"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 31/7/2015 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Friday, March 9, 2012

Etika Diet Rasulullah SAW

http://i3.makcdn.com/userFiles/r/a/ramidiabi/images/c0063yerbamate.jpg
Dalam Islam, Allah telah memilih Rasulullah SAW untuk menjadi model peranan kepada seluruh alam sejagat. Baginda juga turut membawa perkara yang boleh disifatkan sebagai penyempurna akhlak manusia (makarimal akhlak). Di antara perbuatan Rasulullah yang perlu diikuti dan hayati bersama adalah dari aspek etika diet Rasulullah ataupun tatacara pemakanan sihat Rasulullah SAW.
Antara tatacara pemakanan sihat Rasulullah SAW adalah:
* Rasulullah tidak minum susu sewaktu baginda memakan daging.
* Rasulullah tidak makan daging bersama ikan.
* Rasulullah tidak minum susu sewaktu baginda menjamah ikan.
* Rasulullah tidak minum susu sewaktu baginda memakan ayam.
* Rasulullah tidak makan ikan bersama telur.
* Rasulullah tidak makan ikan bersama daun salad.
* Rasulullah melarang meminum susu bersama cuka.
* Jangan makan buah bersama susu: - dalam erti kata lain koktel. Namun para saintis telah menemukan agar baik untuk menikmati khasiat susu bersama jus buah berkultur kerana jus susu kultur sedemikian baik untuk memperbaiki ketidakselesaan dan ketidakhadaman perut namun pengguna perlu memilih jenis jus susu kultur yang kurang kadar kemasamannya kerana kemasaman boleh menghakis perut melalui tahap keasidannya lama kelamaan boleh menyebabkan gastrik.
* Rasulullah tidak memakan buah-buahan selepas memakan gandum, roti atau makanan berat sebaliknya Rasulullah memakan buah-buahan sebelum makan makanan berat, gandum atau roti.
* Rasulullah akan tidur sejam selepas makan tengahari.
* Rasulullah melarang manusia untuk meninggalkan makan malam. Barangsiapa yang meninggalkan makan malamnya dia akan dimamah usia dan tahap kolestrol dalam darah dan badannya akan berganda.
* Dalam Kitab Al-Quran ada melarang manusia untuk makan makanan darat bercampur makanan laut misalnya seseorang yang memakan nasi berlaukkan sup daging lembu maka ia tidak digalakkan untuk mencampuri makanan tersebut dengan makanan laut misalnya udang, ikan dan sotong. Walau bagaimanapun, bercampuran makanan ini (antara makanan darat dan makanan laut) tidaklah boleh dianggap haram apabila dimakan bersama cuma ia mungkin membahayakan kesihatan.
* Nabi Muhammad SAW pernah melarang para sahabat dan umat manusia daripada makan ikan bersama susu kerana ia akan menyebabkan si pemakan mudah untuk mendapat penyakit. Berikutan perkara sedemikian, para ilmuan nutrisi telah membuat kajian dan menemukan keputusan bahawa dalam makanan darat mempunyai ion+(Positive Ions) sedangkan dalam makanan laut mempunyai ion-(Negetive Ions), jika kedua-dua jenis makanan ini bercampur maka akan terjadinya tindakbalas biokimia (Biochemical reactions) yang aktif dalam tubuh sekaligus mampu menyebabkan perut dan usus rosak dengan teruk.
* Al-Quran mengajar manusia untuk mandi sebelum subuh, sekurang-kurangnya sejam sebelum matahari terbit. (sekitar pukul 4.00 hingga 6.00 pagi). Dengan cara ini, air yang sejuk mampu meresap kedalam badan sekaligus mengurangi masalah penimbunan lemak. Buktinya kebanyakan orang yang mandi pagi tidak gemuk.
* Nabi melarang manusia makan dengan banyak dan melampau. Sebaliknya manusia itu hanya perlu makan ketika ia lapar dan berhenti sebelum ia kenyang.
* Nabi sentiasa mengamalkan meminum air dengan banyak, baginda meminta seseorang untuk sentiasa memenuhkan setengah ruang perutnya dengan air. Nabi juga mengamalkan minum air sejuk (bukan ais) yang bercampur sedikit madu setiap pagi. Mujarabnya InsyAllah sukar untuk mendapat penyakit.
* Nabi juga mengajar supaya manusia meminum air dengan meneguk perlahan-perlahan.Nabi melarang manusia untuk bernafas (membuihkan air) dalam air yang untuk diminum.Hal ini kerana udara yang sengaja dibuihkan dalam air itu mungkin mengandungi kuman dan bacteria yang merbahaya kepada manusia.
* Rasulullah juga menyarankan untuk bersugi (memberus gigi) setiap kali untuk menunaikan solat. Rasulullah amat tidak menyukai kepada orang yang tidak bersugi setiap hari.
* Nabi juga turut meminta untuk berwuduk setiap kali ingin membuat perkara suci seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.
* Berdoa sebelum dan setelah makan. Cuci tangan sebelum dan selepas makan dan minum dengan memegang gelas dengan tangan kanan sebaik-baiknya sebelum makan. Jangan meneguk air sedangkan dalam sesi menjamah makanan, minum air jika tersedak, berasa kekeringan ataupun setengah jam sesudah makan, hal ini makan melancarkan selera makan serta mengelakkan dari terkena penyakit kembung air. Miminum air sekurang-kurangnya setengah jam sesudah makan dapat mengembalikan tenaga yang hilang pada kadar tempoh yang lama serta mengembalikan keserian awek muda.
* Jangan disisakan sebutir nasi/bahan makanan pun yang masih elok untuk dimakan, kerana makanan juga turut berzikir pada Allah SWT. Nabi bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang dari kamu makan, kemudian suapannya jatuh dari tangannya, hendaklah ia membersihkan apa yang kotor darinya lalu memakannya, dan janganlah ia membiarkannya untuk (dimakan) syaitan. (Silsilah hadits-hadits Shahih) no. 1404).
* Makan dan minum perlulah dalam keadaan duduk tidak berdiri, baik sekali makan berjamaah bersama keluarga, mahupun teman. Berkumpul untuk menjamahi hidangan dan makanan secara berjamaah adalah suatu yang dianjurkan bagi kaum Muslimin di samping akan mendapatkan keutamaan berdasarkan hadis berikut:
’Berjamaahlah dalam menyantap hidanganmu dan sebut Nama Allah padanya, nescaya akan mengandungi berkat bagimu. (Silsilah Hadits-hadits Shahih no. 664).
Berkenaan dengan seseorang yang datang kepadanya dan ia berkata: Hadis ini dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, kami ini setiap kali makan tidak pernah kenyang. Maka Rasulullah berkata: “Pasti masing-masing kamu makan sendiri-sendiri. Orang itu menjawab: Benar, Ya Rasulullah! Rasulullah berkata: “Berjamaahlah dalam menyantap makananmu.”
* Sunnah Nabi Muhammad juga ada menyuruh untuk makan garam secuil sebelum makan untuk menolak 70 macam penyakit, dan ambil lagi secuil dengan jari manis tangan kanan setelah makan. Makanlah dengan tangan kanan tanpa sudu, garfu ataupun kayu chopstick. Sebaiknya kita yang menunggu makanan dan bukan makanan yang menunggu kita.
* Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasalam juga mengajar untuk kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Begitu juga ahli saintis telah menemukan bahawa enzim banyak terkandung di celah jari jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (Enzim sejenis alat percerna makanan).
“Dan janganlah ia mengusap tangannya dengan mindil/tuala hendaklah ia menjilati tangannya, kerana seseorang itu tidak mengetahui pada makanannya yang mana yang mengandungi berkat untuknya, sesungguhnya syaitan itu selalu mengintai untuk merampas harta manusia dari segala penjuru sehingga di tempat makannya. Dan janganlah ia mengangkat shahfahnya hingga menjilatinya dengan tangan, kerana sesungguhnya pada akhir makanan itu mengandung berkat. (Kitab Silsilah hadits-hadits shahih no. 1404).
Berkata Imam Nawawi, tentang makna kaliamat “Pada makanannya yang mana yang diberkahi.” Ia berkata: Sesungguhnya makanan yang dihidangkan untuk manusia itu mengandung berkat, sedang dia tidak mengetahui apakah berkat itu pada makanan yang ia makan atau pada sisa makanan yang melekat di tangannya atau pada sisa makanan di dalam shahfah atau pada suapan yang jatuh. Demikian hendaklah ia menjaga semua itu agar selalu mendapat berkat. (Fathul Bari 9/578).
* Bagi menghindari diri dari sakit kepala atau migrain. Ini terbukti oleh para ilmuwan yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita bersujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir keruang tersebut dan sekaligus membekalkan oksigen pada kadar yang sesuai pada otak manusia.
* Nabi meminta umatnya untuk menjamah makanan dengan menggunakan Shahfah/Qash’ah (talam/dulang) dan diletakkan di atas hamparan.
Makan berjamaah di atas hamparan dengan menggunakan Shahfah merupakan salah satu sunnah Nabi yang harus diikuti: ” tidaklah makan diatas meja makan dan tidak pula menggunakan Sukurrajah (Diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dalam Syamail, sahih Bukhari no. 5386 dalam kitab Fathul Bari 9/532).
Ibnu Hajar berkata: “Guru kami berkata dalam (Syarah at-Tirmidzi): “Sukurrajah itu tidak digunakan kerana mereka (Rasulullah dan para sahabat) tidak pernah menggunakannya, sebab kebiasaan mereka makan bersama-sama (dengan Shahfa-pent) atau kerana makan dengan menggunakan sukurrajah itu menjadikan mereka tidak merasa kenyang. (Al-Fath 9/532).
* Islam melarang penganutnya untuk meminum arak, memakan babi dan keluarganya, memakan anjing dan keluarganya, binatang dan tumbuhan yang beracaun dan berbahaya. Islam juga melarang umat manusia untuk memaka najis, (darah, nanah, air mazi dan sebagainya).Serangga yang hidup melata, jijik lagi beracun adalah haram dalam Islam.
* Rasulullah melarang untuk manusia tidur sesudah subuh (sesudah solat subuh sekitar pukul 6.00pagi sehingga solat Dhuha dalam pukul 8.00 pagi) kerana rezeki yang berkat mula hadir ketika waktu tersebut. Rasulullah juga melarang untuk manusia tidur selepas solat Asar (dari sekitar pukul 4.00 ptg sehingga habis menunaikan solat Isyak sekitar pukul 8.00 dan 9.00 mlm).
* Rasulullah menggalakkan umat Islam untuk bangun menunaikan Qiyamullail bermula sekitar pukul 3.00 pagi hingga masuk waktu solat subuh).
* Islam mewajibkan penganutnya untuk berpuasa pada bulan Ramadhan selama sebulan serta disunatkan berpuasa pada hari-hari yang disunatkan berpuasa bagi menjamin kesihatan yang berkekalan sepanjang hayat.
* Apabila berpuasa, makan sahur (sekurang-kurangnya meminum segelas air sejam sebelum solat subuh dan selewat-lewatnya 10 minit sebelum masuk waktu subuh adalah diperlukan bagi menjamin kekuatan sewaktu menjalani ibadah puasa). Manakala apabila berbuka puasa pada waktu sebelah Maghrib pula adalah perlu disegerakan dengan memakan manisan terlebih dahulu).
src : http://ms.wikipedia.org/wiki/Etika_Diet_Rasulullah
http://4ayesha.blogspot.com/2010/07/etika-diet-rasulullah-saw.html

DOSA IBU BAPA MENGATASI KESALAHAN ANAK-ANAK


http://peribadirasulullah.files.wordpress.com/2012/03/baby-quran.jpg?w=300
www.saifulislam.com
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan" [al-Tahrim 66 :6]
Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai. Saya bukan meminta kelebihan. Apa yang saya pohonkan ialah pada beberapa kotak kosong di dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk isteri dan anak-anak.
"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari boleh jumpa. Kami sudah tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat pertimbangkan permintaan kami", kata seorang pemanggil yang menelefon saya.
Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya serba salah. Mengapakah masa seorang ustaz untuk anak-anaknya tidak dianggap penting? Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah kasih sayang, didikan dan perhatiannya kepada anak-anak. Semasa saya kecil, saya tinggal di sebuah kawasan perumahan dan
seawal usia 10 tahun, saya pernah membuat kesimpulan bahawa budak - budak jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak pun anak polis!
Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya boleh beranggapan sedemikian rupa. Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang ayah belikan, dibengkokkan oleh si Samseng Kampung Dusun, anak seorang ustaz. Tetapi hari ini hati saya menjadi gundah semula. Terutamanya selepas menerima maklum balas seperti dialog di atas.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah peribahasa Melayu yang amat menusuk perasaan saya. Ketika saya menaip artikel ini, Saiful Islam dan Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya. Memandang mereka telah meretak hibakan hati saya.
"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa mengabaikankalian", saya sukar menahan hati dari bersedih.
Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan membesarkan Saiful Islam, ternyata amat mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid, saya baringkan di kepala
sejadah dan matanya berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.
Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah menghamburkan air mata takutkan `kemarahan' saya.
Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya. Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya yang sama. Anak bertambah, usia mereka juga bertambah, tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan mereka?
Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar, tetapi usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan. Saya tidak menyesal menjadi `suri rumah' selama beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara distance learning dengan The Open University, UK, dan sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal ehwal rumah tangga,
dan Saiful Islam membesar di depan mata.
Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya, kemudian semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan. Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood Learning malah mahir pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first aid.
Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak, menyalin bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain bersamanya seketika,
kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah hari. Saiful Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik.
Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa Saiful Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang bersama sambil menghirup udara petang yang segar. Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa dari rumah, untuk memberi burung
undan di tasik, makan petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan Umminya turut sama.
Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk, khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam untuk memberi kuliah Tafsir
Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal di South Circular Road, Dublin.
Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya. Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia, lebih menghiris rasa.
Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak- anak semakin meruncing.
Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung daun-daun perang gugur di petang musim luruh.
"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak kita mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke Malaysia", saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami. Isteri saya mengangguk tanda setuju.
Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu sahaja saya patut risau. Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast. Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis "OMER".
Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika dan berkata, "my father is a Moslem!"
Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.
Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali. Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami, "apakah selamat anakku membesar di Malaysia?"
Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas Iman dan Kufur kepada anak-anak.
"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!", saya boleh menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.
Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam yang satu. Garis hitam putih amat jelas.
Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya tidak mencerminkan agama di kad
pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang sanggup menyekolahkan anak- anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak membesar di dalam suatu suasana yang garis hitam dan putihnya jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah...
Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland. Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan belajar tentang topik-topik yang
membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.
Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey. Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station untuk memberikan training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting berkaitan dengan anak-anaknya.
Bukan suatu yang mudah untuk seorang American membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.
Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa. Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.
Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap dia dan mandikan agar `sejuk', kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.
Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil baligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap mereka.
Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak- anak suatu hari ini. Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.
Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.
Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?
Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.
Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?
Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.
Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.
Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad'u pertama saya.
Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.
Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.
Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.
Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi?
Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!
Maafkan Abi dan Ummi!
src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com
http://4ayesha.blogspot.com/2009/04/dosa-ibu-bapa-mengatasi-kesalahan-anak.html