jua yang Allah Ta'ala jadikan - dalam apa saja yang Dia perbuat kerana kalimatNya ketika menjadikan sesuatu adalah seperti kalamNya yang Agung.
Firman Allah Ta'ala:
بَدِيعُ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَإِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
Maksudnya: 'Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia'. - Al-Baqarah 2:117
Keterangan ke-5:
Dari Imran bin Husain radhiyallahu’anhu, dia berkata:
Rasulullah صلى الله عليه وسلم . ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui orang yang akan menjadi penghuni syurga dan orang yang akan menjadi penghuni neraka?Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. menjawab: 'Ya'. Kemudian Baginda ditanya lagi: Jadi untuk apa orang-orang harus beramal? Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab:Setiap orang akan dimudahkan untuk melakukan apa yang telah menjadi taqdirnya. - sahih Muslim
Keterangan ke-6:
Berkata Shaikh Ibnu Atho'Illah didalam Kitab Hikam: 'Maha Besar hukum azali itu, Dia tidak bersandar pada berbagai sebab'.
Syarahnya: Sesuatu yang ditetapkan pada zaman azali tidaklah memerlukan berbagai sebab. Contohnya seperti sebuah permohonan anda, permohonan anda bukan sebagai sebab adanya pemberian Allah Ta'ala.
Keterangan ke-7:
Berkata Shaikh Ibnu Atha'Illah didalam Hikamnya: 'Bagaimana mungkin terjadi permohonan anda yang terwujud pada waktu berikutnya adalah menjadi sebab adanya pemberian Allah yang terwujud lebih dahulu?'
Syarahnya: Bagaimana mungkin pemintaan daripada doa anda menjadi sebab Allah menentukan sesuatu pada anda padahal ketentuan Allah telah pun ditetapkan olehNya pada azali lagi?
Keterangan ke-8:
Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anh berkata :
'Apabila Allah mengabulkan apa yang diminta hambaNya, dan mengabulkan permintaannya, maka IradahNya tidak akan terkoyak, tidak pula akan membuat kering catatan, akan tetapi permohonan itu sesuai dengan kehendak Tuhan pada waktunya. Sehingga sesuai itu menghasilkan pengabulan dan memenuhi kemahuannya pada waktu yang ditentukanNya, untuk menyampaikan taqdir itu pada waktunya. Seperti yang diakatakan Ahlul Ilmi mengenai Firman Allah: Setiap waktu Dia didalam kesibukan " - QS 55: 29, iaitu mengiringi taqdir sampai pada waktunya'.
Allah Ta'ala tidak memberi sesuatu kepada siapa pun di dunia ini kerana doanya. Begitu juga Allah tidak memalingkan kejelikan dari sesiapa pun semata-mata kerana doanya.
Apa yang diriwayatkan dalam hadis Nabi, 'Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa.' - riwayat at-Tirmizi) adalah dikatakan daripada apa yang dimaksud oleh hadis ini; 'Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa yang telah ditetapkan (pada taqdir azali) dapat menolak qadha.' [Ertinya doa yang menolak qadha tersebut telah pun ditetapkan oleh Allah dalam taqdir azali, bukanlah disebabkan oleh doa seseorang itu - pent]
Begitu juga seseorang tidak akan masuk syurga di akhirat nanti dengan amalnya, tetapi dengan rahmat Allah. Namun Allah memberikan darjat kepada hambaNya di syurga berdasarkan amal perbuatan mereka.
Itu semua kerana Allah Ta'ala tidak ditunut hak oleh siapa pun, tiada yang dapat mengharuskanNya menunaikan janjiNya. Namun Dia yang melakukan apa yang dikehendakiNya, menyiksa, mengampuni, memberikan nikmat, menyayangi sesiapa pun dikehendakiNya. Tidak ada yang berhak meminta Allah bertanggungjawab ke atas apa jua yang diperbuatNya, tetapi manusia itu diminta dan disoal akan pertangungjawabannya. Dia memberi rezeki tanpa batas dengan rahmatNya dan menolak sesiapa pun yang dikehendakiNya. [Tiada sesiapa pun yang layak menyoal perbuatan Allah ini - pent]
Bagaimana tidak demikian, sementara makhluk, langit dan bumi dari arasy yang tinggi hingga ke tanah yang rendah Dia yang memiliki dan menciptakanNya. Tidak ada pemilik dan pencipta lain kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia.
(Setakat ini maka tamat petikan daripada syarahan Imam Jailani radhiallahu anh).
Rumusan Penting:
a) Doa adalah lambang pengabdian diri dan perhambaan manusia di hadapan Allah. Doa adalah senjata mu'min! . Doa adalah ibadah. Maka jadikanlah doa sebagaimana perintah Allah dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.
b) Allah Ta'ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai jalan keselamatan dunia akhirat. Maka berusaha sungguh-sungguh atas jalan kebenaran serta menyerahkan diri kepada Allah adalah tuntutan ke atas setiap muslim.
c) Segala perbincangan di atas bertujuan untuk memberikan kefahaman yang benar berkenaan dengan adab dan i'tiqad seseorang ketika berdoa dan sesudah berhasil doanya. Dia perlu membetulkan i'tiqad serta menginsafi ketika berdoa dan sesudah berdoa; samada maqbul doanya atau ditolak doanya atau ditangguhkan doanya semua itu adalah di dalam genggaman Allah Ta'ala.
d) Jika telah maqbul doanya bukan bererti doanya itu berkuasa untuk mengubah sesuatu taqdir pada dirinya samada memberi manfaat atau menolak mudarat. Sebaliknya semua itu semata-mata dengan kurnia Allah Yang Maha Pemurah yang telah pun tertulis di luh mahfuz.
e) Kita sama-sama perlu menginsafi bahawa perbicangan ini bukan bermaksud untuk melemahkan seseorang daripada berdoa. Sebaliknya seseorang itu semestinya lebih kuat lagi berdoa kerana Allah sedang memberikan kebaikan kepada dirinya untuk berdoa dan benar-benar mengharap bahawa Allah akan memaqbulkan doanya.
Semoga kita semua termasuk golongan yang selamat, Ahlus-Sunnah wal-Jamaah yang dijamin oleh Nabi sebagai golongan yang selamat.
Rujukan utama:
1. Fathur-Rabbani wa-Faidhur-Rahmaniy 2. Adab As-Suluk wa-at-Tawassul Ila Manzilal Muluk
3. Al-Hikam Ibnu Atho'illah
4. Ihya Ulumuddin
5. Tafsir Ibnu Kathir
Sumber: http://kerjayahalal.blogspot.com/2010/09/muqaddimah-masalah-taqdir-doa-usaha.html[/u]
Untuk parking:
Puak-puak Jabariah mempercayai bahawa Allahlah yang menentukan nasib seseorang dari segi qadak, qadar, rezeki, mati, syurga neraka dan segala ketentuan hidup manusia ibarat kayu yang mati. Dia umpama wayang kulit yang dimainkan oleh Tuhannya; kalau ditakdirkan dia masuk neraka maka jika berbuat baik macam manapun dia tetap akan masuk neraka.
Sementara puak Qadariah mempercayai bahawa Allah telah memberi usaha ikhtiar, perkakas, kudrat iradat, peralatan lisan dan sebagainya. Jadi manusialah yang akan menentukan nasib qadak dan qadar, syurga neraka disebabkan usaha berada di tangan manusia. Allah telah bagi kapak parang dll, jadi buatlah kerja dengan 100% tanpa gangguan Allah; seolah-olah Allah telah pencen!
Kedua-dua golongan ini terkeluar daripada Islam. Sedangkan ahli Sunnah wal-Jamaah duduk di celah-celah antara kedua-duanya .Kalau kita ditakdirkan lelaki lalu berdoa untuk jadi perempuan pun tidak dapat sebab Allah telah kerasi dgn takdir itu, tetapi kalau kita berdoa untuk panjang umur memang ada dalam doa. Maknanya Allah membenarkan manusia untuk panjang umur seperti ketetapan yang telah sedia ada di azaliNya.