Seperti yang di duga terlebih dahulu, masih ramai ahli forum yang tidak faham maksud artikel ini, tetapi tidak mengapa sebab yang penting maksudnya tercapai. Namun apa yang terlihat kebanyakan ahli forum masih belum jelas. Masih keliru dan masih terperangkap dalam kehendak hamba dengan kehendak Allah! Masih keliru tentang ilmu, kudrat dan iradat Allah dalam menetapkan dan menjadikan sesuatu.
Persoalannya sekarang bukan boleh atau tidak berubahnya taqdir azali kerana Dia Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu..Dia Maha Berkehendak. Dia boleh menetapkan dan Dia boleh menghapuskan! Dia Maha berkehendak menghapuskan apa-apa menurut kehendakNya - bukan disebabkan kehendak dan doa manusia, tetapi itu kehendakNya yang azali.
Semua penghapusan dan penetapan semula itupun tetap berada dalam genggaman Allah dan ketentuanNya yang azali. Bukan perubahan, penghapusan dan penetapan semula itu perkara baru yang dirancang, sebaliknya ia menurut ketetapan azali jua.
Fahamilah baik-baik, bukan masalah doa, usaha ikhtiar tetapi masalah pokok di sini dalah i'tikad kita ketika berdoa, berusaha dan berikhtiar. Dan juga sesudah kita mendapat hasil daripada usaha kita. Ke mana sandaran kita? Adakah kita beri'tiqad doa kita itu berjaya mengubah taqdir Allah? Adakah usaha kita berjaya mengubah ketentuan Allah yang azali? Adakah dengan sebab kebajikan yang kita lakukan, maka Allah terpaksa memanjangkan usia kita?
Atau kesemua itu - waktu kamu miskin atau waktu kamu kaya, waktu kamu sakit waktu kamu sihat, waktu kamu bahgia atau waktu kamu celaka, sememangnya berada dalam taqdir Allah Ta'ala yang azali?
Berhati-hatilah dengan i'tiqad Ahlus Sunnah dengan i'tiqad-i'tiqad lain yang hanya dipisahkan oleh satu garisan halus yang penuh syubhah.
C4KEBOM pula menulis;
Ada takdir yang boleh diubah dan takdir yang tidak boleh diubah, kalau tidak takde la ayat quran:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya” - Ar-Ra’d:11
Lebih baik Allah swt terus sahaja turunkan ayat yang mengatakan nasib manusia itu tidak akan berubah langsung walau dia buat apa jua usaha dan ikthiar. Ini menjadikan manusia selepas itu akan hidup lara je...tak nak bekerja, tak nak cari makan utk anak bini dan keluarga, tak mau beribadat dan apabila ditanya mereka akan jawab, "... dah itu nasib aku, buat apa apa pun takkan berubah".
Takdir yang tidak bleh diubah pula macam mati, jodoh, pertemuan, zuriat yang memang telah ditetapkan. Sila baca kat bawah ni.
Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ra’d: 39 yang maksudnya;
“Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya, dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu Segala suratan”.
Takdir bermaksud ketetapan Allah SWT dan ia terbahagi kepada dua iaitu:-
1) Takdir yang tidak akan berubah dikenali dengan mubram.
2) Takdir yang boleh berubah dikenali dengan mu’allaq.
Berkata Said bin Jubir dan Qatadah (rahimahullah)
Allah SWT menghapus sesuatu hukum dan ditukar dengan hukum yang lain selepas itu Allah SWT memantapkannya (mubram).
Perubahan tersebut berlaku kepada hukum Syarak dan Fardhu, kemudian Allah SWT mantapkan (mubram). Setelah itu ia tidak akan berubah-ubah lagi.
Berkata Abdullah bin Abbas (radiallahu ‘anh);
i) Apa-apa yang telah diubah dan dimantapkan itu ada tertulis di Luh Mahfuz yang dikenali dengan takdir mubram.
ii) Apa-apa hukum yang dimaktubkan di situ, yang akan berubah dikenali denganmu’allaq atau ia belum dimantapkan, masih tersembunyi dalam ilmu Allah saw. Perkara-perkara yang tidak berubah pula ialah a) rezeki, b) umur, c) kebahagiaan dan d) kecelakaan. Pada pendapat beliau (Ibn Abbas) hanya 4 perkara tersebut yang tidak akan berubah.
iii) Telah dikeluarkan oleh at-Tabrani dengan sanad dari Abdullah bin Umar r.a katanya, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW berkaitan dengan Surah ar-Ra’d: 39; “Perubahan-perubahan yang dikehendakiNya (ia akan berubah) kecuali kecelakaan, kebahagiaan, hidup dan mati.”
iv) Telah dikeluarkan oleh Ibn Mardawiah dari Jabir bin Abdullah r.a. dari Nabi SAW beginda bersabda, “Allah swt mengubah rezeki dan menambahnya, mengubah ajal dan menambahnya.”
v) Telah dikeluarkan oleh Ibnu Mardawiah dari Abdullah bin Abbas r.a. kata beliau Rasullullah SAW telah ditanya berhubung dengan ayat 39 di atas, lalu dijawab baginda yang mulia, “(Perubahan itu) berlaku pada malam Lailatul Qadar seperti mengangkat, merendah, memberi rezeki kecuali hidup, mati, kecelakaan, kebahagiaan”dan sabdanya lagi, “Sesungguhnya perkara itu tidak akan berubah.” (Dipetik dari tafsir Mazhari Jilid 5, halaman 35).
Setiap bahagian syariat, hakikat, iktikad, tharikat dan makrifat itu semuanya berlainan tafsir dan pendapat mengikut taraf masing-masing. Contohnya, Al Hallaj yang terbunuh kerana mengaku "ana al haq" itu - "akulah maha benar".
Khalifah mengutuskan banyak kali surat watikah hukuman untuk ditandatangani Al-Junaid (pada ketika itu ulamak paling masyhur atau bertindak sebagai ketua ulamak) untuk ditandatangani agar hukuman bunuh Al Hallaj dapat di laksanakan.
Akhirnya Al-Junaid membuka jubah ulamak sufinya dan menukar jubah kepada jubah ulamak syariat... dan barulah ditandatanganinya warkah hukuman sambil berkata: "Mengikut syariat (undang undang asas Islam feqah, tauhid dan sebagainya) Al Hallaj telah nyata terkeluar dari akidah dengan pengakuan pengakuan "Ana Al Haq" itu, tetapi mengikut tasawuf sufi (tharikat, makrifat) ia bukannya satu kesalahan".
Maka jatuhlah hukuman mati ke atas Al Hallaj.
Jadi jika ingin dinyatakan defininasi takdir itu maka setiap bahagian dan huraian kelima-lima peringkat adalah berlainan; paling asas adalah syariat - takdir itu qada' dan qadar, kemudian hakikat. Apa itu takdir yang boleh diubah dan yang tidak boleh diubah? Kemudiannya iktikad (niat tekad dalam hati kamu) - Jika kita tidak tahu hakikat sesuatu perkara itu bagaimana kamu boleh beriktikadkan dengannya? Emak suruh kita buang sampah... iktikad kita nak buang sampah sebab emak suruh, tetapi pada hakikatnya kita tidak tahu bakul sampah itu apa? Silap-silap haribulan mungkin kita terbuangkan mesin basuh atau peti ais pula nanti..
Definasi takdir itu juga dibezakan. Kita tahu syariat takdir, hakikat dan iktikad takdir, tetapi jangan kita terkejut apabila sampai di tharikat dan makrifat semuanya berbeza daripada sebelumnya. Ini disebabkan sebelum itu apabila berbicara pasal takdir, kita akan bicaran pasal qada dan qadar - tentang bagaimana mungkin takdir dan sebagainya..
Namun apabila sampai ke tharikat dan makrifat ia telah bertukar nyata; apa itu qalam Allah? Apakah yang dimaksudkan tertulis di loh mahfuz? Bagaimana takdir itu tertulis berqalam di loh mahfuz - di dinding loh mahfuzkah? Ia hanya terawang-awangkah tulisannya?Ia berada dalam sebuah kitabkah? Jika tertulis berapa banyak dan panjang? (jika di dinding loh mahfuz atau terawang-awang di loh mahfuz) atau berapa tebal (jika ia sebuah kitab) sebab akal manusia yang logik ada batasannya kerana takdir yang tertulis bukan sahaja takdir manusia, tetapi seluruh makhluk malah apa yang berlaku dari awal hingga akhir sehinggakan apa yang kering dan basah tidak kira sebutir debu yang berterbangan di dunia ini semuanya tertulis di loh mahfuz pergerakan mereka termasuklah dari Nabi Allah Adam a.s dicipta, kemudian hawa, anak-anak Adam hinggalah keturunan penghabisan baginda.
Banyak tu..(ia di kira banyak kerana akal yg logik menyatakan ianya banyak dan jika ia tertulis amatlah luas,panjang dan tebal jika di kitabkan)..kan nyata akal itu terbatas..seperti perkara yg ghaib juga di bataskan oleh akal juga..jadi kebanyakan perkara perkara rahsia Allah seperti makrifatullah sukar untuk di ceritakan secara nyata kerana akal sendiri akan membataskannya dan akan kedengaran seperti cerita lucu dan jenaka jika bercerita tentang perkara perkara yg begitu.
Sebelum iktikat kita kena faham hakikat dahulu dan sebelum hakikat kena faham syariat dahulu selepas ketiga perkara itu difahami anda telah pun berada dalam tharikat - satu jalan yang di hujungnya adalah makrifat.
Maka dijawab pula oleh rafie1357;
Persoalan dalam kelima-lima bahagian; syariaat, hakikat, iktikat, tharikat dan makrifat; anda berada di bahagian yang mana sekarang?
Susunan perjalanan menuju Allah sepatutnya bermula dengan;
Syariat (zahir) - mematuhi segala hukum-hakam zahir syari'at dan serentak dengan itu amalkan thariqat (batin) - amalan keruhanian meliputi zikrullah, muraqabah danmushahadah yang akan menghasilkan haqiqat (kebenaran) dan ma'rifat (hikmah kebijaksanaan) - sila rujuk Sirrul Asrar.
Seluruh perjalanan ini pula wajib berlaku di bawah bimbingan seorang Shaikh yang kamil/mursyid yang mewarsi Ilmu Nabi zahir dan batin yang telah mencapai alam mutlaq (sila rujuk Sirrul Asrar dan Ihya Ulumuddin)
Kita mesti merasai dengan 'zauq' (perasaan hati) dan 'wijdan" (pemerasaan anggota tubuh sekaliannya) haqiqat segala sesuatu...sehingga dapat merasai manisnya madu, terbeza dengan manisnya gula, kita pasti dapat merasainya sehingga terbeza di antara 'isi' dan 'kuku' dan terbeza diantara 'api' dengan 'besi'....!
Kita perlu renangi lautan ahadiyyah sehingga ternyata pada pandangan hati Af'al, Asma' dan SifatNya yang kamalat.
Untuk menjelaskan perkara ini pun akan makan masa bertahun-tahun apa lagi mengamalkannya - apa lagi untuk merasai akan kemanisan ma'rifahnya.
Bagaimana nak dilukiskan di mana tahap dan maqam kita. Namun di sini bukanlah tempatnya!
Lebih-lebih-lebih lagi haqiqat dan ma'rifat bukan bahan perbualan di kedai kopi.
I'tiqad adalah pegangan hati berhubung dengan wujudnya Allah dan segala yang ghaib. Kekuatan i'tiqad ini akan bertambah dengan bertambah hampirnya kita dengan Allah, iaitu dengan bertambahnya ma'rifat.
Setiap orang Islam walaupun pada peringkat asas sekalipun wajib mempunyai i'tiqad yang jelas tentang Allah, bagaimana keyakinannya, bagaimana pandangannya, bagaimana pegangan hatinya semua inilah yang menjadikan seseorang beriman dengan sebenarnya atau berlaku kesyirikan di dalam i'tiqadnya.
Untuk dijadikan bahan renungan;
Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:'Bahawa setiap sesuatu telah ditulis dengan Qadar (takdir) sehingga kebodohan dan kelemahan atau kecerdikan dan kepandaian seseorang'. (HR Muslim)
Dari Anas r.a meriwayatkan; 'Aku mulai berkhidmat kepada Rasulullah SAW ketika umurku 8 tahun. Selama 10 tahun berkhidmat dia tidak pernah menyalahkan aku apabila berlaku kerugian (kesalahan) yang berlaku dengan sebab tanganku. Dan jikalau seseorang daripada keluarganya menyalahkan aku, Baginda akan bersabda: Biarkan dia, kerana sesungguhnya jikalau sesuatu telah ditakdirkan, pasti akan terjadi!' (Masabi hus Sunnah)
Muntakhab hadith; Syeikh Muhammad Yusof khandahlawi rah.alaih
Sunday, October 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment