"Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah: 169).
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Di kemaskini post pada 04/02/2021 Pada jam 23:40pm Kuala Lumpur

Sunday, October 17, 2010

Doa dan Ikhtiar tidak Boleh Mengubah Takdir sila baca dan fahami dulu..ok..


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 

Muqaddimah 

Masalah taqdir, doa dan usaha ikhtiar sudah menjadi bahan perbincangan berkurun lamanya sehingga banyak golongan yang menjadi sesat. Bahkan ada golongan yang terkeluar dari aqidah Ahlus-Sunnah, terutamanya disebabkan pegangan mereka pada qadha, qadar dan usaha ikhtiar. 

Pada zaman ini pun perbicaraan ini masih belum berakhir. Kekeliruan umat Islam zaman ini tetap berterusan. 

Puncanya, ada banyak pihak yang memuatkan pelbagai artikel dengan menyatakan bahawa doa boleh mengubah taqdir atau usaha ikhtiar boleh mengubah qadha dan qadar Allah dan sebagainya tanpa penjelasan yang sempurna. Kesannya, orang-orang yang membaca tentu akan faham sememangnya 'doa mempunyai kuasa untuk mengubah taqdir' atau 'seseorang itu boleh mengubah nasib sendiri menurut kemahuannya". 

Mereka sering utarakan contoh-contoh seperti berikut : 
Seorang yang ditaqdirkan miskin lalu dia berusaha siang malam sehingga berjaya dan menjadi kaya raya. 
Contoh lain ialah seseorang yang di taqdirkan umurnya 40 tahun lalu dia pun membuat pelbagai kebajikan dan doa panjang umur sehingga umurnya dipanjangkan. 

Mengikut dakwaan inilah di antara contoh-contoh bagaimana doa mampu mengubah taqdir seseorang. Namun perlu diingat, bahawa kesemua fahaman ini sangat besar bahayanya kepada aqidah dan tauhid seseorang yang berpegang kepada aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jamaah. 

Sila ikuti penjelasan berikut dengan teliti. Ia bukan bertujuan untuk menafikan kelebihan doa dan kewajipan berdoa kepada Allah swt. Ia juga tidak bertujuan untuk melemahkan seseorang daripada terus berdoa. Pun begitu diharap hujjah-hujjah berikut akan dapat membetulkan i'tiqad pegangan hati ketika kita berdoa dan selepas berhasil doa dan usaha ikhtiar yang dilakukan.

Penjelasannya;

i) Kita sudah membicarakan bahawa taqdir atau qadha dan qadar adalah segala ketentuan Allah ke atas makhluqnya pada azali. Sila rujuk http://kerjayahalal.blogspot.com/2010/09/salah-memahami-taqdir-dan-usaha-ikhtiar_02.html 

Ketentuan atau ketetapan ini adalah menurut ukuran kehendakNya yang mutlak mengikut ketetapanNya pada azali. Tiada makhluk bersekutu dalam ketetapan ini. Bukan juga sebab sesuatu yang akan dijadikanNya pada zaman kemudiannya, tetapi semata-mata adalah dengan kemahuanNya. Lantaran Allah Ta'ala itu bersifat dengan sifat Maha Berkehendak!


ii) Ahlus-Sunnah wal-Jamaah berpegang bahawa manusia diberikan usaha ikhtiar, tetapi usaha ikhtiarnya itu tidak akan memberi bekas. Hanya Allah swt yang menentukan segala sesuatu mengikut kemahuanNya. Doa merupakan salah satu usaha ikhtiar manusia. Oleh yang demikian bukanlah doa itu yang memberi bekas, tetapi Allah yang menentukan apa-apa jua mengikut kemahuanNya!

iii) Doa, usaha ikhtiar atau apa sahaja yang datang daripada manusia TIDAK berkuasa untuk mengubah taqdir. Dalam perkataan lain bukanlah Allah Ta'ala mengikut kehendak permintaan atau usaha hambaNya. Jika tidak maka jadilah Allah bersifat lemah kerana Dia boleh digagahi; Maha Suci Allah daripada digagahi oleh sesuatu. Sebaliknya, Dialah yang Maha Gagah dan berkuasa di atas segala sesuatu.

iv) Ketika Allah berkehendak menjadikan sesuatu kebaikan pada seseorang atau menolak keburukan daripadanya, maka Allah Ta'ala mendatangkan atau mengilhamkan pelbagai asbab seperti doa dan usaha ke atas seseorang yang sememangnya sudah ada di dalam ketetapan Allah pada azaliNya.

Ini bermakna sudah termaktub dalam ketetapan azali bahawa orang itu akan berdoa atau berusaha kepada apa yang ditentukan oleh Allah pada taqdir azali. Bukanlah bermakna bahawa ketentuan itu berubah disebabkan oleh permintaan atau harapan dan usaha manusia; tidak sama sekali.

v) Allah Ta'ala bersifat dengan sifat Maha Mengetahui, yakni mengetahui zahir dan batin, mengetahui segala sesuatu dari awal hingga akhir kesudahan alam maya ini. Bagaimana mungkin Allah Ta'ala tidak mengetahui bahawa hambaNya akan memohon kepadaNya dan bagaimana mungkin Allah tidak mengetahui bahawa Dia akan memberikan sesuatu kepada hambaNya bersesuaian dengan permintaan hambaNya itu?

Jika kita bersetuju bahawa Allah Maha Mengetahui akan hal ini, maka bukanlah doa hamba itu yang mengubah taqdir Ilahi. Sebaliknya permintaan hambaNya dan kabulnya permintaan tersebut dan pemberian Allah kepada hamba tersebut bersesuaian dengan taqdir azali.

vi) Jika kita bertanya bagaimana dengan firman Allah yang berbunyi; 
'Allah tidak mengubah nasib satu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya'. 

Maksud ayat ini menjelaskan bahawa Allah Ta'ala telah menentukan pada azaliNya bahawa seseorang atau suatu kaum itu akan berubah kepada kebaikan berserta asbab-asbab yang terlihat pada pandangan mata. Maka akan terlihatlah seolah-olah mereka yang mengubah nasib mereka dengan usaha mereka sendiri. Pada hakikatnya 'perbuatan mereka berubah' itu telah pun ditetapkan terlebih dahulu pada azali oleh Allah Ta'ala.

vii) Jika kita bertanya lagi bagaimana dengan hadis Nabi saw yang berbunyi; 
'Tidak ada sesuatu yang dapat menolak qadha kecuali doa'. 

Pengertian hadis ini ialah apabila Allah menerima dan maqbulkan permintaan seseorang, bukanlah maqbulnya doa tersebut disebabkan oleh doa orang berkenaan dan bukan juga bererti Allah telah mengubah taqdirNya yang azali. Perubahan taqdir itupun telah di tentukan oleh Allah ke atas hamba tersebut. Hanya sanya terlihat pada zahir pandangan bahawa Allah mengubah nasib/ketentuan/qadha yang ada pada seseorang itu disebabkan oleh doanya. Pada hakikatnya itu semua adalah taqdir di azali.

viii) Kita boleh melihat beberapa contoh dalam kehidupan manusia hari ini.
Contoh 1: 
Menurut hadis Nabi saw yang sahih, jodoh seseorang telah ditetapkan sejak azali lagi. Jika si Hassan yang lahir di Malaysia ditaqdirkan berkahwin dengan pasangannya yang lahir di Rusia maka akan berlaku jalan-jalan untuk mereka bertemu dan berkahwin. Walaupun mungkin sekali Hassan ingin berkahwin dengan wanita Hindustan yang cantik lalu berdoa siang malam untuk mendapatkan cita-citanya, tetapi jodohnya tetap ada di Rusia. Maka akan berlaku berbagai jalan seperti sama ada dia secara tiba-tiba berhijrah ke Rusia atau jalan-jalan lain sehingga mereka bertemu jodoh.
Contoh 2:
Umur setiap seorang manusia yang lahir telah tertulis pada azali. Jika hamba Allah yang bernama Zulkarnain ditaqdirkan menemui ajalnya pada usia 50 tahun di sebuah mesjid pada tanggal 1 Januari 2011, jam 00:00. Dia pasti akan menemui ajalnya tepat pada waktunya - tidak terdahulu sesaat dan terkemudian sesaat walau mungkin sekali dia orang alim yang banyak kebajikan dan amal ibadatnya. Walaupun dia sering berdoa agar panjang umurnya.

Maksud hadis Nabi tentang panjang umur dengan melakukan kebajikan bermaksud bahawa 'Allah Ta'ala mentaqdirkan seseorang beramal kebajikan yang banyak sehingga dia menemui ajalnya menurut ketetapan Allah pada azali juga'. Ia bukan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umum bahawa orang itu berjaya panjangkan umurnya dengan doa dan kebajikan. Fahaman ini amat berlawanan dengan sifat Allah Yang Maha Suci yang bersifat dengan sifat Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak.

ix) Sebagai iktibar dan renungan, jika benar pun doa seseorang itu berkuasa mengubah taqdirnya, memanjangkan umur dengan kebajikan, maka orang yang paling layak mendapat kelebihan tersebut adalah Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم kerana Baginda adalah orang yang paling makbul doanya dan paling banyak kebajikan baginda di atas muka bumi ini. Namun umur baginda hanya setakat 63 tahun!
Berikut ini ada beberapa keterangan ayat-ayat Allah, hadis Nabi dan kata-kata ulama Ahlus Sunnah wal-Jamaah yang terkemuka. 






Berdoa sebagai tanda mengharap;
pemberian terpulang kepadaNya sesuai dengan ketetapan di azali

Keterangan 1:

Firman Allah Ta’ala : إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً

Maksudnya: 'Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.' -  At-Talaq 65: 3 ]

Keterangan ke-2:

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: 'Allah Ta'ala telah menulis taqdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan arasyNya berada di atas air'. -  sahih Muslim

Keterangan ke-3:
Firman Allah Ta'ala:
وَإِذَآ أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِّن دُونِهِ مِن وَال

Maksudnya: '...apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya'. -  Ar-Ra'd 13:11

Keterangan ke-4:

Tiada makhluk berkongi kuasa dalam apa jua yang Allah Ta'ala jadikan - dalam apa saja yang Dia perbuat kerana kalimatNya ketika menjadikan sesuatu adalah seperti kalamNya yang Agung.

Firman Allah Ta'ala:
بَدِيعُ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَإِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ 

Maksudnya: 'Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia'. -  Al-Baqarah 2:117

Keterangan ke-5:

Dari Imran bin Husain radhiyallahu’anhu, dia berkata:
Rasulullah صلى الله عليه وسلم . ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui orang yang akan menjadi penghuni syurga dan orang yang akan menjadi penghuni neraka?Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. menjawab: 'Ya'. Kemudian Baginda ditanya lagi: Jadi untuk apa orang-orang harus beramal? Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab:Setiap orang akan dimudahkan untuk melakukan apa yang telah menjadi taqdirnya. -  sahih Muslim

Keterangan ke-6:

Berkata Shaikh Ibnu Atho'Illah didalam Kitab Hikam: 'Maha Besar hukum azali itu, Dia tidak bersandar pada berbagai sebab'.

Syarahnya: Sesuatu yang ditetapkan pada zaman azali tidaklah memerlukan berbagai sebab. Contohnya seperti sebuah permohonan anda, permohonan anda bukan sebagai sebab adanya pemberian Allah Ta'ala.

Keterangan ke-7:

Berkata Shaikh Ibnu Atha'Illah didalam Hikamnya: 'Bagaimana mungkin terjadi permohonan anda yang terwujud pada waktu berikutnya adalah menjadi sebab adanya pemberian Allah yang terwujud lebih dahulu?'
Syarahnya: Bagaimana mungkin pemintaan daripada doa anda menjadi sebab Allah menentukan sesuatu pada anda padahal ketentuan Allah telah pun ditetapkan olehNya pada azali lagi?

Keterangan ke-8:

Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anh berkata :

'Apabila Allah mengabulkan apa yang diminta hambaNya, dan mengabulkan permintaannya, maka IradahNya tidak akan terkoyak, tidak pula akan membuat kering catatan, akan tetapi permohonan itu sesuai dengan kehendak Tuhan pada waktunya. Sehingga sesuai itu menghasilkan pengabulan dan memenuhi kemahuannya pada waktu yang ditentukanNya, untuk menyampaikan taqdir itu pada waktunya. Seperti yang diakatakan Ahlul Ilmi mengenai Firman Allah: Setiap waktu Dia didalam kesibukan " -  QS 55: 29, iaitu mengiringi taqdir sampai pada waktunya'.

Allah Ta'ala tidak memberi sesuatu kepada siapa pun di dunia ini kerana doanya. Begitu juga Allah tidak memalingkan kejelikan dari sesiapa pun semata-mata kerana doanya.
Apa yang diriwayatkan dalam hadis Nabi, 'Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa.' - riwayat at-Tirmizi) adalah dikatakan daripada apa yang dimaksud oleh hadis ini; 'Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa yang telah ditetapkan (pada taqdir azali) dapat menolak qadha.' [Ertinya doa yang menolak qadha tersebut telah pun ditetapkan oleh Allah dalam taqdir azali, bukanlah disebabkan oleh doa seseorang itu - pent]

Begitu juga seseorang tidak akan masuk syurga di akhirat nanti dengan amalnya, tetapi dengan rahmat Allah. Namun Allah memberikan darjat kepada hambaNya di syurga berdasarkan amal perbuatan mereka.

Itu semua kerana Allah Ta'ala tidak ditunut hak oleh siapa pun, tiada yang dapat mengharuskanNya menunaikan janjiNya. Namun Dia yang melakukan apa yang dikehendakiNya, menyiksa, mengampuni, memberikan nikmat, menyayangi sesiapa pun dikehendakiNya. Tidak ada yang berhak meminta Allah bertanggungjawab ke atas apa jua yang diperbuatNya, tetapi manusia itu diminta dan disoal akan pertangungjawabannya. Dia memberi rezeki tanpa batas dengan rahmatNya dan menolak sesiapa pun yang dikehendakiNya. [Tiada sesiapa pun yang layak menyoal perbuatan Allah ini - pent]

Bagaimana tidak demikian, sementara makhluk, langit dan bumi dari arasy yang tinggi hingga ke tanah yang rendah Dia yang memiliki dan menciptakanNya. Tidak ada pemilik dan pencipta lain kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia.

(Setakat ini maka tamat petikan daripada syarahan Imam Jailani radhiallahu anh).

Rumusan Penting:

a) Doa adalah lambang pengabdian diri dan perhambaan manusia di hadapan Allah. Doa adalah senjata mu'min! . Doa adalah ibadah. Maka jadikanlah doa sebagaimana perintah Allah dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.

b) Allah Ta'ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai jalan keselamatan dunia akhirat. Maka berusaha sungguh-sungguh atas jalan kebenaran serta menyerahkan diri kepada Allah adalah tuntutan ke atas setiap muslim. 

c) Segala perbincangan di atas bertujuan untuk memberikan kefahaman yang benar berkenaan dengan adab dan i'tiqad seseorang ketika berdoa dan sesudah berhasil doanya. Dia perlu membetulkan i'tiqad serta menginsafi ketika berdoa dan sesudah berdoa; samada maqbul doanya atau ditolak doanya atau ditangguhkan doanya semua itu adalah di dalam genggaman Allah Ta'ala.

d) Jika telah maqbul doanya bukan bererti doanya itu berkuasa untuk mengubah sesuatu taqdir pada dirinya samada memberi manfaat atau menolak mudarat. Sebaliknya semua itu semata-mata dengan kurnia Allah Yang Maha Pemurah yang telah pun tertulis di luh mahfuz.

e) Kita sama-sama perlu menginsafi bahawa perbicangan ini bukan bermaksud untuk melemahkan seseorang daripada berdoa. Sebaliknya seseorang itu semestinya lebih kuat lagi berdoa kerana Allah sedang memberikan kebaikan kepada dirinya untuk berdoa dan benar-benar mengharap bahawa Allah akan memaqbulkan doanya.

Semoga kita semua termasuk golongan yang selamat, Ahlus-Sunnah wal-Jamaah yang dijamin oleh Nabi sebagai golongan yang selamat. 


Rujukan utama:
1. Fathur-Rabbani wa-Faidhur-Rahmaniy 
2. Adab As-Suluk wa-at-Tawassul Ila Manzilal Muluk
3. Al-Hikam Ibnu Atho'illah
4. Ihya Ulumuddin
5. Tafsir Ibnu Kathir

Sumber: http://kerjayahalal.blogspot.com/2010/09/muqaddimah-masalah-taqdir-doa-usaha.html[/u]
Untuk parking:

Puak-puak Jabariah mempercayai bahawa Allahlah yang menentukan nasib seseorang dari segi qadak, qadar, rezeki, mati, syurga neraka dan segala ketentuan hidup manusia ibarat kayu yang mati. Dia umpama wayang kulit yang dimainkan oleh Tuhannya; kalau ditakdirkan dia masuk neraka maka jika berbuat baik macam manapun dia tetap akan masuk neraka.

Sementara puak Qadariah mempercayai bahawa Allah telah memberi usaha ikhtiar, perkakas, kudrat iradat, peralatan lisan dan sebagainya. Jadi manusialah yang akan menentukan nasib qadak dan qadar, syurga neraka disebabkan usaha berada di tangan manusia. Allah telah bagi kapak parang dll, jadi buatlah kerja dengan 100% tanpa gangguan Allah; seolah-olah Allah telah pencen! 
 
Kedua-dua golongan ini terkeluar daripada Islam. Sedangkan ahli Sunnah wal-Jamaah duduk di celah-celah antara kedua-duanya .Kalau kita ditakdirkan lelaki lalu berdoa untuk jadi perempuan pun tidak dapat sebab Allah telah kerasi dgn takdir itu, tetapi kalau kita berdoa untuk panjang umur memang ada dalam doa. Maknanya Allah membenarkan manusia untuk panjang umur seperti ketetapan yang telah sedia ada di azaliNya.



Bersambung ke seterusnya

1 comment:

Anonymous said...

Takdir tak boleh diubah. Jika diubah ertinya Allah tidak Maha Bijaksana. Allah Taala buat kerja 1 kali sahaja terus siap lengkap. Waktu yang akan membawa takdir itu. Berdoa, tak berdoa, kabul tak kabul semua sudah dalam ketetapannya. Jika berdoa dan kita rasa seolah-olah dimakbulkan itu sudah ditetapkan sejak Kun dahulu lagi. Bukan sebab kita bersih atau takwa lalu doa kita Allah kabulkan. Sekian saat sekian masa kita akan berdoa dah disetkan. Tak berdoa pun dah disetkan. Kita hidup tinggal menjalani ketetapannya sahaja.