"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 31/7/2015 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Monday, March 21, 2011

5 Kebenaran yang Allah SWT akan nilai

http://islam.makcdn.com/image21648_500_361/500X361.jpg
  1. Benar dalam tutur bicara.
  2. Benar dalam niat dan kemahuan.
  3. Benar dalam keazaman.
  4. Benar dalam menepati janji.
  5. Benar dalam amalan.
Maksud benar disini juga adalah semua perkara tersebut diatas mesti menepati kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW yang berlawanan dengan nafsu dan kejahatan.
Rujukan:
Bimbingan Mukmin, m/s: 806.

Allah SWT membuka hati mereka

Pintu hati dibuka Allah

“KALAU kita hebat di dunia, kalau masuk ke dalam neraka, ia tidak berbaloi,” demikian ucap pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah yang juga pemegang gelaran tokoh Maal Hijrah 1429 peringkat Selangor tatkala membahas tentang ‘Mencari Jalan Pulang.’
Tidak dinafikan, ringkas kata sosok terkenal berusia 59 tahun itu. Hakikatnya, ia mampu meninggalkan bekas di hati sesiapa sahaja mendengar. Topik yang dikupas, sedikit sebanyak berupaya mengingatkan orang lain supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat.
Cuma satu pesannya: “Sekali kita sudah bertaubat dan tidak mengulangi dosa silam, jangan pula kita menghina orang lain. Selami dengan sebetulnya jiwa sendiri agar dapat mencari jalan pulang yang diredhai oleh Allah Taala. Itu lebih indah daripada segala-galanya.”
Tidak sekadar menitipkan kata-kata hikmat itu kepada dua individu berada di depannya – Datuk Malek Nor dan Amy Search, Fadzilah juga sempat mengisyarat luahan tersebut kepada seluruh umat Islam terutama yang mendapat petunjuk untuk pulang semula kepada-Nya.
Bertempat di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu, Fadzilah yang diberi mandat selaku pengemudi program bual bicara, Selami Jiwa di saluran Oasis (106) mengundang Malek dan Amy sambil berkongsi segenap emosi tentang pengertian penghijrahan.
Fadzilah yang membenihkan karier sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1977 mengaku kehebatan Malek dan Amy. Masakan tidak, mereka mengamal dasar keterbukaan untuk berkongsi perjalanan hidup masing-masing yang sifatnya pernah gelap.
“Saya bangga apabila golongan selebriti terutama seperti Malek dan Amy yang sudi bercerita tentang masa silam mereka. Malah, saya dapati ada artis lain, sedikit demi sedikit mula ada keberanian menyuarakan isi hati sendiri dengan tujuan menjadikan ia sebagai pengajaran.
PROGRAM temu bual terbaru kelolaan Dr. Fadzilah Kamsah ini mempunyai matlamat yang murnia dalam membina semula sahsiah dan jati diri umat Islam. 
“Cuma nasihat saya, kita harus menyokong keputusan yang mereka lakukan. Selain itu, perubahan dalam diri perlu dikongsi dengan orang-orang tersayang. Dalam masa sama, kita kena ada guru, beli pelbagai kitab dan cari orang tertentu untuk dirujuk dari semasa ke semasa.
“Saya sendiri ada 70 nombor individu dalam telefon bimbit untuk dijadikan rujukan pada bila-bila masa jika menghadapi sebarang persoalan. Dan penting, kita kena memperbetulkan persekitaran dengan memilih kawan supaya tidak lagi mengulangi kesilapan ataupun dosa lalu.”
Sementara itu, Malek dan Amy yang kelihatan khusyuk menerima segala maklumat yang disalurkan daripada Fadzilah tidak ketinggalan meluah kelainan dirasai dalam diri selepas mengambil kata putus untuk merealisasikan transisi kepada-Nya. Satu persatu dimuntahkan waima bunyinya agak personal.
Dikelar besi panas
Umum mengetahui, penama lengkap Abdul Malek Mohamad Noor atau Malek, 54, mula melewati hidup sebagai pengikut Islam sejati sejak lapan tahun lepas.
Selepas satu demi satu musibah melanda, gerak hatinya berbisik, itu barangkali ujian Allah agar kembali menjadi sebenar Muslim.
Ironinya, selepas tergelincir jauh dari landasan dan tidak mempedulikan Allah sewaktu berada di tengah kota Hong Kong dan Amerika Syarikat awal 90-an, tahun 2002 menjadi saksi apabila jiwa semakin menua itu acapkali tidak tenang biar hidup berbalut kemewahan duniawi.
Didatangi pelbagai mimpi ngeri hampir setiap malam Jumaat termasuk dibakar api neraka, tubuhnya dikelar dengan besi panas, kemuncak Malek mengubah diri saat laungan azan Maghrib berkumandang di balkoni kediamannya yang menghadap Menara Berkembar Petronas.
AMY dan Malek Noor merupakan dua ikon yang meraih populariti dan menjadi pujaan dalam bidang glamor masing-masing. 
Masa terus berlalu. Saat anak jati Batu Pahat, Johor itu kini menyerahkan seluruh hidupnya kepada Yang Maha Kuasa, dia mengalami mimpi didatangi arwah ibu, Jairiah Alias menaburkan bunga emas kepadanya dan memimpin ke Masjidil Haram lalu bersujud di depan Kaabah.
Sambil air mata jantannya gugur, ujar Malek, mimpi dialami ini cukup indah sekali gus menyedarkan diri bahawa ibu dan ayahnya yang telah meninggal dunia sentiasa ‘mendoakan’ si anak dari alam kubur. Lantaran itu, tidak hairan apabila kalimat syukur sentiasa terpacul dari bibirnya.
“Saya percaya, doa ibu dari alam barzakh meniupkan semangat ini untuk mendekatkan diri kepada Allah. Diakui, mengambil keputusan untuk bertaubat susah dan ia tidak punya persediaan. Kerana itu, sekali kita ingin kembali kepada Tuhan, kita nekad insaf selama-lamanya.
“Kini, saya puas dengan kehidupan baru. Meski hidup bersendirian selepas dua kali mengalami penceraian, saya mahu bercinta sepenuhnya dengan Allah. Apa jua dilakukan termasuk makan, tidur, memandu, bekerja, keluar rumah dan lain-lain, semua bersama dengan-Nya.
“Sejujurnya, saya tidak minta orang lain bertaubat dan mengikut seperti apa dilakukan ini. Tetapi, tugas saya hanya mahu membuka pintu sedikit kepada orang lain untuk melihat dunia dan akhirat,” tutur Malek yang enggan lagi berhambakan wang ringgit dan material.
Kelahiran semula
Berbeza pengalaman daripada Malek, vokalis kumpulan rock tersohor Search, Amy, awal-awal lagi merasai kelainan dalam diri selepas bergelut dalam belantika muzik tanah air sejak tiga dekad lalu. Pelbagai persoalan melintang di kotak fikirnya tanpa mampu ditolak.
Jelas pemilik nama berdaftar Suhaimi Abdul Rahman, sepanjang bergelar penyanyi dan tingginya populariti diraih, setiap malam sebelum matanya dapat lelap dengan sempurna, dia sering tertanya kepada diri tentang penamat kepada jalan yang diinginkan dalam hidup.
Hati saya meronta ingin kelahiran semula dan hidup hakiki yang dicintai. Bayangkan, apa jua diminta, Dia beri kepada saya. Situasi ini berlarutan dan saya akui memang tidak mendapat kebahagiaan. Melalui satu proses penceraian dan berlaku lagi dalam rumah tangga.
“Tidak terkecuali, saya mengidam untuk ada anak lelaki dalam hidup. Dalam pada itu, saya bertemu wanita yang kini menjadi isteri. Enggan ambil waktu panjang, saya terus bernikah.Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, kami dikurniakan dengan cahaya mata lelaki.
“Kemuncaknya, saya menunaikan umrah buat kali pertama pada tahun 2007 sambil depan Kaabah terfikir kenapa Dia menganugerahkan bakat seni ini. Akhirnya, saya sedar, suara ini sebagai tanggungjawab kepada orang lain,” ucap Amy dengan getar suara perlahan.
Usai pulang dari Tanah Suci, pelantun lagu Isabella itu terdorong untuk menjalani penghijrahan. Tambah lelaki berusia 52 tahun itu, dia seperti menjalani fasa penyucian di rumah Allah sehinggakan menikmati perasaan sukar terucap dengan kata biasa.
“Rupa-rupanya, setelah diimbas kembali, lagu-lagu saya nyanyikan selama ini ada maksud mendalam. Malah, Dia menguji saya dengan ujian yang tidak terpandang termasuk pernah ditipu wang ringgit sehingga menangisi insiden berlaku akibat terlampau kecewa.
“Saya bagaimanapun bersyukur kerana selepas tiga tahun lalu, akhirnya saya mula nampak apa yang diingini dalam hidup. Kalau ada duit banyak sekalipun, ia tetap tidak beri kebahagiaan sebenar. Jiwa kita yang seharusnya ada cinta kepada Dia,” luah Amy.
Source: Kosmo

Padah jika ke Makkah untuk kejar gelaran haji

khutbah+mekah.jpg
PERSIAPAN untuk berangkat menunaikan ibadat haji bukan sekadar menghadiri kursus-kursus haji saja, tetapi ia juga menuntut pemantapan ilmu dan perlu dilakukan berterusan, sehingga tiba masa untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ilmu yang dipelajari sewaktu berkursus saja tidak mencukupi untuk seseorang itu berhadapan dengan situasi sebenar apabila berada di Makkah dan perkara sebegini banyak berlaku kerana ramai yang pergi haji sekadar untuk mencukupi rukun Islam bukan untuk memperoleh haji mabrur.
Johan Abdullah adalah seorang jemaah haji yang dikurniakan kemewahan hidup hasil daripada perniagaan berasaskan import dan eksport yang diusahakan bersama isterinya. Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Johan tidak melupakan nikmat yang diberikan Tuhan.
Suatu petang sewaktu sedang bersantai pasangan itu berbincang mengenai hasrat mereka menunaikan haji.
“Perniagaan kita semakin maju. Duit simpanan kita pun lebih daripada mencukupi, jiran kiri kanan dah bergelar haji, kita pula bila lagi?,” tanya si suami.
“Saya bila-bila saja. Tunggu lampu hijau dari awak je,” jawab isterinya spontan.
“Kalau nak pergi melalui Tabung Haji memang dah tak sempat. Apa kata kita cari pakej haji yang menawarkan perkhidmatan dan dijamin boleh pergi dengan segera. Saya ada dengar macam-macam mengenai pakej sebegini, ada juga yang bila sampai di Makkah macam-macam masalah timbul. Itulah, inilah, bilik tidak selesa. Kalau boleh saya tidak mahu jadi begitu. Nak buat ibadat ini mesti dalam keadaan selesa, baru boleh beri tumpuan,” kata si suami.
Selepas mencapai kata sepakat, pasangan itu mengambil keputusan untuk memilih mengerjakan haji melalui pakej haji. Oleh kerana kewangan mereka yang kukuh, pasangan itu mengambil keputusan memilih pakej yang mahal kerana inginkan keselesaan dan ‘privacy’.
Memandangkan musim haji hanya beberapa bulan lagi ditambah pula dengan kesibukan mereka menguruskan perniagaan, Johan tidak ada masa untuk menghadiri kursus haji.
Johan hanya mengambil tempoh kursus singkat iaitu selama dua hari sebagai persiapan berangkat ke Tanah Suci. Daripada 32 jam yang sepatutnya diperuntukkan untuk kursus haji, Johan cuma berkursus lapan jam saja.
Ini kerana beliau mengharapkan bimbingan 100 peratus oleh pengendali pakej. Bagaimanapun, dalam masa yang terhad, guru pembimbing hanya boleh mengajar secara dasar atau pokok saja, sedangkan permasalahan haji tidak disentuh.
Jika disentuh pun hanya sepintas lalu saja. Yang lain adalah mengenai peraturan pakej dan perjalanan haji.
Sewaktu kursus haji yang singkat itu, timbul satu soalan dari seorang peserta: “Bagaimana keadaannya jika kami bersentuh lelaki dan perempuan ketika tawaf. Adakah ia akan membatalkan wuduk sehingga boleh menjejaskan ibadat haji?”
Guru agama menjelaskan, mengikut pendapat dalam mazhab Syafie, perkara itu tidak membatalkan wuduk kerana dianggap berada dalam keadaan darurat. Kenyataan itu memberikan keyakinan kepada semua jemaah yang hadir waktu itu.
“Tuan dan puan jangan bimbang, sampai di sana nanti ikut saja apa yang saya lakukan,” kata pembimbing itu meyakinkan bakal haji.
Apabila tiba masanya mereka pun berangkat dan mereka menunaikan haji Tamattuk iaitu menunaikan umrah terlebih dulu dalam bulan haji. Apabila melakukan tawaf, Johan dan isterinya saling berpegangan tangan kerana bimbang terpisah.
Bagi Johan dan isterinya, walaupun tidak banyak pengetahuan yang dipelajari mengenai haji, mereka tarik nafas lega kerana yakin sudah menyelesaikan semua rukun umrah dengan sempurna.
Selepas menghabiskan masa dengan ibadat iaitu bergunting dan bertahallul, pasangan itu kembali ke tempat penginapan yang bertaraf lima bintang. Berbaloi dengan bayaran mahal, perkhidmatan yang diberikan sudah tentu memuaskan hatinya dan kerana terlalu gembira pasangan itu mengadakan hubungan seks.
Menjelang musim haji iaitu tiga hari sebelum wukuf, satu muzakarah yang dihadiri panel majlis penasihat haji diadakan. Ketika itu, timbul beberapa persoalan berkaitan apa yang pernah dinyatakan oleh guru agama sebelum ini.
“Kami datang mengikut mazhab Syafie, adakah batal wuduk apabila bersentuhan lelaki dan wanita semasa mengerjakan tawaf?” tanya seorang jemaah.
“Kalau kita duduk di rumah, ambil wuduk, kita pegang tangan isteri dan pergi sembahyang bersama, batal tak?” soal guru agama.
“Batal,” jawab jemaah secara spontan.
“Jadi kalau kita datang ke Makkah dengan cara berwuduk yang sama kenapa tak batal?” tanya guru agama.
“Guru agama kami beritahu tidak batal kerana dalam keadaan darurat,” jawab jemaah tadi.
“Kecuali kalau kita tukar mazhab, ambil wuduk yang tak batal,” ujar seorang jemaah.
Selain wuduk, Johan turut mencelah :“Saya sudah menunaikan umrah menggunakan wuduk Syafie dan sudah bersama dengan isteri, bagaimana pula?” Johan mahukan kepastian.
Mendengar pertanyaan itu dengan nada terkejut guru agama bertanya :“Bagaimana boleh jadi begitu?”.
“Sudah diajar begitu, saya ikutlah,” katanya.
Barisan panel yang terdiri daripada tiga orang pun bermuzakarah sesama sendiri. Dua daripadanya berpendapat pasangan itu wajib membayar seekor unta kerana bersetubuh dalam ihram, seorang lagi pula berpendapat tidak mengapa kerana mereka sudah diberi fatwa oleh guru agamanya.
Menyedari kesalahan yang dilakukan, Johan dan isterinya mengambil keputusan untuk membayar dam seekor unta sambil menyalahkan pengendali pakej.
“Kenapa ambil guru agama yang tidak mantap dan ikut mudah saja. Kita sudah keluarkan belanja yang banyak untuk mendapatkan khidmat dan guru pembimbing yang baik?” Johan merungut-rungut.
Isterinya diam seribu bahasa sambil hatinya berkata-kata:“Nak salahkan siapa lagi, pergi haji di saat-saat akhir, ilmu masih tidak mantap, asyik nak kejar gelaran haji, inilah padahnya”.
Namun atas rasa insaf, ditaatilah apa yang difikirkan sesuai memandangkan waktu wukuf sudah tiba. Persoalan tetap bermain di kepala.
Tidak wajar menganggap duit yang banyak boleh membeli syurga ciptaan Allah. Syurga Allah hanya boleh ‘dibeli’ dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan jangan menganggap ibadah hajiperkara mudah walaupun dari segi dasar haji nampak mudah tetapi dari segi pelaksanaan begitu sukar kerana setiap orang mempunyai masalah tersendiri.
Mengerjakan haji tidak perlu dalam keadaan gopoh, sebaliknya dilakukan dengan penuh ketenangan di samping mendengar banyak pandangan dan penuh keyakinan. Akhir sekali bertawakal kepada Allah.