"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Saturday, April 16, 2011

Makanan membina Otak Sihat


http://peribadirasulullah.files.wordpress.com/2011/04/otak-kiri-kanan.jpg?w=367&h=257#038;h=257
Percaya atau tidak sebenarnya makanan mampu menjadikan otak kita berfungsi dengan lebih baik? Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada keupayaan otak seseorang, namun faktor pemakanan tidak dapat dinafikan impaknya.
Nikmat kepelbagaian sumber makanan yang dianugerahkan Allah memerlukan kebijaksanaan seseorang individu untuk memilih makanan agar tidak mencampakkan dirinya dalam kebinasaan. Ini kerana terdapat makanan yang boleh meningkatkan fungsi otak dan ada juga makanan yang boleh menjejaskan fungsi otak. Pemilihan makanan yang meningkatkan keupayaan otak juga sejajar dengan prinsip maqasid syariah yang mengutamakan pemeliharaan akal.
Sepanjang hidup, otak manusia sentiasa berfungsi untuk menerima rangsangan dan maklumat, mengolah, mengembangkan fikiran dan emosi serta menyimpan memori. Zat pemakanan amat diperlukan untuk menjaga otak agar dapat berfungsi secara optimum. Pakar pemakanan mengakui bahawa terdapat zat tertentu atau sebatian kimia dalam sesuatu makanan amat penting untuk fungsi otak manusia dan mengelakkan berlakunya kerosakan serta ketidakupayaan kognitif seseorang.
Otak mengalami perkembangan mengikut fasa pertumbuhan manusia. Ia memerlukan zat pemakanan yang betul dan seimbang bagi memenuhi keperluan tenaga di otak yang lebih tinggi. Semasa dalam kandungan ibu, pembinaan otak manusia merupakan satu fasa yang kritikal kerana pada masa tersebut berlaku proses pembentukan neuron otak dan juga salur mealin. Oleh itu, pada tahap perkembangan yang kritikal inilah akan menentukan kehebatan otak manusia yang dapat dibentuk melalui pengkayaan sumber makanan.
Satu perkara yang boleh difikirkan ialah kenapakah ilmuwan Islam terdahulu memiliki otak genius dan mampu menguasai pelbagai bidang? Banyak faktor yang menyumbang tetapi unsur pemakanan tidak boleh diabaikan. Corak pemakanan yang menepati pemakanan sunnah harus diambil kira. Berbeza dengan budaya pemakanan masyarakat kita pada masa sekarang. Kadangkala sensitiviti pemilihan makanan terbaik tidak wujud dalam diri masyarakat kita sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Akan datang kepada manusia suatu zaman (ketika itu) seorang tidak lagi peduli dengan apa yang dia dapatkan, apakah dari yang halal atau haram?- HR Bukhari.
Kajian oleh saintis Mind Research Network membuktikan bahawa bahan kimia di dalam otak iaitu N-acetylaspartate (NAA) lebih tinggi arasnya dalam individu yang mempunyai kepintaran yang tinggi berbanding mereka yang mempunyai kepintaran yang sederhana. Maka, penjagaan atau pemeliharaan bahan kimia atau neurotransmiter otak adalah penting untuk mengoptimumkan keupayaan dan kecerdikan seseorang. Sudah pastilah melalui diet dan pemakanan yang baik dapat mengekalkan dan memelihara bahan kimia tersebut pada aras yang optimum.
Dalam perkembangan mutakhir, pengambilan minyak ikan yang dikatakan kaya dengan asid lemak n-3 berantai panjang adalah amat penting semasa kehamilan untuk manfaat kepada bayi yang dikandung. Namun, sejauh mana dakwaan ini benar? Adakah benar minyak ikan tersebut mampu membuatkan seseorang bayi akan menjadi lebih bijak dan otaknya berkembang dengan sempurna?
Banyak kajian membuktikan pengambilan ikan secara sederhana semasa kehamilan dan semasa postnatal mempunyai kaitan dengan perkembangan kognititif bayi khususnya kemahiran bahasa dan komunikasi. Pengambilan ikan dan makanan laut yang sedikit berhubungkait dengan peningkatan risiko kanak-kanak yang memiliki kurang kemahiran verbal, tabiat yang kurang baik, rendah kemahiran komunikasi motor dan pembangunan sosial.
Sumber Omega-3 (EPA dan DHA) yang paling utama ialah ikan. Omega-3 akan mengawalatur perembesan dan keupayaan neurotransmitter di otak. Sebab itulah, ia amat penting dalam meningkatkan keupayaan otak untuk bekerja. Manakala omega-6 pula penting dalam menguatkan ingatan. Sumber yang mungkin dapat diperolehi ialah minyak jagung, minyak matahari, bijan dan labu. Keseimbangan asid lemak politaktepu dalam badan boleh menjadi aras pengukur kecerdikan seseorang. Manakala ketidakseimbangan asid lemak politaktepu akan menyumbang kepada masalah kesukaran dalam pembelajaran, masalah sikap termasuklah gangguan disleksia, ADHD dan autism.
Selaras dengan perkembangan teknologi, lambakan minyak ikan yang berbentuk pil dan kapsul di pasaran menjadi alternatif kepada pengguna. Begitu juga telur yang diperkaya dengan omega 3 dan omega 6 serta banyak lagi produk lain yang telah diperkayakan dengan nutrien tersebut. Persoalannya, jika makanan tersebut diperkayakan, adakah ia benar-benar selamat dan menepati jumlah keperluan individu untuk tujuan meningkatkan keupayaan otak? Oleh sebab itu, makanan semulajadi contohnya ikan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana produk ciptaan manusia. Ini kerana ia mengandungi pelbagai zat lain dan bukan hanya tertumpu kepada zat-zat tertentu sahaja.
Otak menggunakan lebih banyak glukosa berbanding organ lain. Untuk memaksimumkan keupayaan otak, ia memerlukan bekalan glukosa yang cukup. Karbohidrat kompleks merupakan makanan yang terbaik untuk otak. Secara dasarnya, semakin banyak kita mengambil makanan berkarbohidrat, dan biasa mengambilnya maka ia akan memelihara kesihatan tubuh badan dan otak kita dapat bekerja dengan baik. Rangkaian makanan yang bersumberkan zat-zat protein, zink, selenium dan zat besi juga mampu meningkatkan perkembangan kognitif, daya tumpuan dan keupayaan IQ seseorang.
Perkara yang penting untuk mengekalkan otak yang sihat adalah makan makanan seperti biasa di sepanjang hari. Ini untuk memastikan otak kita menerima tenaga yang berterusan bagi mengekalkan kecergasannya. Walaubagaimanapun, otak manusia hanya boleh menyimpan sejumlah kecil glukosa sahaja pada satu-satu masa. Oleh itu, makan makanan secara tetap dan menurut kebiasaan akan membantu mengekalkan bekalan tenaga yang tetap  kepada otak.
Oleh sebab itu, mengamalkan pemakanan yang seimbang adalah penting bagi memelihara dan menjaga kesihatan jasmani dan otak. Menukarkan pemakanan yang tidak sihat kepada pemakanan seimbang dan sihat bukan setakat boleh memperbaiki sikap dan keupayaan otak seseorang tetapi juga boleh mengelakkan daripada penyakit kronik seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.
Perlu diingatkan bahawa memenuhi keperluan nutrien yang baik bermula sejak bayi lagi adalah penting untuk kecerdikan yang optimum, perkembangan akhlak dan peribadi yang baik. Pemilihan makanan halal dan baik perlu dititikberatkan sepertimana yang dianjurkandalam Islam. Ini kerana pembentukan otak yang bijak juga bermula daripada pendidikan dan amalan pemakanan yang halal dan sihat.
Artikel :
Norkumala binti Awang

No comments: