"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 31/7/2015 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Tuesday, February 15, 2011

Bahaya Memandai-mandai Dalam Urusan Agama


http://img200.imageshack.us/img200/7431/copmohoprasulullah.jpg
Ada golongan pelajar, profesional atau yang baru berjinak-jinak belajar hadith. Bahkan mengaku dirinya sebagai salafi. Bila berbicara tentang hadith atau hukum biasanya tidak lepas menggunakan kalam Imam Syafie.
Mereka kata :
Imam Syafie sendiri mengatakan ambil hadith sahih. Hadith Sahih itulah mazhabku.
Ungkapan inilah yang selalu digunakan untuk membenarkan tindakan mengeluarkan hukum sendiri. Walaupun dirinya jahil dan tiada disiplin ilmu langsung untuk istinbath hukum.
Bahaya sebenarnya memandai-mandai dalam perkara agama yang melibatkan hukum hakam.
Sebab RasuluLlah sendiri telah bersabda yang bererti :
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramailah sekarang ini yang berlagak seperti mujtahid. Bila berkata terus keluarkan hadith (itupun belum tentu ia menguasai bahasa Arab untuk tahu tentang hadith). Asal ada isu terus keluarkan hukum dari hadith.
Bolehkah jadi ulamak dengan hafal dan baca 10, 100 hadith sahaja?
Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
“Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih…? “Tidak…!”, jawabnya. “Dua ratus ribu hadith..?” “Tidak..!.. katanya. “Tiga ratus ribu hadith..?” “Tidak..! Jawabnya. “Empat ratus ribu hadith..? “Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.
Banyaknya perlu dihafaz hadith. 500,000 hadith dihafaz baru dikatakan sebagai faqeh. Itupun ulamak amat berhati-hati apabila mengeluarkan hukum walaupun sudah hebat dalam ilmunya. Contohnya :
Imam Malik pernah berkata :
Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antaraSyurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)”.
Ibn al Qasim berkata :
“Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : “Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti”.
Ibn Abi Layla pernah berkata :
“Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu ‘alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.
Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker’s Library, Selangor.
Hebat betul ulamak dan para sahabat zaman dahulu, mereka amat warak (berhati-hati) sebab takut untuk mengeluarkan hukum. Takut berdusta atas ALlah dan RasulNya. Ini halal dan ini haram hak siapa untuk berkata? Sedangkan ALlah sendiri mengingatkan kita dalam firmanNya :
“Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia.” (an-Nahl: 116)
Berbalik pada persoalan mengenai kalam Imam Syafie yang selalu digunakan oleh golongan tertentu untuk membenarkan tindakannya. Sebenarnya kalam Imam Syafie ini perlu difahami melalui ulamak yang mengikut mazhab syafie juga. Sebab mereka lebih arif dan mendalami apa pengertian sebenar kalam Imam Syafie yang dimaksudkan.
Imam Syafie ada menyatakan :
Apabila hadith itu sahih maka itulah mazhabku
Penjelasan :
Apa yang telah diucapkan oleh Imam Asy Syafie bahawa bila hadith itu sahih maka itulah mazhabnya. Ini bukan bererti bahawa kalau melihat suatu hadith sahih seseorang itu boleh menyatakan bahawa itu adalah mazhab syafie dan boleh diamalkan menurut zahirnya.
Apa yang tersebut di atas hanya ditujukan bagi orang yang sudah mencapai darjat ijtihad dalam mazhab Syafie sebagaimana telah kami terangkan sifat-sifatnya atau yang mendekati sifat tersebut.
Adapun syaratnya ialah ia harus mempunyai sangkaan yang kuat bahawa Imam Syafie rahimahuLLah belum pernah menemukan hadith tersebut atau tidak mengetahui kalau hadith itu sahih.
Untuk mengetahui hal ini, ia harus menelaah semua kitab Imam Asy Syafie dan kitab-kitab para ulama pengikutnya. Sudah tentu syarat ini sangat sulit dan jarang dapat dipenuhi. Adapun diisyaratkan demikian kerena Imam Syafie RahimahuLLah sendiri sering meninggalkan (tidak mengamalkan) hadith-hadith yang telah dilihat dan diketahuinya dan menurut pendapatnya bahawa hadith tersebut cacat dalam riwayatnya. atau maknanya sudah dinasakh, ditakhsis, ditakwil atau sebab lainnya.
Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid I, hlm 64.
Sekarang sudah jelas bukan? Perkataan Imam Syafie itu ditujukan untuk individu yang mencapai taraf mujtahid. Hendak jadi mujtahid bukan calang-calang orang boleh memiliki taraf ini. Perlu mengikut disiplinnya. Sebagaimana nak jadi seorang doktor bedah, perlu ada mengikuti kursus-kursusnya, kena tahu tentang biologi, atonomi dalam badan, perkara yang berkaitan dengan saraf. Bolehkan siapa sahaja mengklaim dirinya sebagai doktor bedah? Dan kemudian terus melakukan pembedahan ke atas pesakit? Apa akan terjadi pada pesakit tersebut? Contohnya : pesakit A perlu dibedah pada tulang belakang, tetapi ‘doktor bedah palsu’ ini membedah pesakit dan mengeluarkan jantungnya. Jawabnya – tamatlah riwayat pesakit itu atas kejahilan ‘doktor bedah palsu’ terbabit. Kerosakan demi kerosakanlah yang dibawanya.
Itu baru contoh doktor bedah. Bagaimana pula perihal hukum hakam agama yang diserahkan kepada bukan ahlinya? Jawapannya sudah ada diberikan di dalam hadith di atas pada permulaan bicara.

http://img200.imageshack.us/img200/7431/copmohoprasulullah.jpg

No comments: