"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Saturday, April 2, 2011

19 Akal Dalam Beragama

19 Akal Dalam Beragama

Rasulullah SAW pernah bersabda: Maksudnya: Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.
Ertinya orang yang akalnya tidak sihat atau orang yang tidak siuman atau orang yang terencat akal ataupun orang gila tidak boleh dan tidak mampu beragama. Mereka pun tidak dituntut beragama. Jelasnya mereka tidak dituntut bertauhid, bersyariat ataupun bertasawuf.

Mereka bukan orang yang mukalaf. Oleh itu mereka tidak disuruh menegakkan syariat. Mereka terlepas dari hukum suruhan dan hukum larangan Tuhan. Kalau mereka berbuat ibadah, tidak diberi pahala. Kalau mereka berbuat maksiat dan kemungkaran pun tidak berdosa.

Mereka ini dianggap sebagai ahlul fitrah. Mereka ini sama sahaja dengan kanak-kanak yang mati sebelum akil baligh tidak kira apa agama ibu ayah mereka dan juga manusia yang tidak sampai kepada mereka seruan dakwah. Mereka semua adalah ahli syurga.

Namun istilah tidak berakal dalam hadis tersebut bukan sahaja bermaksud gila atau tidak siuman atau terencat akal. Kalau itulah yang dimaksudkan, sudah tentu Rasulullah akan terus menyebut gila atau tidak siuman. Tidak berakal di sini jugabermaksud belum pandai menggunakan akal atau akal yang belum sempurna. Seperti kanak-kanak yang belum cukup umur atau belum akil baligh, mereka ini bukan gila atau bukan tidak siuman. Cuma mereka belum pandai menggunakan akal dan oleh itu dianggap tidak berakal. Mereka ini tidak diwajibkan beragama.

Walaupun begitu, hadis ini tidak pula bermaksud orang yang berakal atau orang yang sempurna akalnya sudah tentu akan beragama. Ini tidak berlaku. Berapa ramai kita lihat orang yang berakal malahan yang pandai-pandai pula tidak beragama bahkan ada di antara mereka yang menentang agama.Seperkara lagi, walaupun agama dalam hadis ini dikaitkan dengan berakal, ini tidak bermakna akal itu semata-mata adalah alat untuk beragama.

Justeru itu kalau akal diasah tajam-tajam dan diisi dengan berbagai-bagai dan sebanyak-banyak ilmu,belum tentu seseorang itu akan beragama, walaupun ilmu yang ada padanya adalah ilmu Quran dan hadis. Berapa ramai kita lihat profesor-profesor terutama di universiti-universiti di Barat dan Amerika yang mengajar ilmu Islam dan memberi ijazah,masters dan PhD ilmu Islam kepada graduan-graduan Islam tetapi mereka sendiri tidak beriman.

Hadis ini merujuk kepada orang yang tidak berakal dan bukan kepada orang akal. Orang yang tidak berakal ialah orang yang tidak pandai atau belum pandai menggunakan akalnya. Orang akal pula ialah orang yang mengagungkan akalnya. Ada beza antara dua istilah ini. Kalau orang yang tidak berakal susah hendak beragama, orang akal yang berpandukan akalnya danlogik semata-mata, lebih-lebih lagilah susah hendak beragama.Sebenarnya, tidak berakal dalam hadis ini membawa maksud akal yang tidak terpimpin. Orang yang akalnya tidak terpimpin dianggap tidak berakal.

Dalam Islam, akal yang tidak terpimpin itu ialah akal yang tidak dapat berfungsi di atas landasan hak dan kebenaran. Iaitu akal yang berputar dengan bebas tanpa dikawal oleh hati yang yakin, beriman dan takut kepada Allah. Islam menganggap orang yang akalnya tidak mahu tunduk kepada hatinya atau kepada kebenaran sebagai orang yang tidak berakal. Akal seperti ini hanya akan tunduk kepada nafsunya sahaja.

Walau bagaimana pintarnya akal yang tidak terpimpin ini, ia tidak akan dapat keluar dari kepompong alam dunia dan alam material. Ia tidak dapat meneroka alam-alam yang lebih seni dari alam syahadah atau alam nyata ini seperti alam barzakh alam akhirat, syurga, neraka, malaikat dan hal yang berkaitan dengan Tuhan itu sendiri. Walhal semua itu adalah benar.Akal yang tidak terpimpin ini sangat bahaya. Ia akan bergantung habis-habisan kepada logik akal semata-mata dan tidak akan nampak sumber kebenaran yang lain.

Walhal kalau mengikut logik akal, akhirat itu tidak logik, syurga dan neraka tidak logik, hidup sesudah mati itu tidak logik, malaikat tidak logik bahkan Tuhan itu pun tidak logik. Justeru itu, orang yang akalnya tidak terpimpin akan mendapati sukar untuk mempercayai perkara-perkara ghaib seperti malaikat, hari kiamat, Tuhan dan sebagainya.

Itu sebab dalam Islam, pendidikan adalah berteraskan konsep yang terkandung di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: Awal-awal agama mengenal Allah.
Awal-awal lagi, kanak-kanak perlu dikenalkan kepada Allah supaya hati mereka terisi dengan rasa-rasa bertuhan. Rasa-rasa inilah yang akan menguasai dan memimpin akal mereka. Akal mereka akan berputar dan berfungsi di bawah kawalan hati mereka yang sentiasa terhubung dengan Tuhan dan yang sentiasa terisi dengan kebenaran dan rasa-rasa bertuhan.

Islam tidak mahu akal itu digunakan secara bebas tanpa kawalan. Islam mahu akal itu sentiasa terpandu. Islam menuntut kita berzikir sambil berfikir. Ini dapat dilihat dalam sepotong ayat dalam Al Quran: Maksudnya: Orang yang sentiasa mengingati Allah(berzikir) dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi. (Surah Ali Imran: 191)


Hati mesti terhubung dahulu dengan Tuhan melalui zikir,barulah akal digunakan untuk berfikir. Berzikir itu kerja hati.Berfikir itu kerja akal. Barulah fikiran itu akan dibantu dan dipandu oleh Tuhan. Kalaulah akal dibebaskan berfikir tanpa kawalan hati yang berzikir, ia akan tersimpang dari kebenaran.Akal itu kalau dibebaskan berfikir, penghujungnya nanti ia akan menafikan kewujudan Tuhan. Kerana hal-hal Tuhan dan perkaraperkara ghaib adalah diluar kemampuan akal memahaminya.

Ditakuti bila perkara-perkara ini tidak difahami, akal akan menafikannya. Itulah bahayanya akal. Sebab itu ia perlu dikawal dan dipimpin oleh hati.Mari kita lihat cara mencari kebenaran berpandukan prinsip dan kaedah falsafah, iaitu kaedah yang dicipta oleh orang akal yang seratus-peratus bergantung kepada kekuatan akal sematamata.Dalam sesuatu perkara atau permasalahan itu, ditimbulkan berbagai-bagai keraguan terlebih dahulu. Selepas itu barulah akal digunakan untuk mencari hujah dan kepastiannya yang paling masuk akal.

Atas dasar inilah penemuan-penemuan dan teori-teori falsafah dikemukakan. Dalam Islam, ini tidak berlaku. Ilmu kepastian perlu didapatkan terlebih dahulu dari Tuhan. Selepas itu barulah akal digunakan untuk melaksana dan mengembangkannya. Dengan itulah akal akan sentiasa terpimpin dan tidak akan terkeluar dari garisan orbitnya. Ia tidak perlu mencipta sistem, konsep atau doktrin yang baru tetapi hanya perlu mengembangkan konsep yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Inilah sebenarnya fungsi akal. Ia menterjemah dan mencari kaedah atau jalan bagaimana hukum dan syariat Tuhan boleh difahami dan dilaksanakan. Akal itu adalah pelaksana bagi sistem dan hukum yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Ia bukan pencipta sistem atau hukum baru. Bila akal digunakan untuk mencipta sistem dan hukum, maka porak-perandalah hidup manusiakerana sistem dan hukum yang dicipta itu akan berlawanan dan bertentangan dengan keperluan dan tuntutan fitrah semulajadimanusia.

Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui keperluan dan kehendak manusia yang sebenar kerana Dialah yang mencipta manusia. Oleh itu hukum Tuhan sahajalah yang sesuai dan patut digunapakai untuk manusia.
Tidak berakal boleh juga bermaksud tidak cerdik. Bila akal tidak cerdik, tidak pandai bertindak dan tidak pandai menyelesaikan masalah, dia tidak akan mampu dan tidak akan berupaya untuk memahami, menterjemah dan melaksanakan segala hukum dan syariat Tuhan.Akal seperti ini tidak akan dapat menegakkan tuntutan agama yang sebegitu banyak. Ia tidak akan dapat mempraktikkan agama secara syumul dan menyeluruh. Ia hanya akan dapat berbuat ibadah-ibadah yang khususiah seperti solat, puasa, wirid, zikir,baca Quran dan sebagainya. Ia mungkin boleh menjadi seorang ahli abid.

Tetapi agama bukan setakat melaksanakan ibadah khususiah dan menjadi ahli abid sahaja. Agama termasuk menegakkan segala tuntutan-tuntutan yang lain samada yang berbentuk batiniah mahupun lahiriah. Agama menuntut kita menegakkan tamadun rohani dan tamadun lahir.

Tamadun rohani melibatkan hati, akal dan nafsu yang perlu dibina dan didik sehingga seseorang itu menjadi orang yang betul-betul kenal Allah (arifbillah) dan bertaqwa kepada Allah.Di segi lahirnya pula, Islam sebagai cara hidup (addin) perlu ditegakkan dalam semua aspek kehidupan sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan,kewangan, khidmat kesihatan dan sebagainya. Inilah yang dinamakan tamadun lahir. Barulah Islam itu lengkap, syumul dan sempurna. Barulah keperluan lahir dan rohani manusia dapat dipenuhi.

Inilah yang dimaksudkan dengan agama iaitu cara hidup atau addin yang syumul dan lengkap.Ini semua bukan perkara mudah. Hanya orang yang berakal dan yang cerdik sahaja mampu melaksanakan semua ini. Orang yang tidak cerdik tidak akan dapat memahaminya, jauh sekali untuk menegak dan melaksanakannya. Mereka hanya akanmampu menjadi ahli ibadah semata-mata. Kita harus ingat bahawa maksud agama dalam hadis ini dan pemahaman agama yang sebenar meliputi seluruh sendi-sendi dalam agama yang wajib kita tegakkan samada yang lahir mahupun yang batin. Jelas bahawa orang yang tidak berakal atau tidak cerdik akan dapati sukar untuk menegakkan agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Mereka tidak akan mampu menegakkan tamadun lahir. Tanpa akal, umat Islam akan jadi beku dan jumud.

Begitulah maksud-maksud yang tersurat dan tersirat bagi berakal dan agama yang terkandung dalam hadis ini. Kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa akal itu perlu dalam agama akan tetapi hanya apabila ia tunduk dan dipimpin oleh hati.

No comments: