Allah telah berfirman:
“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang saleh.”
(al-Mu’minun: 51)
Tuhan telah memerintah kita menahan barang-barang yang baik, sebelum membuat amalan yang saleh. Makanan yang baik, maksudnya makanan yang halal.
Allah telah berfirman lagi:
“Janganlah setengah kamu, memakan harta setengah yang lain dengan cara kebatilan.” (al-Baqarah: 188)
Berfirman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta benda anak-anak yatim secara aniaya, sebenarnya mereka menelan api ke dalam perut-perut mereka, dan mereka nanti akan dihumban ke dalam neraka yang benama Sa’ir.”
(an-Nisa’: 10)
FirmanNya lagi:
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa-sisa dari riba, jika kamu sekalian sebenarnya orang-orang Mu’min.”
(al-Baqarah: 278)
Seterusnya Allah berfirman lagi:
“Jika kamu sekalian tidak mengerjakan, maka izinkanlah dengan peperangan dari Allah dan RasulNya.” (al-Baqarah: 279)
Dan firmanNya:
“Jika kamu bertaubat, maka bolehlah kamu mengambil semula pokok harta kamu.” (al-Baqarah: 279)
FirmanNya lagi:
“Dan barangsiapa mengulangi lagi, maka mereka itu adalah ahli-ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (al-Baqarah: 275)
Allah s.w.t. telah menjanjikan pemakan riba pada permulaan kalinya dengan peperangan dari Allah, dan pada pengakhirannya dengan ancaman masuk neraka. Ayat-ayat yang berhubungan dengan perkara yang halal dan haram amat banyak sekali.
Ibnu Mas’ud r.a telah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. katanya:
“Mencari yang halal itu adalah wajib atas setiap Muslim.”
Setengah para ulama mentafsirkan Hadis berikut:
“Menuntut ilmu pengetahuan wajib atas setiap Muslim.”
Maksudnya menuntut ilmu yang boleh membedakan yang halal dan yang haram. Nyatakan maksud dari kedua Hadis tersebut itu sama.
Apabila disebutkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang yang amat memberatkan urusan keduniaan, baginda bersabda:
“Betapa banyaknya orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu lantaran terlalu lama dalam pelayaran, makanannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan perutnya dipenuhi dari yang haram, diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Bagaimana boleh Tuhan mengabulkannya.”
Bersabda Rasulullah s.a.w lagi:
“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih utama baginya.”
Dari Atsar atau cerita-cerita para sahabat di antaranya:
Diceritakan bahwa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. pada suatu hari telah minum susu dari usaha seorang hamba sahayanya, kemudian tergerak hatinya untuk bertanya kepada hamba sahaya itu. Dia berkata: Susu itu diberikan kepada saya, setelah saya meramalkan sesuatu pada sekelompok manusia. Maka Abu Bakar pun memasukkan jarinya ke dalam mulut dan menggorek anak tekaknya untuk memuntahkan susu tadi. Saya lihat Abu bakar kemudian muntah-muntah, sehingga saya sangka isi perutnya seperti kehendak terkeluar. Sesudah itu, Abu Bakar berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku memohon keampunan terhadap apa-apa yang telah mengalir dalam urat-urat apa-apa yang telah bercampur aduk di dalam tali perut.
Peristiwa serupa ini pernah juga berlaku kapad Umuar Ibnul Khattab apabila belian tersalah minum dari susu unta sedekah. Belian juga mencucuk anak-tekaknya dengan jari sehingga termuntah-muntah.
Sahal at-Tasturi berkata: Seseorang itu tidak akan mencapai keimanan yang hakiki sehingga ada padanya empat perkara berikut:
(1) Menunaikan segala fardhunya dengan diiringi sunnat-sunnat
(2) Memakan yang halal dengan penuh kewara’an
(3) Menjauhi segala larangan Allah lahir dan batin
(4) Bersabar dalam keadaan serupa itu sehingga akhir hayat.
Bisyr al-Hafi r.a. adalah salah seorang yang terkenal kewara’annya. Ia pernah ditanya; Dari mana datangnya makananmu? Jawabnya: dari Sumber yang sama kamu mendapat makananmu. Tetapi takkan sama orang yang makan sambil menangis, dengan orang yang makan sambil ketawa. Seterusnya ia berkata: Ada tangan lebih pendek dari tangan yang lain, dan ada suapan lebih kecil dari suapan yang lain.
Demikianlah keadaan mereka itu dalam menjaga diri daripa perkara-perkara yang syubhat.
Jenis-Jenis yang halal.
Ketahuilah bahwa keterangan yang halal dan yang haram itu dapat dipelajari perinciannya di dalam kitab-kitan fiqh. Seorang murid tidak perlu lagi kepada huraian yang lebih lengkap, sebab di situ telah pun diterangkan mana-mana makanan yang telah difatwakan hukumnya sebagai yang halal, dan ia tidak lagi perlu mencari makanan selain dari yang telah ditentukan itu. Tetapi bagi orang yang memang sikapnya suka memakan bermacam-macam makanan, maka sudah tentulah ia memerlukan untuk mendalam ilmu agama yang menentukan mana yang dikatakan halal, dan mana pula dikatakan haram.
Kini kita suka menunjukkan satu kesimpulan dalam pokok pembahagiannya; iaitu sesuatu benda itu menjadi haram kerana keadaan zat benda itu sendiri, ataupun kerana sesuatu punca dalam cara memperolehinya.
Bahagian pertama: Adapun yang dikatakan haram kerana sesuatu sifat pada zatnya ialah seperti arak, daging babi dan lainnya. Dan keterangan selanjutnya, bahwasanya semua benda-benda yang dimakan yang terdapat di atas muka bumi ini tidak terkeluar dari tiga bahagian:
(1) Merupakan benda galian (ma’din) seperti garam dan tanah atau sebagainya.
(2) Benda tumbuh-tumbuhan (nabati)
(3) Binatang
BENDA GALIAN:
Adapun benda galian itu daripada berbagai-bagai bahagian bumi dan segala yang keluar dari bumi, maka hukumnya tidak haram memakannya, kecuali jika ia mendatangkan mudharat bagi orang yang memakannya atau kerana pada sebahagiannya terdapat bahan-bahan yang sama seperti racun. Pendekkata, jika roti sekalipun bila memudharatkan orang yang memakannya tetap haram hukumnya. Begitu juga dengan tanah, jika ada orang yang biasa memakannya tidak haram hukum memakannya, hanya diharamkan kerana ia boleh memudharatkan pemakanannya saja.
TUMBUH-TUMBUHAN:
Segala tumbuh-tumbuhan tidak haram hukum memakannya, melainkan yang mempunyai unseur-unsur yang boleh merosakkan akal fikiran ataupun yang boleh memusnahkan kehidupan, atau menganggu kesihatan. Adapun yang boleh merosakkan akal fikiran itu seperti ganja, arak dan segala benda-benda yang boleh memabukkan. Yang memusnahkan kehidupan pula ialah segala jenis racun. Dan yang mengganggu kesihatan ialah memakan ubat bukan pada masa-masa yang ditentukan. Pokok pengharaman yang disebutkan ini ialah disebabkan ia mendatangkan kemudharatan kepada diri, kecuali arak dan benda-benda lain yang memabukkan, maka hukumnya tetap haram sama ada ia diminum sedikit saja, atau pun memang orang yang meminumnya itu biasanya tidak mabuk.
BINATANG
Manakala binatang pula, maka is terbahagi kepada yang boleh dimakan dan yang tak boleh dimakan. Keterangan lanjut mengenai binatang-binatang ini ada disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, sila rujuk kepadanya. Hanya yang dikatakan binatang yang boleh dimakan itu, bila ia disembelih dengan sembelihan yang ditunjuk oleh syariat, dengan syarat-syaratnya yang ditentukan ke atas penyembelih, alat penyembelihan dan tempat-tempat penyembelihan yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh. Binatang yang bukan disembelih menurut syarat-syarat syariat, ataupun yang mati begiti saja, adalah haram memakannya dan dikira seperti bangkai, sedangkan memakan bangkai itu, tidak halal, kecuali bangkai ikan dan belalang saja.
Bahagian kedua: Adapun yang dikatakan haram kerana punca meletakkan tangan ke atasnya, yakni memperolehinya, terbahagi kepada dua bahagian lagi:
(1) Sesuatu yang diperolehi tanpa ada pemiliknya, seperti memperolehi galian dari tanah atau menghidupkan tanah yang mati, memburu, mengutip kayu-kayan, mengambl air dari sungai dan memotong rumput, maka semua ini adalah halal dengan syarat segala yang diperolehi dari benda-benda yang tersebut tadi tidak terkhusus kepunyaan seseorang, tegasnya tidak ada pemiliknya yang sah.
(2) Sesuatu yang diperolehi secara paksa dari orang-orang yang tiada dilindungi oelh hukum agama, seperti fai; iaitu harta pampasan dalam peperangan atau, ghanimah; iaitu pembahagian harta yang diperolehi dalam peperangan. Begitu juga dengan harta kekayaan orang-orang kafir yang masuk berperang dengan kaum Muslimin. Maka harta benda-harta benda seumpama itu semuanya halal bagi kaum Muslimin, setelah dikeluarkan daripadanya seperlima bahagian sebagai zakatnya, kemudian boleh dibahagikan-dibahagikannya kepada orang-orang yang berhak secara adil dan jujur. Harta benda yang dirampas dari orang-orang kafir yang telah dilindungi oleh Pemerintah Islam, atau yang telah diberikan keamanan dan perjanjian oleh Pemerintah Islam, tidak halal untuk dimiliki, melainkan harus dikembalikan kepada yang mempunyainya.
(3) Sesuatu yang diperolehi dengan jalan tukar-menukar dengan syarat masing-masing, maka hukumnya halal juga dengan syarat harta warisna yang akan diwarisi itu didapati dengan cara yang halal (bukan haram). Harta warisan itu hanya boleh dibahagi-bahagikan, setelah ditunaikan segala piutang si mati, dan sesudah djalankan wasiat yang ditinggalkannya terlebih dulu. Manakala pembahagiannya kepada ahli waris pula, mestilah dijalankan dengan adil menurut syariat; iaitu sesudah dikeluarkan hak-ahak atas si mati, seperti haji yang wajib, zakat yang belum dikeluarkan atas hartanya dan kaffarah (denda yang mesti dfibayar) dan sebagainya.
Masih ada lagi bahagian-bahagian yang lain, tetapii memadailah di sini kami terangkan pokok-pokok yang penting saja. Walau bagaimanapun, perlu bagi setiap murid mengetahui, bahwa segala yang dimakannya itu benar-benar dari jurusan-jurusan yang diredhai Allah. Kalau tidak, maka sewajarnya dia menanyakan seorang alim yang mengetahui tentang perkara itu. Awas jangan sekali-sekali memberanikan diri membuat sesuatu dengan kajahilan, sebab sebagaimana orang alim itu akan disoal: Mengapa engkau telah menyalahi ilmumu bila melakukan sesuatu, maka orang jahil juga akan disoal: Mengapa engkau tetap dalam kejahilanmu dan tidak mahu belajar, sesudah engkau mengetahui bahawasanya: Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.
Tingkatan halal dan haram
Ketahuilah, bahawasanya yang haram itu semuanya jelek, tetapi setengahnya lebih jelek dari setengah yang lain. Begitu juga keadaannya dengan yang halal semuanya baik, tetapi setengahnya lebih baik dari yang setengah, bahkan lebih suci dari setengah pula. Sebab itulah maka darjat kewara’an orang yang menjauhkan diri dari yang haram itu bertingkat-tingkat pula keadaannya. Ada empat tingkatan, iaitu:
(1) Wara’ dengan menjauhkan diri dari segala perkara haram yang difatwakan oleh para fuqaha.
(2) Wara’ dengan menghidarkan diri dari perkara yang syubhat kerana takut kemungkinannya berasal dari yang haram.
(3) Wara’ terhadap perkara yang tiada samar lagi tentang penghalalannya, tetapi dikhuatiri akan menarik kepada yang haram; iaitu seperti meninggalkan perkara yang harus dilakukan.
(4) Wara’ melakukan sesuatu yang sememangnya tidak ada apa-apa yang menghalangnya atau tidak berdosa, akan tetapi dilakukannya atau diperolehinya bukan kerana Allah dan tidak pula atas niat bertaqwa kepada Allah, atau menguatkan diri untuk beribadat kepadaNya.
Diceritakan suatu peristiwa dari Ibnu Siri, bahwasanya ia telah menolak untuk menerima dari kongsinya wang sebanyak 4,000 dirham, kerana terlintas di dalam hatinya bahwa orang itu tidak bersih, meskipun para alim ulama dalam zamannya telah bersepakat mengatakan bahwa tidak ada apa-apa yang harus diragukan tentang wang tersebut.
Peristiwa yang lain diceritakan oleh setengah orang, bahwa seorang alhli salaf harus menerime hutanganya sebanyak 100 dirham dari seseorang yang berhutang. Apabila hutang itu mahu diselesaikan, dia hanya menerima 99 dirham saja, dibiarkan satu dirham yang baiki pada si putang, kerana dikhuatiri barangkali dengan menerima secukupnya 100 dirham itu nanti terdapat kelebihan dari hak yang mesti diterimanya.
Ada setengah mereka pula, bila dalam perniagaan, mereka sentiasa menerima kurang sebutir dalam timbangan dan bila menjual mereka sentiasa melebihkan sebutir pula.
Di antaranya ada pula yang menjaga betul-betul tentang berang-barang atau relakan oleh orang, sama ada yang berupakan kelebihan atau kekurangan, kerana jika telah direlakan memanglah halal hukumnya. Tetapi dikhuatiri cara begitu akan membuka pintu, atau menjadi tabiat baginya untuk membuat perkara yang serupa kepada orang lain, sehingga tabiat itu menjadi biasa pula; iaitu bila memberi suka mengurangkan dan bila menerima suka dilebihkan. Dengan begitu, tak dapat tidak jiwanya akan jauh dari bersifat wara’.
Membicarakan tentang kewara’an lagi, ada setengah orang sampai enggan mengambil debu dari tembok rumahnya sendiri, bila rumah itu sewaan, kerana dikhuartiri dia tiada berhak di atas debu itu.
Pernah diceritakan dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pada suatu masa ketika beliau menyukat minyak wangi bagi kaum Muslimin, beliau menutup hidung supaya tidak tercium baunya. Setelah selesai menyukat, beliau lalu berujar kepada orang ramai di situ: Ya bukankah minyak wangi itu tidak ada manfaatnya selain dari baunya saja.
Cerita yang lain tentang kewara’an ialah ada seorang yang sedang menunggu orang yang sakit tenat, lalu pesakit itu pun meninggal duni pada malamnya. Maka berkatalah orang yang menunggu itu tadi: Kini matikanlah lampu-lampu yang ada, kerana lampu-lampu dan minyaknya sekarang telah berpindah milik kepada para waris.
Yang lain lagi ialah mengenai peristiwa al-Hasa bin Ali r.a. ketika masih kecil, telah memakan sebiji kurma sedekah, maka Rasulullah s.a.w. pun mengorek mulutnya seraya berkata: Kakh…Kakh, yakni keluarkan ia… keluarkan ia!
Pernah diceritakan sebelum ini bahwa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq telah memuntahkan susu yang diberi minum oleh hamba sahayanya, semata-mata kerana ia hasil upah dari ramalan yang dibuatnya oleh hamba sahayanya itu. Beliau telah melakukan itu kerana takut perutnya dimasuki sesuatu yang haram, ataupun yang haram itu akan menambah kekuatan dalam badannya, padahal bila meneguknya beliau tiada mengetahui sumber minuman itu dari mana, dan menurut hukum tidak wajib memuntahkannya semula. Akan tetapi membersihkan perut dari segala yang jelek itu adalah suatu sifat wara’ para siddiqin.
Sebagai kesimpulan mengenai perkara yang dibicarakan ini maka setiap kali seseorang hamba itu menjaga diri dengan tegas dari yang diragukan kebersihannya, setiap itulah bebanannya akan menjadi ringan kelak di Hari Kiamat, dan ia akan terjauh dari neraca kejelekan, manakala neraca kebajikannya akan menjadi lebih berata pula.
Kini andan telah mengetahui kedudukan yang sebenarnya, maka terserahlah kepada anda untuk membuat pilihan. Anda boleh mengambil sikap berhati-hati dan memelihara diri, ataupun boleh juga mengambil sikap mempermudah dan meringankan. Tetapi sebaliknya hendaklah anda berjaga-jaga kalau perkara itu bagi kepentingan diri sendiri dan tak mengapalah dipermudahkan kalau perkara itu menyentuh kepentingan orang lain.
Peringkat-peringkat syubhat
Bersabda Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan, yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhat itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhat itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan , akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”
Hadis tersebut merupakan suatu nas yang menunjukkan tiga bahagian dari peringkat-peringkat hukum, iaitu:
(1) Perkara syubhat, iaitu peringkat yang paling rumit sekali antara tiga bahagian itu. Perkara syubhat ini biasanya banyak orang ramai tidak mengetahui, oleh itu haruslah ia diberikan penerangan seluas-luasnya, sebab perkara yang tiada diketahui pula orang sedikit, jadi patutlah ia dijelaskan kepada orang ramai.
(2) Perkara halal mutlak, atau halal yang sudah jelas hukumnya iaitu perkara yang telah sunyi zatnya (bendanya) dari segala sifat yang menyebabkan pengharaman pada benda itu, dan ia terlepas dari sebab-sebab yang menghukumkan pengharaman atau kemakhruhannya.
(3) Perkara haram mahadh, atau haram yang sudah jelas hukumnya; iaitu perkara yang ada padanya sifat yang mengharamkan yang sudah tidak payah diragukan lagi, seperti arak kerana terlalu berat pengaruhnya terhadap diri, atau air kencing kerana sudah terang kenajisannya. Ataupun yang diperolehi dengan cara-cara yang terlarang sama sekali oleh agama, seperti penghasilan sesuatu dengan jalan penganiayaan atau riba atau yang seumpamanya.
Dua perkara yang halal dan yang haram itu telah jelas hukumnya. Kemudian akan dimasukkan ke dalam dua kategori ini man yang telah ternyata perkaranya, tetapi besar kemungkinan berubah keadaannya kelak, dan kemungkinan perubahannya tidak ada sebab-sebab yang tertentu yang boleh menunjukkan kepada perubahan itu. Kemungkinan yang tiada dapat dicarikan dalilnya, sama seperti kemungkinan yang tiada pada bendanya.
Ada pun perkara syubhat itu ialah segala sesuatu yang belum jelasnya perkaranya, umpamanya dua keyakinan yang timbul dari dua sebab yang berkaitan dengan kedua-dua keyakinannya tadi.
Dalam persoalan syubhat ini ada beberapa hal yang harus diperhatikan, iaitu:
Pertama: Adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang mengharamkan. Kiranya kedua-dua kemungkinan halal dan haramnya itu sama, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum yang telah ada sebelumnya, dan hukum inilah yang harus dipegang, dan tidak boleh ditinggalkan perkaranya terbiar di dalam keraguan terus-menerus. Kemudian andaikata suatu kemungkinan baru ditimbulkan, mengalahkan (mengatasi) kemungkinan yang telah ada serta dibuktikan dengan dalil-dalil yang kuat dan mu’tabar (sah), maka hendaklah dihukumkan menurut kemungkinan yang baru yang telah mengatasinya itu.
Perkara-perkara serupa ini tidak akan jelas melainkan dengan contoh-contoh dan dalil-dalil yang terang, maka oleh itu kami bahagikan kepada empat bahagian:
(1) Perkara yang telah nyata pengharamannya sebelum itu, kemudian timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk menghalalkannya. Perkara serupa inilah yang dikatakan syubhat yang harus dijauhi dan diharamkan memberanikan diri untuk menghalalkannya.
(2) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya lalu timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Maka hukumnya yang diberatkan ialah halal dan harus dipegang dengan hukum yang tersebut.
(3) Perkara yang asalnya sudah jelas haram, akan tetapi timbullah sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal dengan suatu sangkaan yang kuat, sedangkan perkara itu masih juga dalam keraguan, hanya yang patut diberatkan ialah penghalalannya. Dalam perkara serupa ini haruslah diperhatikan sebabnya terlebih dulu. Kiranya kemungkinan penghalalannya bersandar kepada suatu sebab yang mu’tabar dalam hukum syariat, maka hukum yang dipilih untuknya ialah halal, hanya menjauhinya dikira suatu kewara’an. Misalnya: Seseorang pemburu memanah seekor buruan, tetapi binatang itu dapat melarikan diri sehingga bila ditemui di dapati binatang itu sdudah mati, dan tidak ada tanda-tanda lain pada badan binatang itu hanya anak panah pemburu itu saja, padahal berkemungkinan sekali bahwa binatang itu mati kerana jatuh terhempas atau kerana sebab-sebab lain, bukan kerana anak panah pemburu tadi. Maka dalam hal yang serupa ini, hukum yang dipilih oleh syariat ialah halal, kerana luka tersebab anak panah tadi adalah sebab yang lahir yang menjadikan binatang itu mati, dan yng demikian itu telah terbukti. Jadi diberatkan hukum matinya binatang itu kerana terkena anak panah, dan bukan kerana sebab-sebab yang lain, dan kemungkinan matinya oleh sebab-sebab yang lain itu masih diragukan dan tidak ada buktinya. Dalam istilah hukum syariat, sesuatu yang telah ditentukan keyakinannya tidak boleh ditolak dengan lahirnya keraguan yang belum tentu betul.
(4) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya akan tetapi timbul sesuatu yang baru dalam kemungkinan yang memberatkan pengharamannya, bergantung atas sebab yang mu’tabar dalam syariat, maka hendaklah ditolak hukum asalnya yang halal dan dihukumkan haram. Misalnya: Seorang yang meneliti keadaan dua bejana, lalu dengan ijtihadnya bersandarkan kepada sesuatu tanda yang tertentu, dia dapat menentukan kemungkinan salah satu dari dua bejana itu mengandungi najis, maka dalam hal serupa ini hendaklah dihukumkan haram meminum air dari bejana itu, sepertimana diharamkan mengambil wudhu’ dari air tersebut.
Kedua: Syubhat yang timbul kerana adanya percampur adukan antara yang halal dengan yang haram, sedangkan perkaranya tidak boleh diperbedakan, ataupun dipisahkan antara satu dengan yang lain.
Percampuran itu ada bermacam-macam contohnya:
(1) Percampuran yang berlaku dengan bilangan yang tertentu, misalnya seekor bangkai yang bercampur aduk dengan seekor binatang yang disembelih, ataupun bercampur aduk dengan sepuluh ekor binatang yang disembelih. Misalannya yang lain: Seorang saudara perempuan sesusuan bercampur aduk dengan sepuluh orang wanita lain (yang tiada dikenali mana satu). Inilah syubhat yang wajib dijauhi menurut ijma’ para ulama, kerana amat sukar dan tidak ada jalan sama sekali untuk menyiasat atau berijjtihad lagi, apatah lagi jika tanda-tandanya tidak dapat dikenali.
Menurut dasar hukum, yang bercampur aduk dengan bilangan yang tertentu (kecil) jadilah ia seperti benda yang satu, dan kemungkinan keyakinan penghalalanya dan pengharamannya sama sedarjat. Dengan itu hujah untuk memberatkan penghalalannya menjadi lemah, sedangkan wajah laranngannya dianggap lebih berat dalam kacamata syariat Islam, maka oleh itu hukum larangannya lebih diberatkan.
(2) Percampuran haram yang desikit dengan halal yang banyak. Misalnya: Jika bercampur seorang saudara perempuan sesusuan atau sepuluh saudara perempuan sesusuan dengan sekelian penduduk wanita sebuah negeri yang luas. Maka hukumnya tiadalah dilarang ia untuk berkahwin dengan sesiapa saja yang dipilihnya dari wanita-wanita negeri itu. Alasannya ialah kemungkinan halalnya lebih berat, dan keperluan kepada perkahwinan pula tidak boleh ditahan. Seorang yang kehilangan saudara sesusuannya atau adik beradiknya, atau mahramnya kerana sebab beripar-ipar, ataupun kerana sebab-sebab lain, tiadalah wajar untuk ditutup kepadanya pintu perkahwinan.
Begitulah pula, jika ia meyakini bahwa semua harta kekayaan dunia ini telah bercampur aduk dengan yang haram, tidaklah wajib baginya meninggalkan membeli barang atau memakan sesuatu, kerana yang demikian itu akan menimbulkan kesukaran pada jiwa dan diri.
Firman Allah Ta’ala:
“Allah tiada membuat kesukaran ke atas kamu dalam perkara agama.”
(al-Haj: 78)
Perihal semacam ini pernah berlaku dalam zaman Rasulullah s.a.w. iaitu pernah dicuri perisai dalam zamannya ataupun pernah digelapkan sehelai baju ‘aba’ah dari harta rampasan perang, maka tiada seorang pun yang menahan dirinya dari membeli perisai atau baju ‘aba’ah dalam dunia. Begitu pula halnya kepada segala barang-barang curian yang lain. Demikianlah halnya dengan keadaan Rasulullah s.a.w., baginda mengetahui adanya orang yang ber mu’amalah dengan riba (bunga) pada hartanya, dirhamnya atau dinarnya tetapi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak ernah meninggalkan penggunaan dirham datu dinar sekali.
Adapun jika bercampur antara haram yang banyak dengan halal yang banyak yang tak dapat dihitung banyaknya, iaitu sebagaimana yang berlaku pada zaman kita ini, maka hukumnya tiadalah terlarang menggunakan sesuatu hanya semata-mata disebabkan percampuran itu, sama ada berkemungkinan ia dari yang haram ataupun yang halal, sehingga dapat dikesan atau terbukti pada benda itu tanda-tanda yang menunjukkan ia itu haram.
Jika ada oarng yang mendakwa, bahwa kebanyakann harta kekayaan pada zaman kita ini haram, maka itu adalah suatu dakwaan yang salah dan keliru. Mungkin dakwaan itu timbul kerana kebanyakkan manusia hari ini telah rosak moralnya, dan mereka membanggakan keadaan itu, sekalipun perkara ini, jarang-jarang berlaku pada sesuatu tempat yang tertentu. Mungkin sekali kerana ia menganggap bahwa penzina-penzina dan peminum-peminum arak telah berleluasa di mana-maa tempat, sebagaimana berleluasanya perbuatan perkara-perkara haram yang lain, sehingga ia mengira orang-orang yang membuat kesalahan ini lebih banyak dari yang lainnya. Ternyata sangkaan serupa ini adalah salah, kerana mereka ini adalah sedikit bilangannya, jika dibandingkan dengan yang lain-lainnya, meskipun jumlahnya semakin bertambah.
Kesimpulannya, sesuatu benda itu dihukumkan halal selagi tidak ada padanya tanda-tanda yang tertentu yang menunjukkan bahwa ia itu haram.
Ketiga: Syubhat yang sebab penghalalannya berkait dengan maksiat, iaitu seperti berjual beli di waktu azan sembahyang Jum’at, atau menyembelih bintang dengan pisau yang dirampas atau dicuri, atau berjual beli ke atas barang yang sudah dibeli atau dijual kepada orang lain, ataupun menawarkan harga yang lebih atas harga yang ditawar oleh orang ramai. Semua ini adalah terlarang dalam cara berakad jual beli, meskipun akad jual beli itu tidak rosak, yakni tetap sah. Hanya larangan melakukan seumpama ini dikira sebahagian dari hukum wara’ saja, sebab mendapatkan keuntungan dengan melakukan perkara-perkara seumpama ini adalah makruh, sedangkan maksruh itu hampir dekat dengan haram.
Misal yang lain ialah umpamanya membuat sesuatu yang boleh menarik kepada maksiat, seperti menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada perompak atau lanun.
Para ulama bertelingkah pendapat dalam perkara mengesahkan penjualan serupa itu, dan pada menentukan halalnya harga yang diterima dari penjualan itu. Tetapi kias yang diberatkan, ialah penjualan itu saha dan harganya halal, hanya orang yang melakukannya dikira menderhakanya orang yang menyembelih dengan pisau yang dirampas atau dicuri, maka penyembelihan itu tetap dikira halal. Walau bagaimanapun, si penjual itu tetap dihukumkan menderhaka kerana di atelah menolong orang lain untuk melakukan maksiat. Perbuatannya itu tiada bergantung sama sekali dengan akad jual beli itu sendiri, manakala harga yang diterimanya itu dihukumkan makruh secara berat sekali. Meninggalkan melakukan serupa ini, dikira suatu tanda kewara’an.
Suatu peringatan
Tiada harus seseorang itu mementingkan persoalan-persoalan kewara’an, melainkan dengan bimbingan seorang alim yang teliti. Sebab kiranya ia melampaui batas yang ditentukan, lalu membuat sesuka hati tanpa berpandukan kepada arahan-arahan yang tertentu, niscaya akan timbul perkara-perkara yang membaikkan.
Orang-orang yang berlebihan-lebihan dalam kewara’an dikhuatirkan akan termasuk ke dalam golongan mereka yang disifatkan oleh Allah Ta’ala dalam firmanNya:
“Mereka itulah orang-orang yang sesat perjalanannya dalam kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawasanya mereka melakukan sesuatu perkara yang baik.”(al-Kahf: 104)
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Keutamaan orang alim ke atas orang ‘abid (banyak ibadatnya) seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah dari para sahabatku.”
Perbahasan lanjut tentang haram dan halal.
Ketahuilah bahawasanya setiap orang yang ingin memberikan kepada anda makanan atau hadiah, ataupun anda ingin membeli sesuatu daripadanya atau hendak memberikan sesuatu kepadanya, tidak perlulah anda memeriksa terlebih dulu, ataupun bertanyakan latar belakangnya, atau anda berkata pada diri sendiri: Ini antara hal yang belum aku meyakini penghalalannya, tak patut aku menerima sekarang, bahkan aku harus memeriksanya terlebih dulu.
Dalam pada itu, bukanlah dalam semua hal harus mengambil sikap seperti di atas tadi, bahkan pada setengah-setengah persoalan harus menyelidiki dan bertanya, terutama sekali dalam perkara syubhat yang masih diragukan. Punca keraguan itu harus ditujukan kepada orang yang mempunyai harta itu, sama ada peribadinya masih diragukan, ataupun kejujurannya memang sudah terkenal dengan adanya sangkaan yang bersandarkan kepada bukti-bukti yang tertentu. Kemudian kepada harta bendanya pula, adakah percampuran yang haram dengan yang halal, ataupun yang haram lebih banyak dengan adanya bukti-bukti yang sah. Andaikata yang haram lebih sedikit, ataupun pada sangkaannya memang tidak mungkin ada yang haram pada hartanya ketika itu, maka memakan dari hidangannya tidaklah haram hukumnya. Tetapi sewarnya ia menyiasat untuk meyakinkan dirinya dan kalau boleh ditinggalkan lebih baik sebagai tanda kewara’an.
Pertanyaan boleh diajukan kepada tuan punya harta itu, kiranya ia tiada terkira curang dalam usahanya. Tetapi kiranya ia memang terkenal curang, umpamanya ia tiada mengenal jalan halal dalam mengusahakan kekayaan, ataupun kata-katanya memang tidak dapat dipercayai, ataupun amanahnya masih dicurigai, maka hendaklah diajukan pertanyaan itu kepada orang lain. Apabila perkaranya diberitahu oleh seorang yang dipercayai sekalipun seorang saja, maka berita itu harus diterima dan dipercayai. Begitu pula, jika perkaranya diberitahu oleh orang fasik yang kebenarannya tidak dapat disangsikan, kerana tidak ada maslahat sampai ia boleh berbohong, maka boleh juga berita itu diterima dan dipercayai. Sebab maksud utama berita itu, ialah keyakinan dalam diri, dan dalam perkara serupa ini tempat yang menentukan ialah hati. Manakala hati pula mempunyai perhatian terhadap semua gerak-geri yang tersembunyi yang tidak dapat dijangkau oleh kuasa renungan lahiriah. Oleh itu hendaklah diperhatikan perkara ini dengan sehalus-halusnya. Apabila hati merasa tenang puas, maka menghindarkan diri dari perkara-perkara yang tidak suci menjadi suatu kewajiban yang mesti.
Cara membersihkan diri dari penganiayaan kewangan.
Ketahuilah, bahwa setiap orang yang bertaubat sedang dalam tangannya masih ada lagi harta yang bercampur aduk dengan yang haram, maka tugas utamanya ialah membedakan yang haram dan memisahkannya tersendiri. Sesudah itu, ada suatu tugas lain, iaitu mengeluarkannya dan membelanjakannya. Kedua perkara ini harus diperhatikan oleh orang itu.
PERTAMA: CARA MEMISAHKAN HARTA YANG HARAM
Seorang yang bertaubat, dan dalam simpanannya ada sesuatu barang haram yang sudah tertentu bendanya, seperti yang diambilnya dari rampasan atau yang diamanahkan kepadanya ata sebagainya, maka perkaranya senang sekali; iaitu hendaklah ia memisahkan benda haram itu berasingan dan kembalikan kepada pemiliknya atau warisnya.
Sekiranya benda itu telah bercampur aduk, ataupun tidak dapat dipisahkan, misalnya benda yang serupa bentuknya seperti biji-bijian, mata wang, minyak; ataupun benda-benda yang boleh ditentukan seperti rumah atau pakaian, ataupun benda-benda yang serupa jenisnya dan yang biasa berlaku pada harta kekayaan, seperti seorang yang mendapat wang menerusi perniagaan tetapi dia pernah berbohong dalam setengah perniagaannya ataupun seperti seorang yang mncuri minyak lalu ia mencampurkan minyak itu dengan minyak yang dipunyainya, demikian pula jika dia melakukan yang sama pada biji-bijian, atau wangnya. Hukumnya jika benda yang dicampurkan itu diketahui kadarnya, seperti dia mengetahui bahwa separuh dari jumlah hartanya itu adalah haram, maka wajiblah ia memisahkan kadar yang separuh lagi.
Tetapi jika ia terkeliru, maka baginya ada dua jalan:
(1) Berpegang kepada apa yang diyakininya.
(2) Berpegang kepada yang lebih diberatkan oleh sangkaanya.
Mengambil sikap yang pertama lebih utama dari segi kewara’an, iaitu dengan memiliki hanya kadar yang sudah diyakini oleh dirinya sebagai halal saja.
Masalah: Barangsiapa mewarisi harta pusaka, sedang ia tiada mengetahui dari mana harta itu diperolehi oleh orang yang mewariskannya (orang mati itu); apakah dari usaha yang halal ataupun dari usaha yang haram dan tiada pula tanda-tanda yang menentukan perkara sebenar tentang harta itu, maka para ulama sepakat menghukumkan bahwa harta itu halal. Tetapi jika ia mengetahui bahwa harta itu bercampur dengan yang haram, malangnya ia tiada mengetahui berapa kadarnya; maka dalam misal seumpama ini hendaklah ia mengeluarkan kadar yang disangsikan haram itu setelah ia menghalusi perkara itu. Sekiranya ia mengetahui, bahwa sebahagian dari hartanya diperolehi secara penganiyaan, maka wajiblah ia mengeluarkan kadar yang disangsikan itu dengan berijtihad.
Ada pula setengah ulama mengatakan, tidak wajib ia mengeluarkan bahagian itu, dan dosanya tertimpa atas orang yang mewariskan harta itu.
KEDUA: CARA MEMBELANJAKAN HARTA YANG HARAM
Ada tiga cara dalam membelanjakan harta yang haram iaitu:
(1) Jika harta itu ada pemiliknya yang tertentu, maka hendaklah ia diserahkan kepadanya. Jika ia sudah mati hendaklah diserahkan kepada ali warisnya. Jika ia tidak ada di dalam negeri (ghaib), maka hendaklah ditunggu kembalinya, ataupun dikirimkan harta itu kepadanya. Begitu pula jika harta itu bertambah atau ada hasilnya, maka hendaklah ia menyimpan segala faedah-faedah harta itu, sehingga pemiliknya kembali semula ke negeri itu, di mana harta itu harus diserahkan kepadanya.
(2) Jika harta itu tidak diketahui pemiliknya yang tertentu, dan setelah dcari tiada ditemui pula, dan tiada juga diketahui sama ada ia telah mati atau telah meninggalkan waris-waris yang tertentu. Dalam hal ini tiada boleh dikembalikan kepada pemiliknya, malah ditahan harta itu sehingga ternyata perkaranya. Atau mungkin juga tiada boleh dikembalikan disebabkan orang yang mendakwa menjadi pemiliknya amat banyak bilangannya, sehingga sukar hendak ditentukan yang mana satu. Dalam misal-misal yang tersebut, sewajarnyalah harta itu disedekahkan, sehingga tiada terbiar begitu saja, dan lenyap manfaatnya kepada pemilik mahupun orang lain. Se-kiranya ia sendiri seorang fakir yang berhak menerima sedekah untuk dibelanjakan atas dirinya dan atas tanggungannya.
(3) Jika harta itu berasal dari rampasan perang, ataupun daripada milik badan-badan yang menguruskan kepentingan kaum Muslimin, maka hendaklah ia dibelanjakan kepada maslahat umu, seperti membinja jamabatn-jambatan, masjid-masjid, sekolah-sekolah agama dan jalan-jalan yang menyampaikan orang ramai ke Makkah al-Mukareamah, ataupun yang seumpamanya, yang mana manfaatnya dapat dirasakan oleh seumum kaum Muslimin bersama.
No comments:
Post a Comment