"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Monday, March 7, 2011

Keyakinan Islam hadir selepas tujuh tahun mengenali Jaafar

Oleh: ZUARIDA MOHYIN
SEORANG gadis Cina berlari-lari anak menuju perhentian bas berdekatan. Sesekali, dia melihat jam di tangan kiri seolah-olah ada sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tanpa menghiraukan pelajar-pelajar kolej yang lain, Sim Siew Thor meneruskan langkah kecilnya sepantas mampu menuruni bukti yang agak curam dengan berhati-hati.
Tiba di stesen, gadis manis berkulit putih merah ini menarik nafas panjang sambil sempat menjeling sekali lagi jam di tangannya. Matanya liar mencari sesuatu. Dalam hatinya dia berharap bas nombor 14 dengan konduktor yang biasa dinaiki belum lagi sampai.
“Ini semua gara-gara pensyarah itulah,” getus hati kecilnya tentang pensyarah pengurusan perniagaan yang selalu lambat melepaskannya walaupun loceng tamat kelas sudah lama berakhir.
Sedang asyik dia melayan perasaan marah itu, dia terasa tangannya ditarik seseorang. Bila ditoleh rupa-rupanya anak sulungnya, Nurul Fatihah, 9, sudah tercegat di depan pintu kereta.
Lamunan Sim Siew Thor atau nama Islamnya, Datin Haslinda Sim Abdullah, 38, terhenti di situ. Bas RapidKL yang tadinya menyekat jalannya serta mencetuskan lamunan kisah lebih 20 tahun lalu juga sudah tidak kelihatan.
“Mungkin insiden itulah yang menjadi permulaan kepada bibit awal percintaan kami dan seterusnya membawa kepada keputusan saya bertukar agama,” pengakuan ringkas tauke Restoran Zenith ini sewaktu ditemui di Desa Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun, jelas Haslinda lagi, kisah itu tidak bermakna pengislaman yang dilakukan pada Jun 1992 ketika dia berusia 24 tahun dahulu adalah semata-mata untuk memenuhi impiannya berkahwin dengan jejaka kelahiran Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd. Yusoff, 40, yang berjaya menambat hatinya ataupun kerana keputusan itu diambil atas dasar paksaan pasangan.
“Lafaz kalimah syahadah yang saya ikrarkan itu adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Kalau orang menuduh saya peluk Islam sebab berkahwin, itu terpulang kepada mereka. Yang saya tahu ialah itu tidak benar.
“Keputusan memeluk Islam ini diambil selepas tujuh tahun kami berkenalan dan dalam tempoh itu banyak yang saya tahu tentang agama Islam. Pada awal perkenalan memanglah kami berkawan sekadar teman biasa tetapi semua yang terjadi adalah ketentuan-Nya.
“Sepanjang mengenali Datuk, saya sudah dapat merasakan sesuatu yang menarik dengan agama Islam itu sendiri. Apatah lagi kehidupan saya pada masa itu tidaklah terlalu sosial. Biarpun pada ketika itu ramai teman mengatakan terlalu banyak kongkongan dalam agama Islam namun saya melihat ia sebagai satu panduan yang berguna dan baik dalam mengatur kehidupan manusia di muka bumi ini,” cerita Haslinda yang dilahirkan dalam keluarga yang berpegang kepada agama Buddha.
Berkongsi pengalamannya lagi, kata beliau, keseriusan hubungan dengan Jaafar membuka minatnya untuk mengikuti kelas-kelas agama kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Islam dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Tambahan pula, tidak timbul bantahan daripada keluarga kandungnya. Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik ini bersyukur mempunyai ibu bapa yang bersikap terbuka terutamanya dalam menyentuh soal agama dan jodoh.
“Sayangnya, semasa saya belajar di Jakim, ada segelintir kakitangan di sana yang mempermainkan hasrat murni saya. Sudahlah saya terpaksa melalui beberapa kali temu ramah, itu semua saya tidak kisah tetapi ada kata-katanya yang cukup pedas.
“Ungkapan ‘kalau tidak pandai lagi, kenapa hendak kahwin cepat?’ betul-betul menimbulkan kemarahan saya. Kalau diikutkan hati hendak sahaja saya bertempik pada masa itu tetapi dengan iman yang masih tipis saya berjaya menahan marah tersebut.
“Saya hanya mampu luahkan kepada bakal suami. Bagi saya perkataan tersebut tidak wajar keluar dari mulut seorang Islam apatah lagi daripada orang yang bekerja mengendalikan kes-kes saudara baru,” terang Haslinda sambil menjeling suaminya yang berada di sampingnya sepanjang temu bual pada petang itu.
Akhirnya pada 28 Disember 1995 pasangan Jaafar dan Haslinda dinikahkan dan dua hari kemudian, mereka diraikan pada sebuah majlis persandingan yang dihadiri oleh kedua-dua keluarga.
Ditanya bagaimana dia menyesuaikan diri dengan keluarga mertua, kata Haslinda, dia lebih suka mengambil prinsip pepatah Melayu, ‘masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak’.
Sementara itu, Jaafar berkata, Haslinda adalah seorang yang pandai memasak, jadi dengan masakannya sahaja dia sudah berjaya memikat hati kami sekeluarga.
“Selama 10 tahun kami berkawan, saya dapati dia seorang yang mudah dibentuk dan bersifat keibuan. Selain itu, pengalaman bersekolah di sekolah Cina turut menjadi satu kelebihan buat saya terutama dalam mengenali budaya dan bahasa keluarga Haslinda. Malah apabila saya yakin mengambil Haslinda sebagai isteri, saya telah berjumpa dengan keluarganya dan memberitahu hasrat sebenarnya.
“Alhamdulillah, keluarga sebelah isteri boleh menerima saya tetapi lumrah orang baru, saya perlu pandai menyesuaikan diri serta mengambil hati. Hati mana yang tidak risau jika anak dan adik kesayangan mereka bakal berkahwin dengan orang Melayu. Lebih-lebih lagi agama Islam membenarkan lelakinya berkahwin empat. Tentunya mereka bimbang nasib Haslinda apabila berumah tangga kelak.
“Biarpun moyang saya seorang Cina tetapi ada juga di kalangan keluarga rapat saya yang menyindir mengatakan dah kurang ke orang Melayu? Bagi saya, apa yang penting ialah bagaimana kita mengendalikan rumah tangga serta cara kita mendidik isteri dan anak-anak,” celah Jaafar yang sempat menurunkan beberapa petua menjaga hati mertua.
Antaranya jangan terlalu memikirkan soal yang remeh-temeh, pandai mengambil hati ibu mertua serta sentiasa bersikap terbuka dan mesra.
Selain itu, akui anak sulung daripada lapan adik-beradik ini lagi, seorang suami perlu mencarikan keluarga angkat agar bakal isteri mendapat didikan agama yang sempurna. Lelaki yang berkahwin dengan wanita mualaf juga janganlah terlalu ego sehingga tidak membenarkan isteri memperoleh bimbingan agama daripada pihak berkaitan.
Bahtera perkahwinan selama 11 tahun Jaafar dan Haslinda dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Fatihah, 9, Nadiah Fatinah, 6 dan Nasrullah Faiq, 4.
Sumber: Utusan Malaysia 260106

No comments: