PERSIAPAN untuk berangkat menunaikan ibadat haji bukan sekadar menghadiri kursus-kursus haji saja, tetapi ia juga menuntut pemantapan ilmu dan perlu dilakukan berterusan, sehingga tiba masa untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ilmu yang dipelajari sewaktu berkursus saja tidak mencukupi untuk seseorang itu berhadapan dengan situasi sebenar apabila berada di Makkah dan perkara sebegini banyak berlaku kerana ramai yang pergi haji sekadar untuk mencukupi rukun Islam bukan untuk memperoleh haji mabrur.
Johan Abdullah adalah seorang jemaah haji yang dikurniakan kemewahan hidup hasil daripada perniagaan berasaskan import dan eksport yang diusahakan bersama isterinya. Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Johan tidak melupakan nikmat yang diberikan Tuhan.
Suatu petang sewaktu sedang bersantai pasangan itu berbincang mengenai hasrat mereka menunaikan haji.
“Perniagaan kita semakin maju. Duit simpanan kita pun lebih daripada mencukupi, jiran kiri kanan dah bergelar haji, kita pula bila lagi?,” tanya si suami.
“Saya bila-bila saja. Tunggu lampu hijau dari awak je,” jawab isterinya spontan.
“Kalau nak pergi melalui Tabung Haji memang dah tak sempat. Apa kata kita cari pakej haji yang menawarkan perkhidmatan dan dijamin boleh pergi dengan segera. Saya ada dengar macam-macam mengenai pakej sebegini, ada juga yang bila sampai di Makkah macam-macam masalah timbul. Itulah, inilah, bilik tidak selesa. Kalau boleh saya tidak mahu jadi begitu. Nak buat ibadat ini mesti dalam keadaan selesa, baru boleh beri tumpuan,” kata si suami.
Selepas mencapai kata sepakat, pasangan itu mengambil keputusan untuk memilih mengerjakan haji melalui pakej haji. Oleh kerana kewangan mereka yang kukuh, pasangan itu mengambil keputusan memilih pakej yang mahal kerana inginkan keselesaan dan ‘privacy’.
Memandangkan musim haji hanya beberapa bulan lagi ditambah pula dengan kesibukan mereka menguruskan perniagaan, Johan tidak ada masa untuk menghadiri kursus haji.
Johan hanya mengambil tempoh kursus singkat iaitu selama dua hari sebagai persiapan berangkat ke Tanah Suci. Daripada 32 jam yang sepatutnya diperuntukkan untuk kursus haji, Johan cuma berkursus lapan jam saja.
Ini kerana beliau mengharapkan bimbingan 100 peratus oleh pengendali pakej. Bagaimanapun, dalam masa yang terhad, guru pembimbing hanya boleh mengajar secara dasar atau pokok saja, sedangkan permasalahan haji tidak disentuh.
Jika disentuh pun hanya sepintas lalu saja. Yang lain adalah mengenai peraturan pakej dan perjalanan haji.
Sewaktu kursus haji yang singkat itu, timbul satu soalan dari seorang peserta: “Bagaimana keadaannya jika kami bersentuh lelaki dan perempuan ketika tawaf. Adakah ia akan membatalkan wuduk sehingga boleh menjejaskan ibadat haji?”
Guru agama menjelaskan, mengikut pendapat dalam mazhab Syafie, perkara itu tidak membatalkan wuduk kerana dianggap berada dalam keadaan darurat. Kenyataan itu memberikan keyakinan kepada semua jemaah yang hadir waktu itu.
“Tuan dan puan jangan bimbang, sampai di sana nanti ikut saja apa yang saya lakukan,” kata pembimbing itu meyakinkan bakal haji.
Apabila tiba masanya mereka pun berangkat dan mereka menunaikan haji Tamattuk iaitu menunaikan umrah terlebih dulu dalam bulan haji. Apabila melakukan tawaf, Johan dan isterinya saling berpegangan tangan kerana bimbang terpisah.
Bagi Johan dan isterinya, walaupun tidak banyak pengetahuan yang dipelajari mengenai haji, mereka tarik nafas lega kerana yakin sudah menyelesaikan semua rukun umrah dengan sempurna.
Selepas menghabiskan masa dengan ibadat iaitu bergunting dan bertahallul, pasangan itu kembali ke tempat penginapan yang bertaraf lima bintang. Berbaloi dengan bayaran mahal, perkhidmatan yang diberikan sudah tentu memuaskan hatinya dan kerana terlalu gembira pasangan itu mengadakan hubungan seks.
Menjelang musim haji iaitu tiga hari sebelum wukuf, satu muzakarah yang dihadiri panel majlis penasihat haji diadakan. Ketika itu, timbul beberapa persoalan berkaitan apa yang pernah dinyatakan oleh guru agama sebelum ini.
“Kami datang mengikut mazhab Syafie, adakah batal wuduk apabila bersentuhan lelaki dan wanita semasa mengerjakan tawaf?” tanya seorang jemaah.
“Kalau kita duduk di rumah, ambil wuduk, kita pegang tangan isteri dan pergi sembahyang bersama, batal tak?” soal guru agama.
“Batal,” jawab jemaah secara spontan.
“Jadi kalau kita datang ke Makkah dengan cara berwuduk yang sama kenapa tak batal?” tanya guru agama.
“Guru agama kami beritahu tidak batal kerana dalam keadaan darurat,” jawab jemaah tadi.
“Kecuali kalau kita tukar mazhab, ambil wuduk yang tak batal,” ujar seorang jemaah.
Selain wuduk, Johan turut mencelah :“Saya sudah menunaikan umrah menggunakan wuduk Syafie dan sudah bersama dengan isteri, bagaimana pula?” Johan mahukan kepastian.
Mendengar pertanyaan itu dengan nada terkejut guru agama bertanya :“Bagaimana boleh jadi begitu?”.
“Sudah diajar begitu, saya ikutlah,” katanya.
Barisan panel yang terdiri daripada tiga orang pun bermuzakarah sesama sendiri. Dua daripadanya berpendapat pasangan itu wajib membayar seekor unta kerana bersetubuh dalam ihram, seorang lagi pula berpendapat tidak mengapa kerana mereka sudah diberi fatwa oleh guru agamanya.
Menyedari kesalahan yang dilakukan, Johan dan isterinya mengambil keputusan untuk membayar dam seekor unta sambil menyalahkan pengendali pakej.
“Kenapa ambil guru agama yang tidak mantap dan ikut mudah saja. Kita sudah keluarkan belanja yang banyak untuk mendapatkan khidmat dan guru pembimbing yang baik?” Johan merungut-rungut.
Isterinya diam seribu bahasa sambil hatinya berkata-kata:“Nak salahkan siapa lagi, pergi haji di saat-saat akhir, ilmu masih tidak mantap, asyik nak kejar gelaran haji, inilah padahnya”.
Namun atas rasa insaf, ditaatilah apa yang difikirkan sesuai memandangkan waktu wukuf sudah tiba. Persoalan tetap bermain di kepala.
Tidak wajar menganggap duit yang banyak boleh membeli syurga ciptaan Allah. Syurga Allah hanya boleh ‘dibeli’ dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan jangan menganggap ibadah hajiperkara mudah walaupun dari segi dasar haji nampak mudah tetapi dari segi pelaksanaan begitu sukar kerana setiap orang mempunyai masalah tersendiri.
Mengerjakan haji tidak perlu dalam keadaan gopoh, sebaliknya dilakukan dengan penuh ketenangan di samping mendengar banyak pandangan dan penuh keyakinan. Akhir sekali bertawakal kepada Allah.
No comments:
Post a Comment