"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 31/7/2015 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Sunday, August 12, 2012

Bahagia hingga ke Syurga


Kebahagiaan dalam hidup berkeluarga bukannya mudah. Ia memerlukan kerjasama semua pihak. Organisasi kecil ini memerlukan pengurus yang baik bergelar suami. Memerlukan pembantu pengurus yang cekap bergelar isteri. Ahli organisasi juga perlu bekerjasama dan bekerja keras untuk merealisasikan impian membentuk keluarga bahagia. Mahligai impian duniawi ini cuma akan nampak indah dan sentiasa dihiasi bunga cinta yang segar mekar apabila semua pihak yang bernaung di bawahnya memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing. Bergerak seia sekata dalam satu barisan dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain.
Tunggak utama mestilah ajaran agama dan reka bentuknya tidak boleh lari jauh dari pelan kekeluargaan Rasulullah s.a.w. Ruang udaranya mestilah sentiasa dibekalkan dengan cinta kasih dan belas kasihan.
Keluarga juga umpama kapal. Ia tidak akan sentiasa berlayar di air tenang, malah menjadi sunnahnya berhadapan dengan ombak dan taufan. Perjalanan masa menjadikan ikatan cinta makin longgar dan suhu sayang juga semakin sejuk. Punca utama ialah rasa jemu kerana bertemu orang yang sama bertahun-tahun lamanya. Tidur sebantal dengan orang yang sama. Makan sehidang dengan orang yang sama. Mungkin juga berpunca dari faktor usia. Usia memakan kulit yang tegang menjadi kendur, rambut yang lebat menjadi luruh dan beruban, muka yang cantik menjadi kusam berkedut.
Mungkin cinta pada waktu ini sudah tidak mampu untuk terus bertahan menjadi kemudi dan dayungnya. Ia memerlukan kekuatan kedua yang bernama ‘belas kasihan’. Biar sedalam mana pun perasaan jemu, hodoh mana pun rupa paras, lemah mana pun tenaga batin, bosan mana pun jiwa, belas kasihan masih mampu membawa ahli keluarga ke titik terakhir matlamat cinta iaitu syurga. Lantaran itu, Allah S.W.T. mengingatkan pasangan yang ingin berumahtangga agar dari awal lagi menjadikan cinta sebagai mahar dan belas kasihan sebagai hantaran.
Firman Allah S.W.T: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan belas kasihan.”
Kasihani isteri yang telah lama berkorban jiwa dan raganya untuk mendampingi anda. Ia telah menyerahkan hati dan jasadnya untuk ketenangan anda. Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan sarapan dan menggosok pakaian. Pulang anda disambut dengan senyuman dan hidangan minuman kegemaran. Malam pula ia sanggup bermesra dengan anda walaupun fizikalnya sudah keletihan kerana banyaknya tugasan rumah yang perlu ia selesaikan. Ia juga dengan jayanya mendidik anak-anak yang seharian anda tinggalkan kerana kerjaya dan tugas mencari rezeki buat keluarga. Ia juga sanggup mengadai nyawa untuk melahirkan anak-anak anda. Fikirkanlah sebelum terfikir untuk mengeluarkan kalimah cerai.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin tidak akan menceraikan isterinya yang mukminah sekiranya ia membenci satu sifat dari sifat-sifatnya sedang dalam masa yang sama ia redha dan mengingati kebaikan-kebaikannya yang lain.”
Kasihani suami yang sanggup mengambil anda sebagai isterinya. Mengorbankan usia dan keringatnya untuk menyara keluarga. Mendamaikan jiwa ketika kesedihan. Ingatlah kegirangan yang ia bawa dalam hidup anda. Ingatlah bagaimana ia masih mampu tersenyum setiap kali ia pulang dari kerja walaupun ia telah kehilangan sebahagian tenaganya di tempat kerja. Ingatlah koceknya yang sering kosong kerana membeli keperluan anda dan anak-anak. Ingatkan semua itu sebelum terlintas di fikiran untuk meminta cerai.
Jika kebaikan pasangan tidak mampu meleraikan kekusutan hubungan, ingatlah pada anak-anak. Kalian mendambakan kehadiran mereka semenjak malam pertama perkahwinan. Hari kelahiran mereka merupakan sejarah besar keluarga yang membawa sejuta wangian kebahagiaan. Ia pelengkap kehidupan anda. Kehadirannya menjadikan anda memiliki status manusia yang sempurna. Anda sudah jadi individu, suami, bapa, isteri dan ibu. Ingatlah pada anak-anak anda sebelum mana-mana pihak berfikir untuk bercerai.
Perkahwinan dan keluarga yang dibina tidak sepatutnya berakhir di kantor mahkamah tetapi sewajibnya berkesudahan di kamar syurga. Allah S.W.T. menjanjikan orang-orang yang beriman akan tinggal bersama dengan ahli keluarganya di syurga. Firman Allah S.W.T.:
“Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini. Di dalam syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa. Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya. Mereka berkata, “Sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)”. Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.”
“Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang saleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): “Salam sejahtera atas mu kerana kesabaranmu”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
Imam al-Qurtubi ketika memberi komentar tentang ayat 23 dalam Surah al-Ra’d berkata, “Sesungguhnya antara nikmat di syurga itu nanti, ialah dengan menghimpunkan ahli syurga dengan kerabatnya di dalam syurga”. Imam Ibnu Kathir pula menyebut, “(Orang mukmin) akan dihimpunkan bersama orang-orang yang ia sayangi termasuk ibu bapa, isteri-isteri dan anak-anaknya andainya mereka itu layak memasuki syurga di kalangan mereka yang beriman agar tenang perasaan mereka dengan kehadiran keluarganya sehingga ia diangkat dari darjat bawahan di syurga ke darjat paling atas sebagai anugerah dari Allah dan pemberian yang tidak ternilai tanpa dikurangi sedikit pun”.
Kata Said bin Jubair: “Apabila orang mukmin masuk syurga ia akan bertanya tentang ibu bapanya, anak-anaknya, di manakah mereka? Lalu dikatakan kepadanya, “Sesungguhnya mereka tidak mencapai tahapmu dalam melakukan amal kebaikan”. Lalu ia berkata, “Sesungguhnya aku melakukan semua amalan itu untukku dan mereka”. Lalu mereka pun digabungkan bersamanya dalam syurga pada darjat yang serupa.”
Inilah impian tertinggi orang mukmin dalam berkeluarga. Impian untuk hidup sebumbung di syurga akhirat. Itulah hakikat cinta abadi bagi pasangan yang menjadikan Allah S.W.T. sebagai pusat kecintaan dan Rasul-Nya s.a.w. sebagai sumber ikutan mereka. Syurga yang menghimpunkan segala kenikmatan yang tidak pernah terlintas pun di pemikiran manusia. Itulah tempat tuju mereka. Bermula dari hari pertama perkahwinan, dikurniakan zuriat dan melayari kehidupan berkeluarga yang penuh pancaroba, kesudahan yang mereka harapkan ialah syurga dan nikmat syurga. Walaupun mungkin di dunia mereka terlepas banyak peluang kebahagiaan dan kesenangan.
Untuk itu, apabila anda menziarahi pasangan yang baru melangsungkan pernikahan mereka, jangan ucapkan “Selamat pengantin baru, moga kekal ke anak cucu”, tidak juga ucapan, “Selamat pengantin baru moga kekal ke akhir hayat”, tapi ucapkanlah “Selamat pengantin baru, moga kekal hingga ke syurga”. Ucapan begitulah yang lebih bermakna.
Semoga kebahagiaan dan kerukunan yang dikecapi dalam keluarga, berterusan hingga ke akhirat. Tempat yang tiada lagi duka nestapa, tidak perlu lagi merajuk dan memujuk, tiada penat dan lesu, tiada sedih dan sepi. Yang ada cuma kebahagiaan yang kekal abadi. Allahumma Amin Ya Rabb al-Alamin.
Rujukan :
http://ismashahalam.net/v2/bahagia-hingga-ke-syurga/

No comments: