Oleh RAZALI ENDUN
Sepanjang usia hampir 70 tahun saya memang tidak pernah berpuasa di luar negara. Ke Makkah menunaikan umrah pun bukan pada bulan Ramadan. Entah macam mana pada tahun 2009 ini Allah mengerakkan hati saya dan isteri untuk mengunjungi anak, menantu dan cucu-cucu di United Kingdom. Kami berangkat ke UK pertengahan Julai lalu dan berada di sana sehingga hujung September. Ini bermakna tahun ini kami berpuasa dan berhari raya di rantau orang.
Memang pun hasrat hati mahu berpuasa dan berhari raya di UK. Kebetulan jatuh pada musim panas, jadi tidaklah risau sangat dengan cuaca sejuk.
Keinginan untuk melihat bagaimana kaum Muslimin di UK berpuasa dan berhari raya sangat mendesak, maka kami tekalkan hati datang bercuti di sini di samping mengunjungi anak dan menantu yang sedang belajar.
Kami sampai di lapangan terbang Heathrow, London jam 5 pagi waktu tempatan. Siang membuka tirainya dan cahaya matahari menerangi bumi.
Waktu Subuh jam 3.19 pagi, manakala waktu Maghrib pula jam 9.15 malam. Ini bermakna waktu siang 17 jam, manakala malam waktunya amat pendek.
Ini bererti bulan puasa tahun ini tempoh siangnya antara 15-17 jam. Wow! Teruja juga iman.
Anak saya belajar di Universiti Loughborough, dua jam perjalanan dengan kereta dari kota London. Pekannya kecil, aman dan tenteram. Tidak ramai orang Islam di sini, barangkalisekitar ratusan orang sahaja. Yang ramai orang Bangladesh, India, Pakistan, Afrika dan Arab. Orang Malaysia rata-rata terdiri daripada pelajar di universiti berkenaan.
Amat payah untuk mengenali antara satu dengan yang lain kecuali apabila bertemu ketika solat Jumaat atau tarawih. Hanya melalui pakaian sahaja (berketayap bagi lelaki dan berjiblab bagi muslimah) dapat dipastikan mereka beragama Islam. Memang ramai orang negro dan keturunan India, tetapi ramai juga mereka bukan beragama Islam.
Orang keturunan India ramai yang berniaga di sini sama ada membuka kedai runcit, bar (minuman keras), surat khabar dan kedai menjual kain baju. Di pekan kecil ini hanya terdapat sebuah sahaja kedai Islam (Bangladesh) yang menjual makanan halal.
Maka umat Islam di sini bertumpu di kedai ini untuk mendapatkan bekalan makanan halal. Walaupun begitu, makanan ringan dan buah-buahan masih boleh dibeli di kedai-kedai lain.
Terdapat sebuah sahaja masjid di pekan ini yang terletak di pinggir bandar. Bangunan masjid ini asalnya bangunan rumah kediaman dan diubah suai untuk dijadikan masjid. Ia baru dibesarkan maka keluasannya boleh menampung hampir 200 orang jemaah.
Masjid ini dikendalikan masyarakat Bangladesh, malah imamnya juga berasal dari negara itu. Walaupun khutbah Jumaatnya dalam bahasa Arab, namun bahasa perhubungan di masjid itu menggunakan bahasa Benggali dan Inggeris.
Pada hari Jumaat penuntut Islam Universiti Loughborough dan sekitarnya, mendirikan solat Jumaat di dalam kawasan kampus. Setiap Jumaat dewan bola jaring digunakan untuk solat Jumaat. Dewan ini agak besar, boleh menampung sekitar 80-100 orang jumaah.
Para imam Jumaat terdiri daripada pelajar universiti sendiri dan secara bergilir-gilir. Biasanya mereka yang berketurunan Arab dan Negro menjadi imam solat Jumaat ini. Khutbahnya dalam bahasa Inggeris kerana makmumnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan mereka memahami bahasa itu.
Untuk solat tarawih pula diadakan di sebuah surau khas dalam kawasan universiti itu. Pihak universiti memberi kebenaran kepada kaum Muslimin untuk mengamalkan ibadat mereka di situ.
Di surau ini juga tidak ada imam tetap tetapi terdiri daripada pelajar universiti atau di kalangan Ahli Jawatankuasa surau yang mengendalikan surau tersebut. Biasanya mereka dari orang Arab yang hafiz al-Quran.
Sunat tarawih dibuat 8 rakaat dan disusuli 3 rakaat sunat witir. Tarawih malam pertama lagi sudah dibaca doa qunut yang panjangnya lebih lima minit.
Selepas tarawih diadakan tazkirah oleh seorang saudara baru berbangsa Inggeris dalam bahasa Inggeris. Beliau menyentuh banyak perkara termasuk hadis, akidah, solat dan hal ehwal semasa. Tazkirahnya lebih kurang 10 minit sahaja sebelum jemaah pulang.
Nama beliau ialah Mathewes Dawood, berusia 71 tahun. Beliau pada asalnya penganut Kristian dan memeluk Islam ketika berusia 32 tahun setelah diberi Hidayah oleh Allah SWT. Beliau bekas tentera British dan jiwanya selalu gelisah dan tidak tenteram. Ada semacam kekosongan dalam hatinya.
Maka pada suatu hari beliau pergi ke beberapa buah gereja dan bertanyakan beberapa paderi, berkaitan dengan Maryam, Ibu Nabi Isa a.s, benarkan Isa itu anak Tuhan? Paderi-paderi itu tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan.
Di samping itu beliau membeli dan membaca buku-buku berkaitan agama Yahudi, Hindu, Buddha dan Islam untuk dibuat perbandingan. Pada suatu hari beliau pergi mengunjungi rumah seorang imam berbangsa Pakistan di Oxford.
Dia mengetuk pintu rumah imam itu dan memberitahu dia mahu memeluk Islam. Imam itu ragu-ragu dan menasihatkannya supaya memahami dahulu agama Islam sebelum berkeinginan memeluk Islam.
Keinginannya mahu memeluk Islam meronta-ronta. Maka beliau pun mengikuti solat berjemaah di suaru atau masjid, mendengar tazkirah walaupun belum melafazkan Syahadah.
Pada suatu hari beliau sekali lagi pergi ke rumah imam tersebut dan setelah beliau dapat meyakinkan imam itu, beliau diminta melafazkan kalimah syahadah di depan beberapa saksi. Maka dengan itu sahlah dia menjadi Islam secara rasmi.
Setelah beberapa lama kemudian beliau pergi ke Pakistan untuk melawat keluarga imam tersebut. Di Pakistan dia berkahwin dengan adik perempuan imam itu. Setelah itu beliau melawat beberapa negara Timur Tengah termasuk menunaikan haji di Makkah.
Beliau kemudiannya menjadi pendakwah bukan sahaja di kalangan orang Inggeris malah di kalangan bangsa asing.
Ketika di Arab Saudi beliau bersama-sama pendakwah lain berdakwah kepada tentera Amerika yang di tempatkan di situ. Seramai 8,000 tentera Amerika (AS) diIslamkan. Dan pada Perang Teluk berikutnya beberapa ribu lagi berjaya diIslamkan.
AS semakin bimbang kerana ramai askarnya diislamkan. Katanya, sebab itu AS marah pada negara-negara Islam seperti Iran, Sudan dan kumpulan Hamas dan Hizbullah.
Apa yang mengagumkan saya ialah usaha Mr Dawood sungguh menakjubkan, sanggup berdakwah ke mana sahaja. Beliau benar-benar mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Sebagai seorang yang dilahirkan Islam kita patut berasa malu dengan kegigihan beliau berdakwah demi mengembangkan Islam.
Maka benarlah Islam itu agama Allah dan Allah tetap menjaganya di mana-mana sahaja waimma di negeri yang bukan Islam. Walaupun umat Islam minoriti bilangannya, namun Islam tetap menjadi pegangan mereka selagi akidah mereka terus teguh pada ajaran Islam dan dibenar mengamalkan agama mereka oleh pemerintah yang bukan Islam.
No comments:
Post a Comment