"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Monday, March 14, 2011

Kisah Nabi Ibrahim pencetus pengislaman Muhammad Ariff

lembah.jpg
Oleh ZUARIDA MOHYIN
“MAKA Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong kecuali yang terbesar (induk) daripada patung-patung yang lain; agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata: “Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim.” Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.” (al-Anbiyya: 58-60)
Lantas Nabi Ibrahim dipanggil mengadap raja. Apabila baginda datang, baginda ditanya sama ada benar baginda yang memusnahkan semua berhala. Baginda terdiam sejenak. Kemudian baginda mengarahkan raja bertanya kepada ketua berhala yang mempunyai kapak tergantung di lehernya selepas kacau-bilau berlaku. Nabi Ibrahim mempersendakan orang-orang yang bodoh menyembah berhala yang tidak bernyawa dan diperbuat daripada batu. Raja tidak mahu melanjutkan perbincangan kerana hujah Nabi Ibrahim begitu sempurna dan meyakinkan.
Mereka bertanya: “Apakah kamu yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?” Ibrahim menjawab: “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya. Maka tanyakanlah kepada berhala itu jika mereka dapat berbicara.” Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka dan lalu berkata: “Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri),” kemudian kepala mereka jadi tertunda (lalu berkata): “Sesungguhnya kamu (hai Ibrahim) telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara.” (al-Anbiyya: 62-65)
Inilah sebahagian sedutan kisah kebijaksanaan Nabi Ibrahim yang menjadi titik tolak kepercayaan serta keyakinan 100 peratus Thiyagu a/l Subramaniam kepada seruan Islam biarpun pada masa itu usianya baru 10 tahun.
“Kisah di atas saya dengar semasa berada dalam kelas agama Islam. Kebiasaannya pelajar bukan Islam berada di perpustakaan tetapi saya lebih suka duduk di dalam kelas dan menyiapkan kerja-kerja sekolah.
“Sungguhpun insiden ini berlaku lebih 20 tahun tetapi sehingga kini ia masih segar dalam ingatan. Malah semenjak dari saat itu, saya sentiasa berdoa agar Allah panjangkan usia ini untuk saya bergelar muslim dan kalaupun mati, biarlah saya mati dalam Islam,” akui bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Batang Berjuntai, Selangor itu. Nama Islamnya ialah Muhammad Ariff Abdullah. Muhammad Arif, 34, mengucap dua kalimah syahadat pada April 1994.
Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu memberitahu, semenjak saat itu beliau menanam keinginan yang mendalam untuk memeluk agama tersebut. Apatah lagi ia disokong oleh faktor persekitaran yang banyak mendedahkannya kepada kehidupan dan cara pergaulan masyarakat Melayu Islam.
“Walau bagaimanapun niat itu saya pendam seorang diri sehinggalah dari segi undang-undang saya layak untuk membuat keputusan sendiri. Pun begitu, saya masih mengikuti adat perayaan agama asal. Cuma saya sekadar menyertai tetapi tidak mempraktikkan sepenuh hati.
“Malah selepas pengislaman, saya masih menyimpan rahsia besar itu daripada pengetahuan keluarga. Selepas lebih setahun memeluk Islam, saya akhirnya memberanikan diri memberitahu keluarga.
“Pada peringkat awal mereka sedikit kecewa tetapi lama-kelamaan masa mengubah semuanya. Saya bersyukur bebanan rahsia yang dipikul selama ini terluah dan terbongkar juga akhirnya,” kata Kerani Pemprosesan Data di sebuah syarikat insurans yang memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Menceritakan perbezaan yang dilalui selepas pengislaman, kata Muhammad Ariff, walaupun dirinya mengenali Islam sejak di bangku sekolah rendah tetapi selepas mengikuti beberapa siri kelas anjuran Perkim, pemahamannya tentang Islam masih lagi cetek.
“Kalau sebelum ini saya ingatkan laungan azan itu tanda umat Islam bersembahyang tetapi kemudian barulah saya tahu sebenarnya ada lima waktu sembahyang fardu dan satu-satu waktu itu ada jumlah rakaat yang berbeza.
“Namun, bergelar Muslim selepas memperoleh hidayah cukup berlainan rasanya. Hati ini terasa tenang dan damai lebih-lebih lagi apabila setiap amalan yang dilakukan diketahui dan difahami maksudnya.
“Kalau dahulu kita sekadar mengetahui setakat permukaannya tetapi selepas dapat dikupas kulitnya, barulah dapat dirasai kenikmatan isinya. Begitulah juga dengan Islam, semakin kita mengenalinya semakin kita jatuh cinta kepadanya,” jelas Muhammad Ariff yang telah mendirikan rumah tangga dengan Maimon Mohd. Ali, 26, pada 2001. Kini mereka dikurniakan seorang puteri bernama Nuur Faathihah yang berusia enam bulan.
Berkongsi cabaran bergelar mualaf, bapa muda ini berkata, sudah lumrah kehidupan bahawa seorangsaudara baru akan kehilangan teman dan keluarga. Ia merupakan suatu fenomena biasa dan saudara baru tidak dapat lari daripadanya.
Pun begitu, berkat kecintaan dan keyakinan kepada Allah Maha Esa, semua cabaran itu dapat diharungi atas kurniaan kekuatan daripada-Nya.
“Apa juga tanggapan keluarga, saya tetap menganggap mereka seperti keluarga biarpun kami berbeza agama. Kalau ada kematian atau perkahwinan saya turut sama hadir, cuma kalau yang bersangkutan dengan upacara sembahyang, saya cuba elak sebab ia bertentangan dengan ajaran Islam.
“Malah lama-kelamaan keluarga serta orang sekeliling mula memahami. Keharmonian yang ditunjukkan ini sedikit sebanyak menjelaskan kepada mereka bahawa Islam tidak memandang buruk kepada agama lain malah mereka boleh hidup dalam suasana aman dan damai.
“Cuma ada ketikanya kecantikan Islam dicemari oleh sikap umatnya sendiri. Maaf, inilah hakikat orang Islam sekarang,” pinta Muhammad Ariff agar mereka yang mengaku Islam menunjukkan contoh akhlak mulia terutama kepada bukan Islam.
Katanya, tidak perlulah terlalu menekankan kaedah ceramah semata-mata untuk menarik orang bukan Islam kepada Islam.
Sumber: Utusan Malaysia 270406

No comments: