Seorang mahasiswa pernah berkata," Saya sedar saya tidaklah solehah,sebab itu saya perlukan kawan yang soleh untuk membimbing saya."
INGAT! Setiap pendakwah perlu mempunyai persediaan dan latihan bagi memastikan pendengar berpuas hati dengan isi penyampaian.
Seorang mahasiswa lain pula berkata,"Saya memang tidak berapa alim,sebab itu saya kena pilih kawan yang sempurna macam sahabat nabi s.a.w.Saya boleh tumpang kelebihan yang ada padanya."
Sampai bilakah mereka ini akan menanti kawan yang sebaik sahabat nabi s.a.w dan rakan yang boleh membimbing mereka?Senangkah mereka ini dijumpai?Kalau sampai bila-bila pun tidak dijumpai,adakah mereka akan begitu selama-lamanya?
Hampir kebanyakan kita suka berharap dan meninjau jika ada seseorang yang akan datang 'menyelamatkan' agama islam.Ramai remaja kita suka menunggu kalau-kalau ada sesiapa yang dirasakan 'layak' untuk berdakwah kepada mereka.Kenapa dalam soal agama mereka suka menunggu dan bertangguh?
Berbeza pula dalam soal mencari duit,hampir semua orang rela hati bertindak pantas dan tidak bertangguh.Kalau bab mencari rezeki dan kekayaan,mereka berhempas-hempas berusaha menjadi orang kaya dan tidak menunggu orang lain memberi wang kepada mereka.Tapi malangnya,lain pula terjadi kepada agama.Kenapa mereka tidak membina peribadi yang mulia itu sendiri?kenapa sebagai Muslim,masing-masing tidak berusaha membawa akhlak Rasulullah s.a.w dan menjadi pendakwah itu sendiri?
Menjadi seorang pendakwah tidak semestinya lulus ijazah usuluddin atau syariah.Bukan semestinya perlu masuk universiti atau lulus peperiksaan tertentu.Menjadi pendakwah ini ialah keupayaan menguasai akahlak mulia dan memahami nas al-Quran dan hadis nabi s.a.w dengan baik.Ia tidak memerlukan proses pendidikan formal atau pembelajaran rasmi.Yang penting ilmu yang diambil itu sahih dan tepat berdasarkan rujukan yang betul.Sijil dan kelulusan itu sebagai jaminan tambahan sahaja.Malah ada juga yang mempunyai sijil dan kelulusan tetapi tidak mempunyai ilmu daripada pusat pengajian tinggi.
Pendakwah itu fleksibel.Mereka tidak semestinya orang yang berada dalam bidang agama.Kita sudah melihat bukti secarajelas bahawa sesiapa pun boleh menjadi pendakwah.Kita sendiri adalah ROLE MODEL gaya hidup islam.Sebagaimana kita tahu pada zaman sekarang ada penceramah agama lulusan jurutera dan perundangan.Ada pula pendakwah bebas yang dahulunya adalah pelakon televisyen.Ini menunjukkan bahawa ilmu dan agama itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja dan boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja.Tidak semestinya pendakwah itu adalah dari golongan ustaz atau agamawan.
Oleh yang demikian,kita perlu keluar dari sisi gelap kejahilan dan menjadi seorang yang mampu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.Kita perlu tahu mana yang putih dan mana yang hitam,mampu mengenal pasti mana dosa dan pahala.Jika kita sendiri tidak tahu sesuatu tentang islam atau buta agama,bagaimana kita akan selamat di dunia dan mendapat syurga Allah S.w.t.jangan bertangguh lagi,semua orang perlu menjadi pendakwah!!