Islam bukan agama ikutan dengan serba kejahilan tetapi Islam adalah ad-Din kefahaman dan penghayatan. Kefahaman dan penghayatan adalah satu-satu cara untuk mempertahan dan memperkukuhkan umat.Dukacita apabila orang Islam sendiri tidak berusaha memahami Islam apatah lagi untuk benar-benar menghayati dan menyampaikannya.
Dalam konteks dakwah, betapa kita umat Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan Islam yang sebenar kepada mereka yang bukan muslim. Malangnya kebanyakan umat Islam bahkan hampir keseluruhannya begitu gagal melaksanakan tugasan ini. Setiap hari kita berurusan dengan mereka yang non-muslim atau bukan muslim tetapi sepatah pun dari dakwah Islam tidak kita sampaikan kepada mereka sehingga mereka terus terbabas tanpa dihulurkan sebab-sebab untuk sampai kepada hidayah. Lebih malang dari itu, kita kadang-kala memberikan gambaran yang buruk tentang Islam terhadap mereka. Apakah kita tidak merasai betapa kita akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak di atas kecuaian ini.
Saya begitu tertarik dengan apa yang diceritakan oleh as-Syeikh `Ali at-Tontawi dalam bukunya Ta’rif al-`Am bi Din al-Islam, katanya:"Pernah aku bertanya kepada para pelajarku, "Sekiranya datang kepada kamu seorang lelaki asing dan berkata kepada kamu bahawa dia hanya ada waktu sebanyak sejam sahaja dan ingin memahami apakah Islam dalam tempoh tersebut? Bagaimanakah kamu boleh memahamkan Islam kepadanya dalam tempoh sejam?
Mereka menjawab: "Ini mustahil, dia mesti mempelajari tauhid, tajwid, tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, melibatkan diri dalam perbahasan masalah-masalah agama, dan dia tidak akan tamat melainkan setelah lima tahun".
Aku pun berkata: "Subhana Allah! Adapun seorang `arab badawi datang menemui Rasulullah s.a.w. dan tinggal bersama baginda selama sehari atau setengah hari lalu mengetahui Islam lantas membawanya kepada kaumnya. Selepas itu, dia menjadi pembimbing dan guru, menjadi pendakwah dan mubaligh untuk Islam. Lebih dari itu, Rasulullah pernah mensyarahkan ad-Din keseluruhannya (dalam hadith Jibril) dalam tiga ayat sahaja. Baginda berbicara dalamnya mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Kenapa tidak kita hari ini mensyarahkan Islam dalam tempoh satu jam?" [m.s. 27, Dar al-Wafa, Mesir]
Demikian menariknya tokoh pendakwah Islam yang terkenal ini mengemukakan contoh kesilapan dalam menguruskan dakwah. Ya! Kebanyakan kita apabila diminta memulakan dakwah terutama kepada bukan muslim dia akan bertanya "Apakah perkara pertama yang hendak diterangkan?". Inilah persoalan yang bermain di kepala kebanyakan muslim ketika di minta berdakwah. Lebih malang lagi ada yang penerangannya bermula dengan masaalah berkhatan...
Ada pula yang apabila menemui seseorang yang baru menganut Islam atau ingin memahami Islam maka dia mengatakan "Engkau wajib menghafal sifat dua puluh dengan perbahasan falsafahnya jika tidak iman engkau tidak dikira sah dan solat kau juga tidak bermakna.
Ini semua adalah contoh golongan yang menyusahkan manusia mendekati dan memahami Islam dengan cara yang jelas dan diterima.
Manusia Dan Agama
Sesiapa sahaja yang memiliki akal yang waras pasti akan mencari hakikat di sebalik kehidupan yang dirasai dan disaksikannya. Jiwa insan yang sempurna tidak akan terhenti bertanya tentang rahsia kehidupan ini. Allah telah menfitrahkan insan iaitu memberikan sifat di dalamnya jiwanya perasaan ingin mengetahui. Apatah lagi jika sesuatu itu berkait langsung dengan diri insan itu sendiri.
Berbagai perkara sering kita lihat dalam kehidupan ini, sebahagian daripadanya kita gagal memberikan jawapan yang tepat mengenainya jika tidak dibimbing oleh cahaya petunjuk yang sebenar.
Sebab itu jika diandaikan ada seorang bayi yang dihanyutkan air sehingga ke sebuah pulau yang tiada penghuni dari keturunan manusia. Sekiranya dia ditakdirkan hidup sehingga dewasa dan akalnya tidak cacat pasti dia sering bertanya dalam dirinya bagaimana dia boleh wujud di alam ini atau hadir ke pulau tersebut. Sekalipun tanpa bimbingan agama dia tetap akan bertanya siapakah yang menjadikan dirinya dan alam yang dia lihat. Mengapa mesti dia hidup. Perasaan dan jiwanya akan memberontak bertanya tentang hakikat diri. Sehingga akhirnya, jika jiwanya tidak dibimbing dengan hidayah tentu dia akan mengagak objek-objek tertentu yang dikagumi atau digeruninya sebagai punca pergantungan harapan atau dalam kata lain sebagai tuhan dalam kehidupannya. Begitu bermulanya agama yang tidak dibimbing oleh wahyu sebenar.
Sebabnya ini adalah sifat yang sudah wujud dalam jiwa insan iaitu keinginan mengetahui rahsia alam sekaligus desakan jiwa untuk mencari tuhan.
Allah menggambarkan hal ini di dalam al-Quran melalui watak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s, firman Allah dalam menceritakan kisah ini, maksudnya:
Dan demikian itu kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan kami yang terdapat di langit dan di bumi agar dia termasuk di dalam orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap dia (Ibrahim) melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Ini adalah tuhanku". Tetapi apabila bintang itu hilang dia berkata aku tidak suka kapada yang lenyap". Kemudian apabila dia melihat bulan terbit dia berkata "Ini adalah tuhanku". Namun apabila bulan itu hilang dia berkata: "Sesungguhnya jika tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku tentu aku termasuk dalam golongan yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari terbit dia berkata, "Inilah tuhanku, ini lebih besar". Namun apabila matahari itu hilang, dia berkata "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu semua sekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada tuhan yang mencipta langit dan bumi dalam keadaan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukan termasuk dalam golongan yang mempersekutukan Tuhan. [Surah al-An`am ayat 75-79]
Demikian Al-Quran menggambarkan peribadi insan yang waras dan sempurnaan nilai keinsanannya iaitu senantiasa mencari tuhan yang sebenar. Jika insan tidak dibimbing oleh petunjuk dari tuhan yang sebanar maka pasti dia akan tersesat.
Manusia Dan Persoalan
Insan yang waras senantiasa menimbulkan tanda tanya tentang tuhan atau dalam kata lain bertanya "Siapakah yang telah menjadikan dirinya dan alam di sekelilingnya?" Akal yang waras meyakini bahawa dirinya tidak muncul dengan kehendaknya tetapi tentulah adanya kuasa yang maha agung yang menciptakannya. Tidak terhenti untuk itu sahaja, dia tentu juga merasai keperluan diri bergantung kepada zat yang agung itu kerana dalam hidup dia pasti menghadapi peristiwa-peristiwa yang terjadi tanpa pilihan atau kemampuannya. Perasaan mencari tempat pergantungan akan terus timbul dan keperluan kepada pertolongan tuhan akan benar-benar dirasai oleh setiap insan. Seterusnya, apabila insan memerlukan tuhan tentu insan ingin mengetahui kehendak atau tuntutan tuhan terhadap dirinya. Ini bagi memboleh insan merasai tuhan bersamanya dan merestuinya.
Insan melihat berbagai kejadian dan peristiwa di alam ini, ada golongan yang baik dan ada pula yang jahat. Ada golongan golongan yang zalim dan ada pula yang dizalimi. Ini sekali lagi mendesaknya bertanya "Apakah kesemua ini akan berlaku begitu sahaja. Apakah yang zalim tidak ada sebarang tindakan tuhan terhadapnya sedangkan dia telah menzalimi hamba tuhan yang lain. Apakah selepas adanya penindasan dan penginayaan maka hidup pun hilang begitu sahaja. Apakah sama antara hamba yang ingin mentaati tuhan dengan yang memusuhi tuhan?
Demikianlah berbagai persoalan timbul yang mendesak jiwa insan sekaligus membawa sekali lagi insan bertanya ke manakah perginya manusia selepas berakhirnya kehidupan di dunia ini.
Perumpamaan Yang Menarik
Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti telah memberikan perumpamaan yang menarik dalam bukunyaMadkhal ila Fahm al-Juzur katanya: "Apa pendapat kamu mengenai seorang insan yang membuka kedua matanya selepas tidur yang panjang, dia yang sebelum ini berada di atas katil di dalam bilik tidurnya, tiba-tiba dia dapati diri berada di dalam salah satu gerabak keretapi. Dia dibawa oleh suatu perjalanan ke arah yang dia sendiri tidak tahu. Merentangi bukit-bukau dan lurah yang dia tidak pernah dia lihat dan tahu mengenainya.
Siapakah yang membawa dan meletakkan dia di dalam keretapi tersebut? Bilakah perkara ini bermula? Siapakah yang sedang memandunya? Siapakah pula yang menyusun dan mengatur perjalanannya? Apakah yang orang tersebut mahu daripadanya secara peribadi selepas ini? Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu semua ini.
Apakah anda berpendapat insan berkenaan boleh menutup fikiran dari segala persoalan tersebut? Bolehkah dia merehat urat sarafnya dari terus mendesak dan mencari jawapan mengenai apa yang dia tidak tahu itu? Bolehkah kemudiannya dia terus asyik berseronok suka dengan melihat jalanan yang cantik dan pandangan yang asing?
Samaada gerabak tersebut dipenuhi dengan peralatan mewah dan terhias dengan segala perkara yang melalaikan, atau ianya dipenuhi dengan perkara yang menduka dan menyusahkan, namun apakah mungkin untuk dia menjadikan semua itu melupakan dia dari apa yang didesak kepadanya oleh tekanan fikiran dan akalnya? Juga dari kerisauan dan kekeliruan disebabkan keadaan yang tanpa pilihannya, dia dalam lautan kejahilan.
Sekalipun demikian, namun masalah tersebut adalah masih kecil lagi terhad, bilamana keluasan keretapi tersebut adalah terhad dan dalam lingkungan alam yang diketahui tanda-tanda dan kebiasaanya. Ini kerana, bagaimana sekalipun ia bergerak ke timur atau ke barat ia sama sekali tidak akan keluar dari ruang lingkupnya dan tidak akan melepasi melainkan dalam lingkungan bumi.
Namun masalah tersebut bertukar menjadi besar dan begitu besar bilamana keretapi tersebut adalah alam ini keseluruhannya. Bilamana pergerakannya itu adalah merupakan keadaan rangkaian kehidupan insan. [m.s. 6-7, Cetakan Dar al-Fikr al-Mu`asir, Lubnan]
Demikian Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti cuba membayangkan keadaan insan yang sejak kecil membuka matanya dan melihat alam serta pergerakan di sekelilingnya. Juga yang lebih penting melihat dirinya sendiri serta rangkaian perjalanan hidupnya. Apakah tidak terdesak jiwanya untuk bertanya tentang hakikat diri, apakah keadaan yang sedang dihadapinya dan apakah kesudahannya nanti? Mungkinkah pengaruh suasana sekelilingnya boleh atau mampu melupakan dia untuk mencari jawapan bagi erti kehidupannya? Kalaulah ada insan yang demikian tentulah dia sejahil-jahil manusia secara mutlak kerana dia telah lalai memikirkan perkara yang menjadi dasar insan berakal.
Perlunya Hidayah Islam
Persoalan-persoalan ini walaupun muncul dari fitrah manusia dan ianya sesuatu yang sangat baik untuk membolehkan insan mencari kebenaran namun jika insan tanpa bimbingan hidayah atau petunjuk dari Allah, persoalan-persoalan tersebut juga boleh menjadi punca insan sesat dengan sesesatnya. Jika insan tidak dibimbang dengan petunjuk daripada Allah maka persoalan-persoalan tadi terus mencari berlegar dalam fikiran insan dan akhirnya mereka mencipta jawapan yang salah lagi sesat dalam kehidupan. Jika petunjuk sebenar tidak sampai kepada insan maka tuhan-tuhan palsu pasti akan muncul, kehendak-kehendak tuhan secara palsu juga akan diandaikan dan alam selepas kematian akan dibayangkan mengikut kehendak fikiran dan kepentingan tertentu. Akan ada yang mengambil kesempatan dari kehendak atau tuntutan fitrah tersebut dengan mencari kepentingan dunia lalu mencipta ajaran agama untuk kepentingan diri dan harta. Maka lahirlah agama-agama palsu di atas muka bumi.
Allah Tuhan Yang Sebenar tidak akan membiarkan insan tenggelam dalam kesesatan tanpa bimbingan hidayah yang asli dariNya sendiri yang menciptakan alam keseluruhannya serta Maha Berkuasa dengan penuh keagungan. Untuk itu, setiap umat diutuskan Rasul yang membawa ajaran Islam bagi memberikan jawapan sebenar terhadap persoalan insan dalam hidup. Para Rasul bukan mencipta ajaran mengikut akal mereka tetapi mereka menyampaikan ajaran daripada Allah Yang menurunkannya kepada mereka menerusi proses yang dinamakan wahyu. Tiada siapa yang berhak berbicara mengenai Allah melainkan Allah sendiri dan perbicaraan Allah itu telah disampaikan kepada sekelian insan menerusi para Rasul. Para rasul bukan sekadar memberitahu tetapi membimbing dan mendidik. Rasul yang terakhir ialah Muhammad bin `Abdillah yang membawa ajaran Islam dari Allah.
Firman Allah, maksudnya:
Firman Allah, maksudnya:
Sesungguhnya ad-Din (agama) di sisi Allah ialah Islam. [Surah Ali `Imran ayat 19]
Firmannya lagi, maksudnya:
Sesiapa yang mencari selain dari Islam sebagai agama maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk dari kalangan mereka yang rugi. [Surah Ali `Imran ayat 85]
Maka kedatangan Islam daripada Allah yang mencipta alam dan segala isinya telah memberikan jawapan yang sebenar kepada semua persoalan tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. adalah kesinambungan dalam menyampaikan risalah dari Allah dan memberikan jawapan kepada persoalan insan.
Justeru itu wajib kepada semua insan - tanpa kecuali - yang hidup selepas kedatangan Nabi s.a.w meyakini, menerima dan menghayati ajaran Islam yang bawa oleh Muhammad bin Abdullah, utusan Allah yang akhir itu demi keselamatan kehidupan mereka yang hakiki.
Setiap insan tahu bahawa dia tidak datang ke dunia ini dengan kebijaksanaannya. Tidak juga kerana kebijaksaan kedua ibubapanya.
Kalaulah insan wujud di dunia dengan pilihan dan kebijaksanaannya tentulah semua insan dapat menentukan rupa paras yang cantik lagi menawan bagi diri dan keluarganya. Tentu kesemuanya memilih untuk lahir di tengah banglo atau istana mewah dan keluarga yang kaya-raya. Namun keadaannya tidak begitu. Hinggakan pasangan suami isteri pun sama sekali tidak boleh memilih paras rupa anak yang bakal lahir. Kalau hal ini boleh ditentukan sudah pasti setiap insan lahir dalam keadaan paling sempurna. Namun ternyata ianya di luar kawalan insani.
Ini semua menyedarkan insan bahawa adanya suatu kuasa yang Maha Agung yang mewujudkan manusia dengan kehendakNya. Dia adalah Allah. Dia tidak akan mempersoalkan insan tentang keputusan yang dipaksa ke atas mereka seperti hitam atau putihnya warna kulit seseorang, siapa ibu atau bapanya, di mana negeri kelahirannya, mengapa dia tidak pintar atau cerdas, sempurna atau cacat dan seumpamanya. Dia hanya akan menyoal apakah mereka telah menunaikan tanggungjawab yang Dia wajibkan ke atas mereka. Adapun segala kejadian tanpa pilihan insan itu adalah bagi mewujudkan sistem hidup di alam ini dan menyedarkan insan betapa mereka semua bergantung kepada Tuhan, Allah Yang Maha Esa.
Firman Allah di dalam al-Quran, maksudnya:
Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun. Diaa menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, mudah-mudahan kamu bersyukur. [Surah an-Nahl ayat 78]
Firman Allah dalam al-Quran lagi, maksudnya:
Firman Allah dalam al-Quran lagi, maksudnya:
Dia (Allah) membuat setiap yang Dia cipta sebaik-baiknya (yang paling sesuai) dan Dia telah memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia telah menciptakan keturunannya dari saripati air yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniup ke dalam tubuhnya ruh dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi sedikit sekali yang bersyukur. [Surah as-Sajdah ayat 7-9]
Berbagai-bagai lagi sifat dan ciri insan yang Allah bentangkan di dalam al-Quran bagi menggambarkan betapa setiap insan faqir kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Apabila menyedari diri sebagai makhluk (yang diciptakan) dan Allah sebagai Khaliq (Pencipta) dengan segala rahsia ciptaan dan kehebatannya maka timbulnya perasaan kehambaan dan mengharapkan Allah dalam segala hal. Timbulnya perasaan bergantung serta bertawakal kepada Allah.
Apabila menyedari diri sebagai makhluk (yang diciptakan) dan Allah sebagai Khaliq (Pencipta) dengan segala rahsia ciptaan dan kehebatannya maka timbulnya perasaan kehambaan dan mengharapkan Allah dalam segala hal. Timbulnya perasaan bergantung serta bertawakal kepada Allah.
Bahkan Allah juga telah membekalkan ke dalam jiwa manusia secara fitrah atau sejak kelahirannya beberapa sifat dan perasaan secara tersedih dari sisi Allah. Dibekalkan kepada insan sifat kasih-sayang, perasaan marah, perasaan sedia, perasaan ingin dihargai, ingin dikasihi, perasaan cinta antara lelaki dan perempuan dan berbagai lagi. Antara yang paling nyata dibekalkan tuhan dalam jiwa insan adalah sifat atau perasaan merasai kewujudan Tuhannya. Sebab itu kita dapat saksikan walau di mana pun manusia berada mereka tetap mempercayai Tuhan. Sekalipun ajaran agama tidak sampai kepada seseorang namun hati nuraninya tetap bertanya tentang Tuhan.
Golongan yang mengaku diri mereka komunis pun pada hakikatnya tetap merasai kewujudan Tuhan. Sifat ego sahaja yang menjadikan lidah mereka menafikannya.
Adapun golongan mereka yang mendakwa free-thinker atau bebas dari segala ikatan kepercayaan atau agama meraka sebanarnya bukan tidak percaya tentang adanya Tuhan tetapi mereka terkeliru dalam menentukan "siapakah Tuhan yang sebenar, sifatNya, juga apakah ajaran yang sebenar dariNya?" Mereka terkeliru dengan agama-agama palsu yang mereka lihat. Atau nafsu mereka ingin bebas dan bermaharaja agar mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa ikatan agama. Sebab itu kita lihat apabila Islam yang sebenar diterangkan kepada mereka dengan jelas kita mendapati kebanyakan daripada mereka bersegera menyahut panggilan hidayah Islam dengan rela dan gembira.
Di atas ciri ini, maka Allah yang menciptakan manusia, menyebut di dalam al-Quran tentang golongan kafir yang menentang Nabi s.a.w, maksudnya:
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka (golongan kafir); "Siapakah yang menjadikan yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan (mentadbir) matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar) [Surah al-'Ankabut ayat 61]
Menentukan Tuhan Yang Sebenar
Kesimpulannya, manusia semuanya percaya wujudnya Tuhan tetapi mereka gagal menentukan bagaimanakah Tuhan yang sebenar. Bagaimanakah sifatNya dan jalan menghampiri diri kepadaNya. Lalu mereka meramalkan Tuhan mengikut fikiran dan suasana masing-masing. Ada yang meramalkan Tuhan itu seperti manusia atau seperti binatang yang besar atau beranak-pinak atau apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Pengikut ajaran hindu umpamanya, mereka membayangkan Tuhan itu seperti orang-orang India. Mereka mengukir bentuk Tuhan dengan rupa paras orang-orang India. Mata, warna kulit, bentuk badan dan segala-gala seperti rupa bangsa mereka. Seakan-akan Tuhan hanyalah untuk manusia di negeri India sahaja. Begitulah juga agama-agama lain yang menyesatkan. Mereka mengukir atau melukis dengan tangan mereka lalu mereka menyembahnya.
Ada juga manusia yang memilih Tuhan berdasarkan apa yang dia takuti. Bilamana dia kagum atau gerun dengan pokok yang besar atau sungai atau laut lalu mereka merasai di situ bertahtanya tuhan lalu mereka menyembahnya, ini seperti kebanyakan suku kaum yang hidup di hutan.
Demikian gambaran kekeliruan manusia dalam mencari Tuhan yang sebenar.
Keterbatasan `Akal
Insan pasti akur bahawa segala kemampuannya sekali pun hebat ada had atau batasan yang dia tidak dapat lakukan. Mata yang dimilikinya ada batasan jarak, bentuk, warna yang tidak mampu dilihatnya. Telinga yang dimiliki ada batasan gelombang yang tidak mampu di dengar.
Bahkan kalau insan menulis angka dari satu hingga sepuluh di dalam sepuluh keping kertas yang kecil lalu dimasuk kesemuanya - secara bercampur - ke dalam sakunya dan diminta supaya dia mengeluarnya semula menurut susunan satu hingga sepuluh tanpa melihat kepada kertas-kertas tersebut, sudah pasti dia tidak mampu mengeluarkan secara tertib dan teratur kerana matanya tidak dapat mengesan, sekali kertas-kertas itu berada dalam sakunya sendiri.
Demikianlah keterbatasan jangkauan insan. Maka akal insan juga amat terbatas. Bukan semua perkara boleh dirumuskan oleh akal. Kalau hanya sepuluh keping kertas insan tidak dapat mengagaknya dengan tepat bagaimana insan ingin memikirkan tentang diri Tuhan yang sebenar, sifat Tuhan yang sebenar, kehendak atau tuntutan Tuhan kepada insan dan apa yang bakal Tuhan lakukan kepada insan. Ini semua gagal dicapai oleh insan tanpa bimbingan dari Tuhan sendiri melalui pengutusan para Rasul.
Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin