"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Saturday, February 5, 2011

Black Metal Mengancam Akidah Umat Islam

Black Metal adalah satu gejala yang sedang merebak dalam masyarakat Malaysia, khususnya di kalangan remaja di beberapa buah negeri di sebelah Utara Semenanjung Malaysia. Gejala ini ada kaitan dengan pengaruh internet, filem, muzik dan sebagainya merupakan anasir-anasir yang memberi makanan jiwa dan menusuk masuk ke dalam hati nurani mereka sehingga dapat dihayati dengan sepenuhnya.
Hal ini menjadi lebih hebat lagi dengan gejala lain yang menyertai muzik dan tarian tersebut iaitu pemujaan syaitan, penolakan agama, memenuhi segala pemikiran dan fantasi dengan segala unsur negetif dan pesif, mati kubur, mayat dan sebagainya yang menjadi amalan iblis dan syaitan.  Hal ini lebih berjaya mengisi kekosongan jiwa dan idealisme anak-anak muda dan memberi mereka kepuasan dan hiburan lebih daripada pengaruh nilai murni dan agama serta moral yang dalam konteks para remaja, juga golongan pelajar tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
Boleh jadi kita bertanya dengan kehairanan, kenapa pengajaran agama dan moral sepatutnya dapat mengisi mental dan hati nurani para pelajar, juga remaja tiba-tiba mengalami kegagalan dan kelesuan.  Perkara ini mestilah memerlukan perhatian serius, dimana para pengkaji dan juga para guru, ibu bapa, masyarakat dan juga semua pemimpin di semua peringkat mungkin dapat menoleh kebelakang melihat dimanakah silapnya sehingga nilai murni dan didikan Islam yang yang dibawa melalui kurikulum al-Quran tidak dapat dihayati serta dihadamkan oleh jiwa anak-anak remaja Islam yang berbangsa Melayu yang dikenali sebagai keturun Islam sejak turun-temurun.  Hal mestilah setiap dari kita mesti merasa terpanggil dalam menangani gejala Black Metal yang sememangnya boleh mengancam akidah umat Islam khususnya dikalangan anak-anak muda Islam di negara kita Malaysia.
Menurut satu risalah yang disebarkan, kumpulan Black Metal ini mewajibkan setiap dari pengikutnya melupakan rukun Islam yang lima perkara, iaitu mengucap Dua Kalimah Syahadah, mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan. Sebaliknya mereka mestilah berpegang kepada lima rukun baru yang mengatakan menyembah Allah itu adalah karut marut. Empat lagi rukun kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka "We Are Satan" (Kamilah Setan) ialah jangan sembahyang, kitab al-Quran itu karut, membakar naskhah-naskhah al-Quran dan membakar atau memijak kain atau pakaian sembahyang.
Selain mengandungi lima rukun yang menghina Islam itu, risalah berkenaan turut mengandungi peraturan mengangkat sumpah untuk menganggotai kumpulan tersebut.  Antara peraturan yang dinyatakan ialah sebelum menjadi pengikut, seseorang itu harus melafazkan "Kami menyeru dengan nama Iblis bahawa kami sudah pun murtad'.  Mereka kemudian harus menyebut lima rukun kumpulan itu (sebagaimana di atas). Bahagian hadapan risalah itu pula memaparkan lukisan seorang lelaki berambut panjang dalam keadaan bogel dan di atasnya tertera tulisan "Black Metal". Pada muka surat kedua pula terdapat bintang berbucu lima dengan di dalamnya dilukiskan lambang salib.  Di setiap bucu bintang itu terdapat tulisan dipercayai lambang tertentu dalam masyarakat Yahudi.
Pada muka surat ketiga pula terdapat lima rukun kumpulan itu manakala mukasurat keempat ayat sebelum upecara dan senarai nama ahli kumpulan itu.  Pada muka surat terakhir pula terdapat tulisan dalam bentuk mengerikan tertera ' As the sky turns black' (apa bila langit berubah menjadi hitam) dengan lukisan berbucu lima.
Cabang Lain Dalam Aliran Metal
Black Metal juga adalah cabang muzik Metal yang paling tinggi, keras dan ganas dalam muzik underground (liar).  Rentak muzik keras, sebutan sukar difahami dan lirik berbagai pemujaan pelbagai nama syaitan, anti ketuhanan dan keagamaan, bunuh diri seks bebas, dianjurkan dalam lagu Black Metal yang disebarkan keseluruh dunia termasuk Malaysia.  Tidak cukup dengan muzik, pemuzik dan pengikutnya dikehendaki mengisytiharkan diri murtad, melakukan ritual memuja syaitan, membakar kitab suci al-Quran dan memberontak terhadap sistem kemanusiaan dan perundangan.
Cabang lain dalam aliran Metal adalah Death Metal iaitu rentak muzik yang tidak jauh bezanya daripada Bleck Metal, tetapi memfokoskan tema kehidupan seperti kecewa, putus asa, pemberontakan, kematian dan alam kubur. Biasanya lirik Death Metal menceritakan sesuatu topik dengan penuh perasaan, dalam bentuk penceritaan yang mendalam.  Doom Metal pula menampilkan lirik berbentuk melankolik untuk melafazkan kekecewaan dalam hidup seperti putus cinta dan pilih kasih.  Dark Metal pula banyak mengisahkan alam ghaib (mirip Death Metal) seperti ilmu sihir, mitos, kepercayaan tertentu dan mistik.
Grindcore Metal adalah lagu metal untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan menentang sistem pentadbiran dan dasar setempat atau keadaan alam dan persekitaran. Liriknya terus terang menyuarakan tentangan terhadap penyelewengan politik, dan kerosakan alam persekitaran.  Tema bagi Industrial Metal mirip kepada Grindcire Metal, tetapi menggunakan kesan bunyi khas kepada lagu seperti latar belakang bunyi kilang atau mesin tertentu.
Cabang lain dalam aliran Metal ialah Thrash, Speed dan Heavy Metal yang mengungkap pelbagai tema lebih meluas. Heavy Metal di Malaysia dikatakan bermula sejak tahun 80-an dan sudah diterima dan sudah diterima masyarakat setempat atau diistilahkan pengikut underground sebagai sudah memasuki 'main stream' (aliran utama). Manakala Thrash Speed dan Metal yang berbentuk laju dan kuat dengan penggunaan dram dan kesan bunyi gitar, masih dikelaskan sebagai muzik underground.
Perspektif Islam Berkenaan Isu Ini

Isu Black Metal menjadi suatu perbincangan hangat masyarakat dewasa ini.  Ia sebenarnya bukanlah perkara baru sekiranya kita memahami teras budaya hedonisme yang lama berkembang subur dalam masyarakat Barat.  Hedonisme adalah budaya yang lahir daripada asas sekularisme yang menolak dominasi fahaman agama dalam kehidupan manusia.  Hedonisme  yang berasal dari istilah Greek, Hedone, bermaksud pleasure ( keseronokan / kelazatan ) atau happiness (kegembiraan ) ialah kebaikan.
Menurut Dr. Yusof al-Qardawi, walaupun golongan Hippies yang pada awalnya muncul sebagai kumpulan anti-sosial kerana bosan dengan kebuntuan peribadi, akibat gangguan pemodenan dan pembangunan, mereka telah sesat dalam gejala-gejala tidak bermoral seperti arak, seks bebas, dadah dan lain-lain sehingga ke peringkat menolak agama. Dalam mencari erti dan hakikat individu, mereka menganggap agama adalah penghalang kepada kepuasan hidup yang seharusnya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Kawalan norma dan undang-undang agama ditentang dengan berbagai-bagai cara oleh mereka yang menganggap hawa nafsu sebagai tuhan sembahan mereka.
Tradisi gila yang diamalkan oleh golongan ini akhirnya menemukan khayalan-khayalan yang menjurus kepada pemujaan syaitan. Inilah perkara yang cuba diulangi oleh sebahagian remaja Muslim yang sudah kehilangan arah dalam masyarakat kini.

Al-Quran secara umumnya mengaitkan hedonisme dengan kehidupan yang mementingkan keduniaan dan hawa nafsu sehingga lupa kepada perintah Allah. Merek lazimnya keras hati, sombong, melakukan maksiat, zalim dan kuat berangan-angan.  Perilaku seperti ini mencapai kemuncaknya apbila mereka berdepan dengan persoalan akidah dan kepercayaan.  Allah telah mengingatkan bahawa terdapat kecenderungan manusia menjadikan hawa nafsu dan keseronokan sebagai sembahan, di mana Al-Quran bertanya, yang bermaksud: "Tidakkah kamu melihat mereka yang mengambil nyawa hawa nafsu sebagai Tuhan mereka?"
Sindiran ini sekaligus memperingatkan umat manusia bahawa hawa nafsu yang diperkudakan oleh syaitan beroperasi besar dalam menggantikan peranan Tuhan dalam kehidupan mereka.  Islam tidak menafikan secara mutlak kewujudan hawa nafsu sebagai sifat semulajadi manusia bahkan ia memperakui sebagai unsur kejadian manusia yang unik.  Kejadian hawa nafsu yang dipertimbangkan oleh wahyu dan akal menjadikan manusia mempunyai kedudukan dan peranan yang berbeza dengan sifat syaitan dan malaikat yang hanya mempunyai dua pola yng bertentangan iaitu buruk dan baik.

Jesteru bagi menjamin kemenangan kebaikan ke atas kejahatan, Islam menganjurkan pengawalan dan alternatif terhadap aktiviti hawa nafsu. Pengawalan Islam terhadap gejala negatif ini amat dititikberatkan sehingga Nabi sejak remaja lagi telah dikawal oleh Allah daripada menghampiri pesta kaum Quraisy yang diadakan di Kota Mekah. Baginda diriwayatkan tertidur dengan nyenyak sebelum berupaya pergi ke pesta tersebut.
Islam tidak hanya mengharamkn sesuatu maksiat tertentu sahaja bahkan turut menutup arah dan punca ke arah berlakunya kemungkaran berkenaan. Sebagai contoh, Al-Quran secara jelas menegah daripada menghampiri zina kerana menyedari perkara itu pasti berlaku sekiranya ruang-ruang ke arahnya dibuka dengan luas.
Sesuai dengan Islam yang bersifat meraikan fitrah manusia, agama ini memberikan kelonggaran ke atas beberapa hiburan yang dapat memberikan manfaaat kepada manusia dalam menjalankan kehidupannya dengan sempurna.  Sebagai contoh, lagu-lagu memuja Ilahi, keindahan alam dan meniupkan semangat untuk maju dan berjaya dalam kehidupan dan perjuangan amat digalakkan.  Promosi terhadap unsur-unsur hiburan yang murni inilah yang seharusnya menjadi arus perdana dalam masyarakat; bukannya hiburan yang mewenangkan pemujaan hawa nafsu dan keuntungan material semata-mata.
Persoalannya, memadaikah pengawalan daripada satu pihak sahaja sedangkan pihak-pihak lain mnyepikan diri malah ada yang menyokong ruang-ruang ke arah kepesatan budaya hedonisme ini?
Hanya peribadi besar dan dokongan secara kolektif sahaja yang mampu menunjukkan keunggulan pendakwah dalam melaksanakan tugas amal makruf dan nahi mungkar yang menjadi prasyarat kepada kejayaan sebuah umat yang terbaik.  Masyarakat amat berharap supaya sesuatu dapat dilakukan dalam membenteras fahaman hedonisme yang kini kembali semula ke puncaknya.
Rumusan, walau apa pun keadaan gejala yang dihadapi oleh ummat Islam ini, maka mereka semua mestilah merasa terpanggil dalam memberi sumbangan untuk mengembalikan semula golongan individu yang terlibat, terjerumus ke lembah yang membawa kepada tekeluar dari akidah Islam ini khususnya dari kalangan golongan remaja Islam yang berbangsa Melayu, kerana persoalan ini adalah persoalan agama Islam dan bangsa Melayu.

Di antara langkah-langkah yang perlu diambil dalam membendung gejala ini ialah:
i- Para ibu bapa mestilah mengambil berat tentang aktiviti harian juga pergaulan anak-anaka mereka.  Di samping itu para ibu bapa juga mestilah menunjukkan suri tauladan yang terbaik untuk anak-anak mereka dengan mempamerkan iltizam yang tinggi terhadap nilai hidup Islam, seperti melakukan ibadah, juga amal soleh seperti istiqamah dalam melaksanakan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan serta melakukan amalan-amalan murni lain.  Perkara ini penting kerana ibu bapa merupakan pendidik pertama kepada anak-anak. Dalam satu hadis Rasulullah s. a. w. bersabda:
مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ اِﻻَّ يُوْ لَدُ عَليٰ الْفِطْرَةِ فَاَبَوَا هُ يُهَوِّدَانِهِ اَوْ يُنَصِّرَانِهِ اَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Ertinya: 

Bagi setiap indivi pula, mereka mestilah amanah terhadap diri sendiri, iaitu dengan menunaikan segala amanah dan tanggungjawab terhadap diri seperti melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berbentuk keduniaan dan juga ilmu-ilmu keagamaan yang dapat menjadi benteng dari terjerumus kelembah yang tidak sihat yang dibenci Allah Ta'ala.  Amanah terhadap diri sendiri juga termasuklah memilih kawan-kawan yang baik yang boleh membantu seseorang itu mencapai kebaikan dan kejayaan. Kerana kawan merupakan orang yang akan mempengaruhi temannya sama ada ke arah perkara baik atau tidak baik. 
ii- Seterusnya semua lapisan masyarakat Islam juga mestilah memainkan peranan masing-masing dalam menangani gejala yang boleh mengancam akidah umat Islam.Bermula dari keluarga, masyarakat kempung penguasa daerah dan negeri, lebih-lebih lagi penguasa agama juga kerajaan mestilah menangani masalah ini dengan serius termasuklah dengan menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang telah sedia ada atau menggubal undang-undang baru demi menjamin anak-anak muda dan remaja Islam di negara ini dari terus hanyut dengan dakyah-dakyah Yahudi dan Kristian yang membawa kepada terkeluarnya dari agama Islam ( murtad). Mudah-mudahan di antara kita umat Islam ini salang memperingati antara satu sama lain, Insya Allah syiar Islam terus maju berkembang di muka bumi Allah ini, juga akidah Islam pula sentiasa bertapak kukuh dihati setiap penganutnya. Firman Allah s. w. t. di dalam al-Quran: "Tidak dilahirkan seseorang anak itu kecuali dalam keadaan putih bersih ( tidak berdosa). Maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorak anak itu sama ada dengan agama Yahudi, Nasara (Kristian) atau Majusi".
.وَالْعَصْرِ اِنَّ اْلاِِنْسَانَ لَفِيْ خُسْرٍ. اِلا َّالَّذِيْنَ اۤمَنُوْا وَعَمِلوالصَّالِحَاتِ
.وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya:

" Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan kerugian, kecuali hanya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang sentiasa berpesan-pesan dengan perkara kebenaran dan kesabaran".
http://www.youtube.com/watch?v=UO1rYr4BXAI&feature=related
http://www.youtube.com/watch?v=iIC2QYpSsFI&feature=related
http://www.youtube.com/watch?v=q_8imkJBD7k&feature=related
http://www.youtube.com/watch?v=ej_jnnhvrVs
http://www.youtube.com/watch?v=VE_Er1ITzeE&feature=related
http://www.youtube.com/watch?v=9KJRawWRKOg&feature=related
Seruan dari Iraq untuk kesedaran semua....

No comments: